Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Melancong ke Korea Selatan? Nasi lemak kini ada dijual di sana

Kalau anda melancong ke Korea Selatan, sememangnya susah untuk mendapatkan makanan Melayu. Namun kini Nasi lemak sudah 'sampai' ke Korea Selatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Melancong ke Korea Selatan? Nasi lemak kini ada dijual di sana

Encik Duzy (bertopi) bersama pelanggan di kedai nasi lemaknya. (Gambar-gambar: Ben Duzy/Facebook)

Diterbitkan : 03 Dec 2017 07:19PM Dikemas Kini : 03 Dec 2017 07:25PM

KOREA SELATAN: Kalau anda melancong ke Korea Selatan, sememangnya susah untuk mendapatkan makanan Melayu. Namun kini Nasi lemak sudah 'sampai' ke Korea Selatan.

Ia dijual oleh seorang lelaki berasal dari Sabah, Encik Duzy Noramzamnas Abdul Aziz, yang kini meraih keuntungan yang lumayan, selain memudahkan orang menjamu hidangan halal di Seoul.

Semua itu tercetus disebabkan kesukaran mendapatkan makanan halal di sana.

Sejak berpindah ke Seoul pada tahun lalu, Encik Duzy berjumpa dengan ramai rakyat Malaysia yang mengadu mereka sukar mendapatkan makanan halal, lapor laman New Straits Times (NST).

Encik Duzy berkata, beliau sendiri sukar mencari makanan halal semasa pertama kali mengunjungi Seoul tahun lalu dan itulah yang membuatkan beliau bertekad untuk kembali ke sana dengan rancangan berniaga.

MULAKAN KHIDMAT PENGHANTARAN NASI LEMAK

Pada bulan September tahun ini, beliau memulakan perniagaan menghantar nasi lemak, menyediakan sekitar 40 bungkusan nasi lemak sehari, lapor NST.

"Maklum balas yang diterima begitu menggalakkan," kata Encik Duzy.

"Di Korea Selatan, tidak terdapat banyak pilihan makanan halal. Saya mendapat ilham daripada tabiat rakyat Malaysia yang memakan nasi lemak pada waktu sarapan, makan tengah hari, makan malam malah pada lewat malam," beliau memberitahu akhbar tersebut.

"Memandangkan ia hidangan tradisional Malaysia yang popular, saya memutuskan untuk memulakan khidmat penghantaran. Saya mula memasarkan nasi lemak online, di mana para pelanggan boleh membuat tempahan sehari sebelumnya menerusi aplikasi mudah alih WhatsApp atau KakaoTalk."

Sebaik menerima alamat pelanggan, Encik Duzy akan membungkus nasi lemak dalam bekas yang boleh dimasukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro dan menghantarkannya menerusi Kereta Api Metropolitan Seoul.

NASI LEMAK TURUT DINIKMATI RAKYAT KOREA SELATAN, WARGA ASING

Pada awalnya, Encik Duzy menyasarkan para pekerja, para penuntut dan pelancong rakyat Malaysia di Seoul.

Perniagaan beliau bagaimanapun bertambah maju sehingga rakyat Korea Selatan dan para pelancong dari negara-negara lain turut menikmati nasi lemak yang beliau hidangan dengan sambal khas, ikan bilis, timun, telur dan lauk-pauk lain bergantung kepada keinginan pelanggan.

Encik Duzy (bertopi) bersama pelanggan di kedai nasi lemaknya. (Gambar-gambar: Ben Duzy/Facebook)

Baru dua bulan menjual nasi lemak, Encik Duzy mengembangkan lagi perniagaan itu dengan bekerjasama dengan rakan niaganya dari Korea Selatan, Han Ji-Sung, yang memiliki Rumah Tamu Pop@Itaewon di Itaewon, lapor NST lagi.

Beliau menubuhkan sebuah gerai Nasi Lemak Berlauk Panas di tingkat paling atas rumah tamu tersebut, yang menawarkan pandangan menarik bangunan-bangunan pencakar langit di ibu kota itu.

Nasi lemak biasa yang dijual Encik Duzy berharga ₩5,000 won (S$6.30).

"Untuk lebih banyak sambal, telur, nasi atau tambahan bahan-bahan lain seperti sotong, kupang dan ayam, harganya ditambah antara 500 won hingga 4,000 won," kata Encik Duzy lagi.

NASI LEMAK SAMA SEPERTI BIBIMBAP

"Sejak gerai itu dibuka, orang ramai boleh datang dan segera menikmati nasi lemak. Kebanyakan pelanggan adalah rakyat Malaysia dan warga asing dari Belanda, Jepun, Indonesia, China dan Perancis.

"Rakyat Korea Selatan menyamakan nasi lemak dengan bibimbap, iaitu nasi yang dihidangkan dengan pes cili dan sayur-sayuran.

"Mereka sering makan bibimbap, sama seperti rakyat Malaysia makan nasi lemak," cerita warga Malaysia itu yang mungkin boleh dianggap sebagai orang pertama mengkomersilkan nasi lemak di Seoul dalam zaman media sosial ini.

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat nasi lemak, menurut Encik Duzy, dibeli dari pasar basah dan kedai-kedai warga asing di kawasan itu.

"Bahan-bahannya seperti ikan bilik, cili kering, kupang segar dan sotong boleh dibeli dari Pasar Noryangjin.

"Bahan-bahan Malaysia seperti belacan, asam, santan dan daun pandan boleh dibeli di sebatang jalan 'warga asing', Itaewon (yang juga dianggap sebagai daerah warga asing di Seoul).

"Bahan-bahan ini penting untuk membuat nasi lemak yang rasanya sama dengan yang dibuat di Malaysia.'

MENCABAR BERNIAGA DI KOREA SELATAN

Itaewon adalah lokasi yang popular di kalangan para pelancong dan para pegawai tentera Amerika Syarikat.

Encik Duzy berkata banyak restoran di Itaewon menyediakan hidangan yang tidak banyak dijual di Korea Selatan, seperti hidangan dari India, Pakistan, Turki, Asia Tenggara, Britain, Jerman, Itali, Perancis, Portugal, Sepanyol dan Mexico.

"Terdapat banyak pemintaan bagi makanan halal. Industri makanan halal sedang berkembang pesat di Korea Selatan."

Menurut Encik Duzy, peluang-peluang untuk menceburi perniagaan dalam industri tersebut begitu menggalakkan.

"Sekalipun begitu, hidup dan mengendalikan perniagaan di sebuah negara asing, lebih-lebih lagi Korea Selatan, agak mencabar. Rakyat Korea Selatan dan Jepun adalah yang paling rajin di dunia. Saya perlu bekerja lebih keras untuk bersaing dengan mereka. Kadang-kala tertekan tetapi semuanya berbaloi."

Sebelum berpindah ke Korea Selatan, Encik Duzy melancong ke Korea Selatan dan Jepun sambil meneroka budaya dan tempat-tempat menarik di sana.

Pada bulan November tahun lalu, beliau mengunjungi Korea Selatan buat pertama kali bersama rakan-rakannya dan berada di sana selama dua bulan.

"Saya jatuh cinta dengan budaya rakyat Korea. Saya kemudian ke Jepun selama 40 hari.

"Memandangkan kos kehidupan di sana terlalu tinggi, saya kembali ke Seoul untuk terus belajar tentang budaya dan bahasa mereka kerana negara itu membuatkan saya berasa selesa."

TURUT JADI PEMANDU PELANCONG

Lengkap dengan pengalaman yang luas dan pengetahuan mengenai negara itu, Encik Duzy kini mengatur perjalanan dan memandu para pelancong Malaysia yang mengunjungi Korea Selatan.

Beliau menggalak para pelancong untuk mengunjungi Masjid Seoul Central di Itaewon, yang dibangunkan menerusi dana yang diterima dari negara-negara Muslim dan dibuka pada tahun 1976.

Kawasan masjid seluas 5,000 kaki persegi itu merupakan hadiah dari pemerintah Korea Selatan. 

Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan