Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kembar Kota Singa jelajah dunia dengan muzik genderang Melayu

Tidak seperti tahun lalu, penyertaan sepasang adik-beradik kembar dalam Pesta Malam Singapura membawa makna yang berbeza pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak seperti tahun lalu, penyertaan sepasang adik-beradik kembar dalam Pesta Malam Singapura membawa makna yang berbeza pada tahun ini.

Nahas jalan raya yang nyaris-nyaris meragut nyawa abang tiri seibu mereka pada Mei tahun lalu merubah perjalanan seni Zulfahmi Othman dan kembarnya Zulfadhli Othman, 24 tahun.

Kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Pantai Marina (MCE) pada Mei 2016 menyebabkan abang mereka, Abdillah 32 tahun, cedera parah sehingga terpaksa menjalani pembedahan otak.

Menyusuli kemalangan tersebut, abang mereka yang belum berumah tangga, terlantar di Hospital Besar Singapura (SGH) selama dua bulan dan sepanjang tempoh itu beliau dijaga dengan sabar dan penuh kasih sayang oleh kedua-dua adiknya.

“Masa itu amat sukar bagi keluarga kami. Tapi pada masa itu, Nadi dan Bloco tidak ada sebarang persembahan yang besar. Dua bulan saya jaga abang di hospital, termasuk di ICU. Kami berlatih seperti biasa dan ia tidak menjejas jadual kami. Alhamdullilah semuanya teratur,” kata Zulfahmi.

Abang kesayangan mereka masih perlu menjalani rawatan di hospital setiap bulan dan daya ingatannya turut terjejas akibat kemalangan tersebut.

“Bukan mudah, tapi kita menganggapnya sebagai satu ujian. Kita redha dan menerima ketentuan Illahi,” kata Zulfadhli.

Sebelum ditimpa kemalangan, abang mereka sering melancong ke luar negara sendirian. Menurut kedua-dua adik-beradik itu, cuma Amerika Selatan dan Antartik saja yang belum dikunjungi abang mereka.

“Abang menjadi sumber inspirasi kepada kami berdua untuk menjelajah dunia dan tidak takut mengharungi pelbagai cabaran. Saya ingin menjadi sepertinya. Dia adalah idola saya… Dia seorang yang kuat semangat dan tidak berputus asa. Walaupun dengan keadaannya sekarang, dia tetap bercita-cita untuk ke luar negara. Pada 2019 insya Allah dia bercita-cita menunaikan ibadah haji. Kita doakan yang terbaik,” luah Zulfahmi.

Encik Abdillah (tengah) apabila di Afrika Timur pada tahun 2012. (Gambar: Zulfahmi & Zulfahdli Othman)

Encik Abdillah (tengah) apabila di Afrika Timur pada tahun 2012. (Gambar: Zulfahmi & Zulfahdli Othman)

MUZIK BUKAN LAGI SETAKAT HIBURAN

Pasangan adik-beradik kembar ini adalah sebahagian daripada kumpulan Bloco Singapura yang dijadual akan membuat persembahan di Pesta Malam Singapura 2017.

Minat mereka terhadap muzik bukan lagi setakat untuk menghiburkan para penonton tetapi kini lebih cenderung kepada menyumbang semula kepada masyarakat.

Selain membuat persembahan di pelbagai pesta, Zulfahmi dan Zulfadhli juga menyumbang semula kepada masyarakat dengan bermain muzik.

Sebelum ini, mereka juga pernah mengambil bahagian dalam Perbarisan Hari Kebangsaan, Perarakan Chingay dan acara-acara amal seperti Projek Kasih.

Kedua-dua adik-beradik ini juga sering berkongsi ilmu tentang cara-cara bermain genderang dengan murid-murid sekolah dan golongan remaja di kelab-kelab masyarakat.

“Apabila kita di atas pentas, bukan untuk rasa megah. Niat dan tujuan kita untuk berkongsi muzik. Kita bermain muzik bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk masyarakat dan generasi yang akan datang. Contohnya dengan Nadi supaya anak-anak muda dapat menghargai lagu-lagu dan muzik Melayu,” kata Zulfadhli.

Zulfahmi dan Zulfadhli semasa terlibat dalam Projek Kasih 2013 bersama Nadi Singapura. (Gambar: Mediacorp)

Zulfahmi dan Zulfadhli semasa terlibat dalam Projek Kasih 2013 bersama Nadi Singapura. (Gambar: Mediacorp)

BAWA MUZIK S’PURA KE PENTAS ANTARABANGSA

Kedua-dua adik-beradik ini menganggotai dua kumpulan genderang yang berbeza iaitu Bloco Singapura, yang lebih menjurus kepada permainan alat-alat muzik Brazil dan Nadi Singapura, yang melestarikan alat-alat muzik tradisional Melayu.

Kembar ini juga berpengalaman bermain muzik bersama kumpulan-kumpulan dari luar negara seperti Indonesia, Malaysia, Taiwan dan Jepun.

Mereka pernah mengharumkan nama Singapura melalui persembahan di Pesta Ten Drums 2011 (Tainan, Taiwan), Pesta Dangkong 2013 (Karimun, Indonesia), Pesta Belia Putrajaya 2013 (Kuala Lumpur, Malaysia), Pesta Seni Pentas Antarabangsa Solo 2016 di Indonesia dan baru-baru ini di Pesta Pelabuhan Hakodate 2017 (Hakodate, Jepun).

Zulfadhli (barisan depan, dua dari kiri) di Festival Belia Putrajaya 2013, Malaysia. (Gambar: Nadi Singapura)

Zulfadhli (barisan depan, dua dari kiri) di Festival Belia Putrajaya 2013, Malaysia. (Gambar: Nadi Singapura)

“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila di Solo di mana kita berpeluang untuk belajar tentang alat-alat muzik dari Indonesia dan dapat mengenali mereka yang juga berminat bermain muzik.” kata Zulfadhli

Zulfahmi (belakang, tengah) di Pesta Pelabuhan Hakodate 2017, Jepun. (Gambar: Mohd Yaziz/Facebook)

Zulfahmi (belakang, tengah) di Pesta Pelabuhan Hakodate 2017, Jepun. (Gambar: Mohd Yaziz/Facebook)

“Kami berharap dapat menjelajah lebih banyak negara, seperti Korea Selatan. Itu menjadi tujuan kita yang seterusnya,” kata Zulfahmi.

BIJAK BAHAGIKAN MASA

Selain bermain muzik, kembar ini juga mempunyai pekerjaan tetap dan mereka bijak membahagikan masa untuk kerjaya, latihan muzik, persembahan dan juga menemani abang mereka ke sesi janji temu doktor.

“Sering kalinya, kami berdua terlibat dalam persembahan yang sama. Jadi kita selalu cuba untuk bertolak ansur dan pastikan yang kita ketepikan masa untuk kerja, muzik dan keluarga,” kata Zulfahmi.

“Kami juga berterima kasih kepada ketua-ketua Nadi Singapura, Riduan Zalani dan Yaziz Hassan, dan ketua Bloco Singapura, Syed Ahmad yang sentiasa memahami situasi dan jadual kami, dengan abang yang sakit,” kata Zulfadhli.

Zulfahmi dan Zulfadhli bakal membuat persembahan dengan Bloco Singapura di Pesta Malam Singapura 2017 yang akan berlangsung dari 25 hingga 26 haribulan ini dan kemudian bersama Nadi Singapura di Singa Drum Gaia pada bulan depan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan