Images
  • Couple
    Ahmad Kamal Effendi Kamarudin, 26 tahun bersama isteri, Nik Idzni Dalila Nik Mahmud. (Gambar: Instagram Ahmad Kamal Effendi Kamarudin)

Lelaki kehilangan isteri pada ulang tahun pertama perkahwinan

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, kisah yang cukup menyayatkan hati tentang seorang lelaki yang kematian isterinya pada ulang tahun pertama perkahwinan mereka menjadi viral di laman media sosial.

Meskipun pasangannya menghidap barah buah pinggang tahap empat, ia bukanlah penghalang bagi Ahmad Kamal Effendi Kamarudin, 26 tahun untuk memperisterikan pasangannya, Nik Idzni Dalila Nik Mahmud.

Menurut laman Berita Harian Malaysia, pasangan itu berkenalan menerusi aplikasi media sosial Instagram selama empat bulan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin pada 27 Disember tahun lalu.

Selepas melayari bahtera alam perkahwinan selama setahun, isteri Encik Ahmad Kamal Effendi akhirnya tewas dalam pertarungannya melawan penyakit barah yang dihidapinya. Lebih menyedihkan, kematian isterinya berlaku pada tarikh ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Ahmad Kamal Effendi berkata, beliau sangat sedih kerana isterinya menghembuskan nafas terakhir tanpa beliau di sisi. "Ketika itu saya berada di rumah mentua di Kajang. Tetapi saya tidak terkilan kerana dapat menguruskan pengebumian termasuk memandikan dan mengkafankan jenazahnya.

"Awal bulan ini, kami sempat membuat majlis ringkas dengan makan bersama bagi menyambut ulang tahun perkahwinan kerana isteri tidak sihat.

"Isteri menghadiahkan saya iPhone dan saya pula memberi album mengandungi gambar sepanjang perkenalan kami sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Berita Harian Malaysia.

Menurut BHM lagi, Encik Ahmad Kamal Effendi bagaimanapun reda dengan pemergian isterinya dan sudah melakukan yang terbaik untuknya.

Gambar perkahwinan mereka dimuatnaik ke akaun Instagram miliknya dan beliau meluahkan perasaan sedih atas kehilangan isteri tercinta pada tahun pertama ulang tahun perkahwinan mereka.

Ramai pengguna laman media sosial berasa tersentuh oleh kisah pasangan itu dan mengutuskan salam takziah atas berita kematian isterinya. 

- Agensi berita/hz

Komen Anda?

Top