Images
  • Kek nasi lemak
    Kek Nasi Lemak. (Gambar: Tiana Kitchen)

Kini muncul pula Kek Nasi Lemak - Gila atau Kreatif?

BERITAMediacorp: Anda mungkin pernah dengar dan pernah makan bukan setakat kuih ondeh-ondeh, tetapi juga ‘sepupu-sepupu’ kueh tersebut - iaitu ‘kek' ondeh-ondeh dan 'kek cawan' ondeh-ondeh.

Kini, satu lagi makanan tradisional Melayu - iaitu Nasi Lemak - menjalani satu transformasi baru. Diperkenalkan, Kek Nasi Lemak! Konsep baru ini dicipta oleh seorang wanita bernama Jennifer Yap di Malaysia.

Sebenarnya, ini merupakan ‘olahan’ terbaru makanan berdasarkan rasa Nasi Lemak, selepas munculnya ‘Biskut Nasi Lemak’ atau ‘Nasi Lemak Cookies’, dan ‘Aiskrim Nasi Lemak'.


Nasi Lemak Cookies yang dijual The Cookie Museum. (Gambar: Blog SGComplainQueen)

Tapi bagaimana pula rupa bentuk Kek Nasi Lemak? Adakah ia diperbuat daripada tepung atau daripada nasi? Adakah ia menggunakan krim yang berperisa sambal, atau menggunakan sambal sebenar?

Mungkin itulah antara persoalan yang bermain-main di fikiran sesetengah orang apabila mendengar tentang ‘Kek Nasi Lemak’.


Kek Nasi Lemak. (Gambar: Tiana Kitchen/Facebook)

Ini jawapannya! Kek Nasi Lemak ini sebenarnya adalah nasi lemak yang dibentuk seperti kek beserta lapisan telur rebus, dan diletakkan hiasan seperti sambal tumis, ikan bilis serta kacang.

Malah, hiasan 'kek' boleh diubah suai mengikut cita rasa pembeli.

Kek Nasi Lemak ini dipasarkan dan dijual oleh Tiana Kitchen, yang berpangkalan di Damansara Kuala Lumpur, oleh Cik Jennifer Yap, 27 tahun bersama ibunya Tatiana, 46 tahun, menurut laporan laman The Star.

Menurut laporan itu lagi, pasangan ibu dan anak itu mendapat inspirasi untuk mencipta kek nasi lemak setelah ternampak gambar-gambar di laman Facebook dan memutuskan untuk cuba menghasilkannya sendiri sempena ulang tahun anak Cik Jennifer pada tahun lalu.


Meskipun idea Kek Nasi Lemak itu bukanlah baru, tetapi menurut Cik Jennifer mereka merupakan yang pertama memulakan perniagaan khas menjualnya.

Yang menariknya, 'kek' yang dijual bukan hanya diletakkan hiasan biasa, iaitu ikan bilis dan kacang, malah Tiana Kitchen menawarkan pelbagai lagi jenis 'topping' supaya pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

Jika dilihat di laman Facebook Tiana Kitchen, antara 'topping' yang ditawarkan termasuk petai, sotong dan abalone. Selain itu, Kek Nasi Lemak mereka juga kelihatan menarik dengan bahagian tepinya 'dipagari' hirisan timun.

KEK MEE REBUS? KEK NASI AMBENG?

Adakah ini kerja gila atau kerja kreatif? Kata orang Melayu, tepuk dada tanya selera. Belum cuba belum tahu. Mungkin pelangganlah yang menjadi hakim terbaik segala usaha pembaharuan seperti ini. Iaitu, berdasarkan sambutan dan jumlah pesanan yang diterima si peniaga.

Mungkin selepas ini muncul pula Kek Mee Rebus, Kek Mee Siam, Kek Nasi Ambeng, Kek Nasi Minyak atau Kek Nasi Beriani? Dengan daya kreatif manusia masa kini, tiada orang yang boleh menyatakan ini ‘tidak mungkin’ berlaku. Segalanya mungkin dewasa ini.

Mungkin persoalan yang lebih tepat ialah: Siapakah yang akan menjadi pemulanya?

MAKANAN TRADISIONAL MELAYU VERSATIL

LAPORAN BERKAITAN: Kini ada Aiskrim Nasi Lemak di Malaysia

Sebelum ini, terdapat seorang anak muda yang mencipta Aiskrim Nasi Lemak. Biarpun janggal bunyinya, ia berjaya menjadi satu inovasi yang menarik perhatian ramai.

Nasi lemak juga pernah diolah menjadi kek cawan. Menerusi tinjauan BERITAMediacorp di laman Facebook, terdapat beberapa peniaga online yang mengambil langkah berani menghasilkan kek cawan berperisa nasi lemak.

Ternyata, Nasi Lemak bukan sekadar makanan tradisi yang digemari ramai. Ia mampu bertahan dari zaman ke zaman malah boleh diubah suai mengikuti cita rasa moden. Cukup versatil! 

- BERITAMediacorp/Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top