Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

‘Morning sickness’ mungkin baik untuk anda dan janin, kurangkan risiko keguguran

Mabuk hamil atau lebih sering disebut sebagai ‘morning sickness’, meskipun ia boleh berlaku tanpa mengira siang ataupun malam, mungkin baik untuk wanita hamil.

Anggaran Waktu Membaca:
‘Morning sickness’ mungkin baik untuk anda dan janin, kurangkan risiko keguguran

Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)

Diterbitkan : 28 Sep 2016 08:51AM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 09:00AM

MIAMI: Mabuk hamil atau lebih sering disebut sebagai ‘morning sickness’, meskipun ia boleh berlaku tanpa mengira siang ataupun malam, mungkin baik untuk wanita hamil.

Menurut satu dapatan kajian yang dikeluarkan semalam (26 Sep), mabuk hamil dikaitkan dengan risiko keguguran yang lebih rendah, menyarankan bahawa rasa mual dan muntah-muntah pada awal kehamilan mungkin dapat melindungi bayi.

Antara 50 dengan 80 peratus wanita hamil mengadu berasa mual atau kerap muntah dalam tiga bulan pertama kehamilan mereka, menurut dapatan tersebut yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika (JAMA) Perubatan Dalaman.

Menerusi kajian yang dijalankan ke atas 797 wanita, rasa mual dan mual beserta muntah-muntah dikaitkan dengan pengurangan risiko keguguran antara 50 dengan 75 peratus, menurut laporan tersebut, yang dipimpin oleh Enrique Schisterman dari Institut Kesihatan Kanak-Kanak dan Pembangunan Manusia Nasional Amerika Syarikat.

Kesemua wanita tersebut pernah mengalami keguguran sama ada satu atau dua kali. Mereka memantau simptom-simptom rasa mual menerusi catatan dalam diari dan kehamilan mereka disahkan menerusi ujian air kencing.

Kajian-kajian yang pernah dijalankan sebelum ini juga menyarankan bahawa rasa mual dan muntah-muntah ada kaitan dengan risiko keguguran yang lebih rendah.

Sesetengah pakar percaya bahawa rasa mual mungkin menggalak kehamilan yang sihat kerana ia menyebabkan kaum wanita kurang makan, sekaligus mengurangkan risiko mendedahkan janin kepada bahan-bahan toksin.

Kurang makan juga membantu mengurangkan paras peredaran insulin dan menggalak pertumbuhan plasenta, menurut kajian.

Kajian terbaru itu bagaimanapun tidak menjelaskan sebab-sebabnya, rasa mual dan muntah-muntah mungkin dapat mengurangkan risiko keguguran.

Satu rencana yang juga diterbitkan dalam JAMA oleh Siripanth Nippita dari Pusat Perubatan Beth Israel Deaconess dan Laura Dodge dari Sekolah Perubatan Harvard menyifatkan sumbangan kajian terbaru itu terhadap bahan-bahan bacaan perubatan sebagai “bernilai atas beberapa sebab”.

Ini termasuk saiznya yang besar dan metodologi yang teliti bagi membandingkan simptom-simpton di kalangan kaum wanita yang mengalami keguguran pada awal kehamilan dan juga mereka yang tidak mengalaminya.

“Dengan adanya kelebihan-kelebihan dalam metodologi kajian terbaru ini berbanding yang sebelumnya, kami berharap kajian sedemikian akan dapat memperdalam pemahaman kita tentang punca di sebalik rasa mual dan muntah-muntah semasa hamil,” tulis mereka.

Sumber : AFP/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan