Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Khidmat menjaga wanita lepas bersalin dapat permintaan tinggi

Media sosial mempengaruhi khidmat-khidmat yang ditawarkan bagi wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Media sosial mempengaruhi khidmat-khidmat yang ditawarkan bagi wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan.

Tinjauan BERITAMediacorp mendapati khidmat menjaga wanita lepas bersalin dapat permintaan tinggi.

Namun, adakah trend mendapatkan bantuan pihak ketiga dalam urusan keluarga menjejas tradisi dan hubungan keluarga?

PERMINTAAN KHIDMAT PENGHANTARAN MAKANAN KETIKA BERPANTANG MENINGKAT

Berbeza dengan zaman dahulu, ibu hamil kini boleh mendapatkan pelbagai khidmat dalam talian dengan hanya menekan butang tetikus.

Ini termasuk penghantaran makanan ketika berpantang hingga khidmat seorang teman semasa dan selepas melahirkan.

"Trend ini sememangnya semakin berleluasa tetapi bukan kerana tidak mampu menyiapkan makanan sewaktu mengandung tetapi kerana pasangan tidak tinggal bersama kedua ibu bapa," kata Cik Munishah Mohd Yunos, pemilik Noor Confinement Food SG.

Cik Siti dan tiga beradiknya menyediakan khidmat makanan berpantang sebagai meneruskan perniagaan yang dimulakan Allahyarhamha ibu mereka.

Perniagaan mereka meningkat 40% tahun ini dengan tempahan sehingga Jun depan sudah penuh.

Pelanggan boleh memilih pakej secara mingguan atau bulanan. Diantara makanan berpantang yang disediakan termasuk Ayam Herba, Salmon Panggang berempah, Sup Lobak Putih dan Ikan Bilis Daun Penggaga.

IBU MILENIAL BELANJA LEBIH $3,000 BAGI DAPATKAN KHIDMAT SEBELUM BERSALIN

Bagi Cik Nur Humairah Muhleseddin, khidmat yang disediakan pembekal makanan berpantang memastikan beliau mendapat makanan sihat dan berkhasiat.

Setakat ini beliau telah membelanjakan lebih $3,000 bagi tiga khidmat sebelum dan selepas bersalin.

"Untuk saya khidmat misalnya makanan semasa berpantang penting untuk saya kerana mungkin saya tidak ada masa untuk masak untuk diri sendiri dan juga mungkin saya tidak mendapat bantuan daripada ibu mertua sebab mereka sibuk bertugas semasa saya berpantang di rumah, jadi dengan melanggani khidmat makanan semasa berpantang saya boleh meluangkan lebih masa untuk mengenali dan menjaga diri saya.

"Dari segi khasiat pula, saya rasa mereka yang pakar dalam makanan berpantang lebih mengetahui tentang apa yang harus diberikan pada ibu berpantang, apa yang harus mereka minum atau makan," kongsinya kepada pihak kami.

PASANGAN TEMPAH DOULA SEAWAL TAHAP PERANCANGAN DAPATKAN ANAK

Beliau turut mengambil khidmat seorang doula - iaitu seorang pendamping bagi wanita yang bakal melahirkan bayi dan juga selepas melahirkan.

"Antara teori yang diajarkan ialah bagaimana untuk mereka mengesan bilakah waktu yang tepat atau waktu terbaik untuk terus ke hospital dan juga cara-cara suami untuk membantu isterinya seperti cara bernafas, cara dia membawa diri, apa yang saya ajarkan adalah bagaimana untuk kita mengesan perbezaan sebelum dan sewaktu proses kelahiran itu," kata Cik Hidya Sahid seorang doula yang dilanggani Cik Humairah dan suaminya.

Menariknya lagi, Cik Hidya menambah terdapat beberapa ibu muda sudah membuat tempahannya seawal tahap perancangan untuk mendapatkan anak.

BANTUAN PIHAK KETIGA DALAM URUSAN KELUARGA MENJEJAS TRADISI & HUBUNGAN KELUARGA?

Namun, dengan adanya pelbagai khidmat ini, adakah ia merubah tradisi lama di mana seorang ibu atau ahli keluarga terdekat membantu menjaga ibu hamil?

"Dahulu mungkin doula itu peranannya dipenuhi oleh kaum keluarga, ibu yang mengandung itu seperti ibunya sendiri, neneknya, makcik-makciknya, atau pakar bidan kampung itu, tapi memandangkan keadaan sekarang ramai pasangan yang tinggal berjauhan daripada keluarga mereka. Mungkin itulah sebab, dengan juga kesedaran khidmat doula ini ada, jadi mereka mungkin rasa ini mungkin satu keperluan," tekan Cik Hidya.

Bagi Cik Humaira sendiri perbezaan masa memainkan peranan penting dalam perubahan peranan ini.

"Waktu sekarang ramai dari ibu-ibu kita, ibu mertua kita yang sibuk bertugas. Jadi dengan melanggani khidmat-khidmat tersebut saya mengelak daripada waktu-waktu yang saya mungkin keseorangan," katanya.

Sememangnya, dengan peredaran zaman dan kedatangan teknologi, khidmat-khidmat moden ini membantu memudahkan golongan ibu milenial. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan