Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Majalah Playboy tampilkan wanita Muslim berhijab, pertama kali sejak 63 tahun

Majalah Playboy, yang popular dengan imej pornografi, buat pertama kali menampilkan seorang wanita Muslim berhijab, dalam beberapa muka surat yang menerima pujian dan juga kritikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Majalah Playboy tampilkan wanita Muslim berhijab, pertama kali sejak 63 tahun

Gambar hiasan majalah Playboy. (Gambar: JACK GUEZ / AFP)

Diterbitkan : 28 Sep 2016 11:26AM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 11:36AM

LOS ANGELES: Majalah Playboy, yang popular dengan imej pornografi, buat pertama kali menampilkan seorang wanita Muslim berhijab, dalam beberapa muka surat yang menerima pujian dan juga kritikan.

Seorang wartawan Amerika, Noor Tagouri ditampilkan dalam isu bulan Oktober, dengan tema yang ditumpukan kepada lelaki dan wanita yang “mengambil risiko – termasuk nyawa – semata-mata untuk melakukan sesuatu yang dicintai mereka”.

Gadis berusia 22 tahun yang bertugas sebagai wartawan Newsy, iaitu rangkaian berita video, ditampilkan memakai jaket kulit berwarna hitam, seluar jeans, kasut ‘sneakers’ dan hijab, dan disifatkan sebagai “seorang aktivis yang tegas”.

PLAYBOY LEMBUTKAN IMEJ

Tagouri, yang berasal dari Libya dan bercita-cita menjadi penyampai berita “berhijab” pertama di kaca televisyen Amerika Syarikat (AS) berkata, kesukaran yang beliau lalui sebagai seorang wanita Muslim yang membesar di AS banyak membantu beliau maju dalam kerjayanya.

“Saya tahu bagaimana rasanya kisah-kisah tentang masyarakat Islam dieksploitasi media,” beliau memberitahu Playboy, yang mula tidak memaparkan gambar model-model bogel pada tahun ini sebagai usahanya menarik lebih ramai pembaca.

“Terdetik di hati saya ‘Hey, saya tahu bagaimana rasanya disalahtafsirkan oleh media. Saya tidak akan lakukan itu kepada anda. Saya mahu menceritakan kisah anda kerana ia penting dan layak mendapat keadilan’.”

Tagouri, yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di laman media sosial, mula menarik perhatian ramai setelah melancarkan kempen #LetNoorShine yang menjadi viral pada tahun 2012.

TAGOURI DISELAR SESETENGAH PIHAK

Penampilan beliau dalam majalah Playboy yang sudah diolah semula disifatkan oleh ramai orang sebagai satu kejayaan besar, namun sesetengah pihak menyelar tindakan Tagouri.

“Playboy sinonim dengan pornografi,” menurut rencana yang diterbitkan dalam majalah online The Muslim Vibe.

“Ia peneraju perbuatan menjadikan wanita sebagai objek, sesuatu yang seksual dan komodifikasi selama bertahun-tahun dan hanya kerana ia melembutkan imej, tidak bermakna kita boleh mula mendekatinya.”

Seorang penulis blog Nishaat Ismail juga mempersoalkan kebijaksanaan Tagouri yang mengaitkan dirinya dengan sebuah institusi yang “berasaskan wanita sebagai objek”.

“Adakah suara-suara kaum wanita – khususnya wanita Muslim – disekat terlalu dalam di sebalik suara-suara mereka yang mendakwa bercakap bagi pihak kita, sehingga satu-satunya respons yang dapat kita berikan adalah dengan melibatkan diri dengan Playboy, iaitu majalah yang wujud sejak 63 tahun lalu, hanya untuk kaum lelaki melopong melihatkan tubuh badan wanita separuh bogel?” tegas Nishaat.

“Adakah ini cara sebenar bagi kita menuntut semula kisah-kisah masyarakat Islam?”

Sumber : AFP/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan