Images
  • booboo cat 1
    Kucing bernama BooBoo yang ditemui di Kanada setelah menghilang dua setengah tahun lalu di California. (Gambar: Guelph Humane Society via AP)

Kucing 'mengembara' lebih 4,800km dari California ke Kanada

SAN FRANCISCO: Seekor kucing yang hilang di California dua setengah tahun lalu, ditemui semula akhirnya - di Kanada, beribu-ribu kilometer dari rumahnya.

Kucing bernama BooBoo itu, yang ternyata begitu asyik 'mengembara' hingga tidak pulang ke rumah pemiliknya, dilapor hilang pada Ogos 2014 di Watsonville, California.

Minggu lalu (30 Mac) , BooBoo akhirnya muncul semula - di tenggara Kanada, sekitar sejauh 4,830km dari rumahnya di California, Amerika Syarikat.

Namun apabila BooBoo dibawa ke Pusat Kemanusiaan Guelph di Toronto, kucing tersebut kelihatan kemas dan ternyata sudah menjaga dirinya dengan baik selama ini meskipun 'mengembara' jauh hingga merentasi sempadan negara.


Kucing bernama BooBoo. (Gambar: Guelph Humane Society via AP)

Pengarah Eksekutif persatuan itu, Adrienne McBride berkata BooBoo dalam "keadaan yang bagus sekali." Bahkan katanya, kucing itu sudah menjadi gemuk dan mungkin perlu berdiet apabila pulang ke pangkuan pemiliknya.

Jadi bagaimana agaknya BooBoo boleh merentas beribu-ribu kilometer dari California ke Kanada?

Pemiliknya, Ashley Aleman berkata BooBoo mungkin tumpang kereta orang kerana memang suka melompat ke atas kereta orang lain.

Kucing tersebut dikenal pasti sebagai BooBoo kerana mempunyai mikrocip pada tubuhnya.

Para pegawai perlindungan haiwan sudah membawa BooBoo pulang ke California. 

- AP/nd

Komen Anda?

Top
>