Lelaki kecewa gagal temui jodoh, 'kahwin' dengan robot
Bagi anda yang masih bujang dan sudah jemu mendengar keluhan ibu bapa anda tentang persoalan...'Bila kau nak kawin'..., jangan gusar. Anda barangkali masih lagi ada pilihan lain - teman hidup dalam bentuk robot!
BEIJING: Bagi anda yang masih bujang dan sudah jemu mendengar keluhan ibu bapa anda tentang persoalan...'Bila kau nak kawin'..., jangan gusar. Anda barangkali masih lagi ada pilihan lain - teman hidup dalam bentuk robot!
Itulah langkah cukup terdesak yang dilakukan seorang jurutera China, yang 'berkahwin' dengan 'wanita' robot ciptaannya sendiri.
Encik Zheng Jiajia, 31 tahun, mencipta 'wanita' robot itu gara-gara terlalu kecewa dan hampir putus asa setelah gagal menemui gadis idaman untuk dijadikan isterinya, lapor akhbar Qianjiang Evening News.
Pakar kecerdasan buatan itu menamakan 'isteri' robotnya itu Yingying.
Malah, meskipun Yingying hanyalah sebuah robot, ia bukanlah calang-calang robot. Yingying mampu mengenal pasti aksara-aksara Cina bahkan juga dapat meluahkan beberapa kata-kata yang ringkas.
Encik Zheng bagaimanapun tidak berhenti di situ - beliau merancang untuk mempertingkatkan lagi 'isteri' robotnya itu agar ia dapat berjalan, bahkan juga membantunya membuat kerja rumah, lapor Qianjiang Evening News.
Encik Zheng dan robotnya Yingying 'berkahwin' di sebuah majlis tradisional Cina - beliau memakai baju sut hitam, sementara 'pengantin perempuan' itu memakai skarf berwarna merah di kepalanya.
Bahkan lebih pelik lagi, menurut Qianjiang Evening News, ibu Encik Zheng dan rakan-rakannya turut hadir dan menjadi saksi di majlis ringkas tersebut.
Tidak pula diketahui sama ada Encik Zheng sempat berbulan madu dengan buah hati robotnya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.