Images
  • diabetes teenager
    Gambar fail seorang remaja yang menghidap penyakit kencing manis. (Gambar: AP)

Lindungi anak anda daripada kecing manis! Ini hujahnya…

SINGAPURA: Satu tinjauan kesihatan negara pada 2010 mendapati sepertiga rakyat Singapura berisiko mengalami penyakit kencing manis dalam hidup mereka.

Satu kertas kajian para akademik Universiti Nasional Singapura pada 2014 pula mendedahkan menjelang 2050, rakyat Singapura mungkin berisiko 50 peratus mengalami kencing manis Jenis 2.

Masalahnya, bukan golongan dewasa saja perlu berasa risau: Kadar kegemukan yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak bermakna golongan muda juga perlu peka risiko mengalami penyakit kronik ini.

Dr Christelle Tan, seorang spesialis Raffles Specialist, Raffles Holland V, berkata statistik kesihatan negara pada 2010 mendapati jumlah murid sekolah rendah yang gemuk atau sangat gemuk ialah 12 peratus dan pelajar sekolah menengah ialah 10.5 peratus.

“Kencing manis Jenis 1 dahulunya dikenali sebagai kencing manis zaman kanak-kanak kerana ramai penyakit didiagnos pada usia muda,” kata Dr Tan.

“Ia bagaimanapun, kekal di paras rendah dalam penduduk kita (hampir 3 daripada setiap 100,000 kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun). Kencing manis Jenis 2 lebih biasa berlaku pada zaman dewasa tetapi semakin didiagnos kepada kanak-kanak disebabkan masalah kegemukan."

Dr Tan menambah walaupun Jenis 1 lebih kepada masalah keturunan, kencing manis Jenis 2 lebih kepada faktor gaya hidup seperti kegemukan, tidak aktif dan mengamalkan tabiat makan yang tidak sihat.

BUKAN TENTANG GULA SAJA

“Mengalami kencing manis, menjejas kehidupan seorang kanak-kanak dan memaksa mereka melakukan perubahan kepada gaya hidup mereka yang mungkin tidak boleh diterima mereka secara mental dan emosi,” kata Ketua dan Pakar Runding Kanan Khidmat Endokrinologi Jabatan Pediatrik Hospital Kanak-Kanak dan Wanita Kandang Kerbau (KKH) Profesor Madya Fabian Yap.

Bagi mengelak isu kencing manis dan kegemukan di kalangan kanak-kanak, pakar-pakar memberitahu ibu bapa harus belajar bagaimana untuk menguruskan diet dan gaya hidup anak mereka dan ia bukan sekadar mengurangkan kadar gula dalam badan.

“Terlalu banyak gula tidak bermakna anak anda pasti menghidap kencing manis. Ia kaitan yang bukan secara langsung,” jelas pakar diet Aptima Nutrition & Sports Consultant Jaclyn Reutens.

“Mengambil gula dengan terlalu banyak mungkin menyebabkan lemak yang berlebihan dan lemak yang berlebihan meningkatkan risiko kencing manis. Teori ini sama juga bagi golongan dewasa.”

Beliau menambah walaupun kanak-kanak perlu sihat dan bertenaga untuk memadankan penggunaan tenaga mereka, makanan yang kerap dimakan mereka perlu mengandungi “zat, mineral, serat diet dan lemak baik” yang lain juga.

AMALKAN GAYA HIDUP YANG SIHAT

Untuk mengelak kegemukan di kalangan kanak-kanak, Cik Reutens menyarankan para ibu bapa menghidangkan makanan bijian sempurna kerana ia mengawal selera dan kadar gula dalam darah.

Ibu bapa juga harus menghadkan minuman manis anak mereka seperti air kordial, air tin dan jus buah-buahan. Sebaliknya, jadikan air putih sebagai minuman pilihan anak anda.

Dr Tan juga menggesa selain daripada mengikuti pelan diet yang baik, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka melakukan kegiatan fizikal dan bersenam.

Sebagai contoh, kanak-kanak berusia tujuh hingga ke 18 tahun harus melakukan kegiatan fizikal yang sederhana atau berat selama sekurang-kurang sejam dan sebanyak tiga kali seminggu.

“Kurangkan kegiatan yang memerlukan mereka duduk sepanjang hari seperti menonton televisyen atau menggunakan iPad. ‘Masa skrin’ harus dihadkan tidak melebihi dua jam sehari atau 14 jam seminggu,” kata Cik Reutens.

Profesor Yap menambah menggalakkan gaya gidup yang lebih sihat haruslah menjadi teras kepada para ibu bapa supaya dapat mencegah masalah kegemukan dan kencing manis.

“Memandangkan kegemukan dan kencing manis berkaitan dengan faktor keturunan, tingkah laku dan sekitaran, ia mendapati kencing manis Jenis 2 dapat dicegah dengan gaya hidup yang lebih sihat seperti mengamalkan pendekatan berjaga-jaga dan bertanggungjawab iaitu pelan diet dan kegiatan fizikal,” tegas beliau. 

- TODAY/RU/ru

Komen Anda?

Top