Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Mesin basuh, berus gigi, beg tangan antara 5 tempat kuman membiak; ini cara hapuskannya…

Tahukah anda sebahagian objek di dalam rumah anda juga menjadi ‘rumah’ kepada lebih 340 jenis kuman?

Anggaran Waktu Membaca:
Mesin basuh, berus gigi, beg tangan antara 5 tempat kuman membiak; ini cara hapuskannya…

Gambar: Pixabay/Monoar)

Diterbitkan : 17 Nov 2017 11:45PM Dikemas Kini : 18 Nov 2017 12:05AM

SINGAPURA: Kuman boleh dijangkiti dari manusia ke manusia, dari manusia ke permukaan yang disentuh dan kemudian dari permukaan yang disentuh ke manusia semula.

Tahukah anda sebahagian objek di dalam rumah anda juga menjadi ‘rumah’ kepada lebih 340 jenis kuman?

Meskipun tidak semua kuman berbhaya, terdapat beberapa jenis yang boleh dikategorikan sebagai “bahaya” dan boleh dijumpai di rumah. Ini termasuk norovirus, E. coli, salmonela dan staphylococcus aureus.

Jika bakteria berbahaya ini menyusup masuk ke dalam tubuh, ia hanya memerlukan 20 minit untuk membiak.

Mustahil untuk mengelak sepenuhnya daripada bakteria. Namun ia wujud di dapur, bilik air dan ruang tamu dan apakah langkah-langkah yang anda lakukan untuk melindungi diri daripada jangkitan?

Berikut adalah lima peralatan yang mungkin boleh dikesan di rumah anda:

1. MESIN BASUH

Meskipun setiap basuhan menggunakan sabun dan air, namun ia mungkin tempat terbaik untuk kuman membiak. Lebih-lebih lagi apabila kain baju yang basah dibiarkan di dalam mesin.

Malah, sebahagian kuman boleh terus kekal setelah kain baju itu dibasuh, lebih-lebih lagi apabila ia dibasuh menggunakan air sejuk.

UNTUK MENGHAPUSKAN KUMAN:

Basuh kain baju menggunakan air panas dan keluarkannya daripada mesin basuh sebaik saja habis dicuci.

Jika kain baju yang basah dibiarkan lebih 30 minit, segera basuh kali kedua. Untuk perlindungan tambahan, lap bahagian dalam mesin dengan tuala dan cecair penghapus kuman setelah ia digunakan.

(Gambar: Pixabay/stevepb)

(Gambar: Pixabay/stevepb)

2. BOTOL CILI DAN KICAP

Adakah anda menggunakan cili dan kicap langsung daripada botolnya semasa memasak atau makan? Jika ya, besar kemungkinan anda sedang menyebarkan kuman.

Menurut kajian Universiti Virginia, 30 orang dewasa dengan tanda-tanda awal selesema diminta menyenaraikan 10 objek yang sudah disentuh dalam tempoh 18 jam sebelumnya.

Para pengkaji kemudian menguji objek-objek tersebut untuk mengenal pasti sama ada ia menjadi punca selesama tersebut.

Secara keluruhannya yang disahkan positif adalah setiap botol garam dan botol serbuk lada hitam serta 41 peratus daripada semua permukaan yang diuji.

Botol-botol – seperti botol kicap dan botol sos cili – sering disentuh namun jarang dibersihkan. Oleh itu ia menjadi antara permukaan yang mudah untuk kuman membiak.

UNTUK MENGHAPUSKAN KUMAN:

Jangan setakat mengelap meja makan – lap juga botol-botol cili dan kicap. Untuk perlindungan tambahan, cuci tangan anda sebelum dan selepas memegangnya.

(Gambar: Pixabay/Public Domain Pictures)

(Gambar: Pixabay/Public Domain Pictures)

3. SPAN BASUH PINGGAN

Apabila Majlis Kebersihan Global meneliti paras pencemaran bakteria di rumah-rumah, mereka mendapati secara purata, span membasuh pinggan mangkuk adalah tempat pembiakan bagi 19.6 bilion bakteria.

Menurut kajian tersebut, span membasuh pinggan mangkuk yang anda gunakan mengandungi lebih banyak bakteria berbanding pemegang berus tandas.

Jika anda kerap menggunakan span yang lembab untuk membersihkan pinggan mangkuk, sudu garfu dan permukaan, anda mungkin secara tidak sengaja menyebarkan kuman berbahaya di merata dapur.

UNTUK MENGHAPUSKAN KUMAN:

Bersihkan span dengan air panas mendidih tidak akan menghapuskan keseluruhan bakteria. Sebaliknya, anda dinasihati supaya menggantikan span seminggu sekali.

(Gambar: Pixabay/jarmoluk)

(Gambar: Pixabay/jarmoluk)

4. BEG TANGAN

Beg tangan anda adalah tempat terbaik untuk kuman membiak. Pastinya, anda menggunakan beg hampir setiap hari dan meletakkannya pada pelbagai permukaan seperti meja makan, di dapur, kaunter pasar raya atau di bilik air di tempat kerja. Ratusan orang pula mungkin sudah mengendalikan wang yang ada di dalam beg anda.

Jika anda membawa peralatan solek di dalam beg, kuman berbahaya boleh juga melekat pada berus atau span solekan.

UNTUK MENGHAPUSKAN KUMAN:

Pastikan anda mengelap beg dengan tuala anti-bakteria sekerap mungkin. Jika boleh, cuci tangan anda dengan betul setelah memegang wang.

Paling ideal, peralatan solek disimpan dalam sebuah bilik yang bersih dan bukan di dalam beg. Bersihkan berus solekan secara kerap dengan sabun dan air atau semburan alkohol. Jika anda dijangkiti, segera gantikan alat solek mata.

(Gambar: Pixabay/Marlon Delibasic)

(Gambar: Pixabay/Marlon Delibasic)

5. PEMEGANG BERUS GIGI

Virus dan bakteria dari mulut boleh hidup selama berminggu-minggu pada permukaan berus gigi. Jika berus gigi anda disimpan berdekatan dengan singki atau mangkuk tandas, kuman mungkin boleh melekat pada berus gigi setelah anda membasuh tangan atau mengepam mangkuk tandas.

Jika berus gigi terjatuh atas lantai, lebih banyak kuman boleh melekat. Jika anda menyimpannya dalam bekas kedap udara, ia boleh bercendawan.

UNTUK MENGHAPUSKAN KUMAN:

Bersihkan berus gigi dengan betul setelah anda menggunakannya. Simpan berus gigi dalam keadaan ia memanjang dan biarkan ia kering.

Jangan berkongsi berus gigi dengan orang lain dan cuba menyimpannya secara berasingan untuk mengelak kuman tersebar dari satu berus gigi ke satu berus gigi yang lain. Gantikan berus gigi anda setiap tiga hingga empat bulan atau apabila berusnya sudah berjurai-jurai.

(Gambar: Pixabay/Bryan Rockpunk)

(Gambar: Pixabay/Bryan Rockpunk)

Sumber : CNA/NK/
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan