Images
  • Polisi
    Lelaki yang bernama Polisi. (Gambar: INFO KRIMINAL & LALU LINTAS Daerah Pasuruan, Malang, Sidoarjo & Probolinggo/Facebook)

Lelaki ini mahu disaman polis, tetapi tak jadi kerana namanya ‘Polisi’

INDONESIA: Seorang pekerja binaan mendapat kerja di sebuah balai polis dan semuanya disebabkan nama beliau. Percaya atau tidak lelaki berkenaan bernama Polisi. Polis dalam bahasa Indonesia disebut Polisi.

Pada mulanya, Encik Polisi mahu disaman oleh polis trafik kerana menunggang motosikal tanpa lesen di Pasuruan, Jawa Timur, menurut laporan laman Tribunnews.

Namun setelah gambar kad pengenalan beliau menjadi viral di media sosial, pihak polis tempatan “mengambil” beliau sebagai maskot polis, sebelum mendapatkan lesen memandu untuk beliau. Malah, beliau ditawarkan kerja di balai polis tersebut, lapor Merdeka.com.
Encik Polisi berkata beliau tidak menyangka namanya itu membawa tuah.

TAK MAMPU DAPATKAN LESEN MEMANDU

Beliau antara beberapa rakyat Indonesia yang lain yang juga mempunyai nama aneh. Ini termasuk Tuhan, Saiton, Nabi dan Andi Go To School, lapor laman Jakarta Post.

Sebagai satu-satunya pencari nafkah keluarga setelah bapa beliau meninggal dunia, Encik Polisi tidak mampu membayar untuk mendapatkan lesen memandu, menurut laporan laman Detik News.

Sekarang, beliau berharap untuk menabung supaya dapat membiayai persekolahan adiknya.

Encik Polisi yang memulakan pekerjaan baru itu minggu ini berkata beliau agak gementar. “Ia satu pengalaman baru bagi saya, saya akan cuba menyesuaikan diri dengan pejabat. Saya janji untuk lakukan yang terbaik.”

Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh polis menunjukkan Encik Polisi pada hari pertama kerja dan lulus ujian motosikal.

Sekarang beliau sudah boleh menunggang motosikal dengan sah di atas jalan raya dan akan membantu para pegawai polis mengendalikan ujian memandu.

“Hari ini Polisi sah menjadi sebahagian daripada keluarga polis,” kata Ketua Unit Polis Erika Putra. 

- Agensi berita/NK/nk

Komen Anda?

Top