Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kemas rumah, jalan kaki ke tempat kerja kurangkan risiko kematian

Satu daripada 12 kematian dalam tempoh lima tahun boleh dicegah menerusi kegiatan fizikal - termasuk mengemas rumah atau berjalan kaki - selama 30 minit, lima hari seminggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemas rumah, jalan kaki ke tempat kerja kurangkan risiko kematian

Gambar fail. (Gambar: AFP/Noel Celis)

Diterbitkan : 22 Sep 2017 08:19PM Dikemas Kini : 22 Sep 2017 08:41PM

BERITAMediacorp: Satu daripada 12 kematian dalam tempoh lima tahun boleh dicegah menerusi kegiatan fizikal - termasuk mengemas rumah atau berjalan kaki - selama 30 minit, lima hari seminggu.

"Gaya hidup yang aktif (selama 750 minit seminggu) dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah," menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.

Kajian itu, yang dijalankan ke atas 130,000 orang dari 17 negara, "mengesahkan di peringkat global bahawa kegiatan fizikal dikaitkan dengan risiko lebih rendah kematian dan penyakit jantung," menurut penulis kajian dalam satu kenyataan media.

Ini disahkan tidak mengira walau dari mana asal para peserta, jenis kegiatan yang mereka lakukan atau sama ada ia dilakukan secara riadah atau semasa dalam perjalanan sehari-hari atau semasa melakukan kerja rumah.

150 MINIT ATAU 75 MINIT SETIAP MINGGU

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar kegiatan fizikal "bertahap sederhana" dilakukan sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu atau mengambil masa selama 75 minit setiap minggu bagi yang "bertahap lasak".

Menurut penulis kajian itu, hampir suku daripada penduduk dunia tidak memenuhi keperluan itu.

Kajian baru itu menunjukkan kegiatan "berjalan kaki paling kurang selama 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu mempunyai banyak manfaat," kata Ketua Penulis Kajian, Scott Lear dari Universiti Simon Fraser di Kanada.

Kajian itu dijalankan ke atas para peserta dari usia 35 hingga 70 tahun yang menetap di kawasan bandar dan juga terpencil, baik di negara maju mahupun yang miskin.

Para peserta dipantau selama hampir tujuh tahun.

RISIKO KEMATIAN LEBIH TINGGI JIKA TIDAK IKUT TEMPOH KEGIATAN YANG DISARAN

Para pengkaji mencatat jumlah mereka yang mengalami serangan jantung, angin ahmar atau kegagalan jantung, antara pelbagai penyakit lain dan membandingkannya dengan jumlah kegiatan fizikal setiap individu.

"Daripada 106,970 orang yang memenuhi garis panduan kegiatan, 3.8 peratus menghidap penyakit jantung berbanding 5.1 peratus yang tidak menghidapinya," kata penulis.

"Risiko kematian juga lebih tinggi bagi mereka yang tidak memenuhi tempoh kegiatan yang disarankan - 6.4 peratus berbanding 4.2 peratus bagi mereka yang mematuhinya."

Kegiatan fizikal dilakukan sebagai sebahagian daripada perjalanan sehari-hari ke tempat kerja atau kerja rumah didapati adalah yang paling biasa.

"Secara keseluruhannya, lebih banyak kegiatan yang dilakukan seseorang semakin rendah risiko kematian dan penyakit jantung."

Sumber : Agensi berita/NK/
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan