Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kurang tidur dikaitkan dengan risiko lebih tinggi kencing manis bagi kanak-kanak

Penyakit kencing manis Jenis 2 dahulunya khususnya bagi orang-orang dewasa kerana ia amat jarang di kalangan kanak-kanak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kurang tidur dikaitkan dengan risiko lebih tinggi kencing manis bagi kanak-kanak

(Gambar Fail: AFP/Indranil Mukherjee)

Diterbitkan : 16 Aug 2017 09:31PM Dikemas Kini : 16 Aug 2017 11:06PM

BERITA MEDIACORP: Kanak-kanak yang kurang tidur lebih berkemungkinan akan menghidapi penyakit kencing manis daripada kanak-kanak yang mendapat tidur yang mencukupi.

Demikian menurut satu kajian di Britain.

Ini kerana setiap jam tambahan untuk tidur yang kanak-kanak itu dapat setiap malam, dikaitkan dengan berat badan yang lebih rendah dan kadar gula yang lebih rendah dalam darah. Demikian menurut laporan oleh para pengkaji di Paediatrics. Obesiti dan kadar gula yang tinggi dalam darah adalah antara risiko penyakit kencing manis Jenis 2.

Hal ini berlaku apabila badan seorang tidak berfungsi dengan baik atau tidak mengeluarkan insulin hormon yang mencukupi untuk menukarkan gula dalam darah kepada tenaga.

"Dapatan-dapatan ini mencadangkan bahawa menambah masa tidur lebih panjang boleh menjadi pendekatan yang mudah dan menjimatkan untuk mengurangkan kadar lemak badan dan risiko menghidap penyakit kecing manis Jenis 2 ketika masih muda lagi," kata penulis kajian kanan, Christopher Owen, dari St. George’s, University London, menerusi email.

KENCING MANIS KINI BANYAK BERLAKU DI KALANGAN KANAK-KANAK

Gambar hiasan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami berat badan berlebihan. (GAMBAR: AFP PHOTO/Stephen SHAVER)

Gambar hiasan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami berat badan berlebihan. (GAMBAR: AFP PHOTO/Stephen SHAVER)

Penyakit kencing manis Jenis 2 dahulunya khususnya bagi orang-orang dewasa kerana ia amat jarang di kalangan kanak-kanak. Bagaimanapun hari ini, penyakit tersebut kini banyak berlaku di kalangan kanak-kanak. Ia sebahagian besarnya kerana berjuta-juta kanak-kanak di merata dunia menghidap masalah kegemukan atau obesiti, tidak melakukan senaman yang mencukupi dan terlalu banyak makan makanan manis dan berminyak.

Bagi kajian tersebut, para pengkaji meneliti data tinjauan mengenai tabiat tidur dan keputusan-keputusan makmal daripada ujian faktor-faktor risiko bagi penyakit kencing manis di kalangan 4,525 kanak-kanak di Britain, berusia 9 tahun atau 10.

Secara purata, kanak-kanak tidur selama 10.5 jam pada malam hari sekolah. Tempoh tidur pula menjangkau antara 8 hingga 12 jam.

AKIBAT BURUK DARIPADA KURANG TIDUR

Kanak-kanak yang kurang tidur dalam kajian tersebut didapati menghadapi faktor risiko penyakit kencing manis yang lebih tinggi yang juga dikenali sebagai kerintangan insulin. Ini berlaku apabila badan seseorang tidak berfungsi seperti biasa kepada hormon berkenaan.

Kanak-kanak yang kurang tidur juga lebih berkemungkinan menghidap masalah obesiti dan mempunyai lemak badan berlebihan, menurut kajian tersebut.

Kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun sepatutnya tidur sekitar 9 hingga 12 jam setiap malam, menurut Akademi Pediatrik Amerika. Tidak mendapat tidur yang mencukupi dikaitkan dengan meningkatnya risiko kecederaan, tekanan darah tinggi, obesiti dan kemurungan.

Kajian tersebut bukanlah sebuah experimen yang terkawal untuk membuktikan sama ada atau bagaimana kekurangan tidur boleh mengakibatkan penyakit kencing manis dalam kalangan kanak-kanak. Para pengkaji bergantung kepada kanak-kanak untuk mengingat semula dengan tepat dan melaporkan pukul berapa mereka tidur dan bangun. Ini mungkin tidak menggambarkan dengan tepat masa tidur yang mereka dapat.

Tambahan pula, terdapat kemungkinan bahawa kekurangan tidur boleh menjejas selera makan kanak-kanak dan kebolehan untuk mengawal gula dalam darah, kata Stacey Simon pakar psikologi tidur paediatrik di Kampus Perubatan Anschutz Universiti Coloradodan Hospital Kanak-kanak Colorado.

"Apabila kanak-kanak tidur terlalu terlambat atau tidur dengan jadual yang tidak teratur, mereka juga mungkin mengabaikan masa makan, makan pada waktu yang tidak teratur, atau kurang bersenam pada siang hari," kata Simon, yang tidak terlibat dalam kajian itu, melalui e-mel.

PERLU JAGA 'KESIHATAN TIDUR'

Gambar hiasan. (Gambar: Hernan Sanchez/Unsplash.com)

Gambar hiasan. (Gambar: Hernan Sanchez/Unsplash.com)

Menurut James Gangwisch, seorang penyelidik psikiatri di Universiti Columbia di New York, tidur yang tidak mencukupi boleh menjejas tahap hormon yang mengawal selera makan, mengakibatkan kanak-kanak semakin lapar dan meningkatkan nafsu untuk makanan ringan yang manis dan masin.

"Mendapat masa tidur yang mencukupi membantu mengawal selera makan dan berfungsi sebagai pelindung daripada kerintangan insulin," menurut Gangwisch menerusi kiriman email.

Selain memastikan kanak-kanak mempunyai masa tidur yang teratur, ibu bapa juga harus memberi tumpuan kepada apa yang dikenali sebagai 'kesihatan tidur' (sleep hygiene), kata Femke Rutters dari Pusat Perubatan Universiti VU di Amsterdam.

Ini termasuklah perkara-perkara seperti membataskan masa menggunakan alat mudah alih sebelum tidur dan memastikan bilik tidur gelap pada waktu malam. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan