Images
  • student
    Gambar fail para pelajar di bilik darjah. (Gambar: TODAY/Ernest Chua)

Kebanyakan remaja ‘agak gembira’ dengan kehidupan mereka meski dibuli, hadapi tekanan

PARIS: Meskipun berdepan dengan penggunaan internet yang melampau dan ancaman dibuli, kebanyakan remaja merata dunia “agak gembira” dengan kehidupan mereka, menurut satu tinjauan utama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Ditanya mengenai tahap kegembiraan dengan hidup mereka dalam skala sifar hingga 10, sekitar 370,000 remaja berusia 15 tahun memberi markah purata 7.3, tambah laporan OECD yang berpangkalan di Paris dan menerbitkan dapatannya itu pada Rabu (19 Apr).

Para responden adalah antara 540,000 pelajar dari 72 buah negara yang menyertai tinjauan itu yang dijalankan Penilaian Pelajar Antarabangsa OECD (PISA) pada 2015.

Tinjauan itu juga mendedahkan perbezaan ketara antara negara berbeza. Kurang daripada 4 peratus pelajar di Belanda mengatakan mereka “tidak gembira” dengan kehidupan mereka, berbanding lebih 20 peratus di Korea Selatan dan Turki yang mengatakan perkara yang sama.

Secara keseluruhan remaja lelaki didapati lebih gembira dengan 39 peratus dilaporkan “sangat gembira” berbanding 29 peratus bagi remaja perempuan, menurut laporan OECD.

KES BULI PUNCA UTAMA

Kes buli merupakan “punca utama yang menjejas kesejahteraan para pelajar”, menurut tinjauan itu yang bertanyakan perasaan mereka mengenai pencapaian di sekolah, hubungan dengan kawan-kawan dan guru, kehidupan di rumah dan kegiatan beriadah.

Di 34 negara yang ditinjau, lebih 10 peratus memberitahu bahawa mereka dijadikan bahan gurauan rakan-rakan kelas mereka.

Sekitar 4 peratus dilaporkan dipukul atau ditolak beberapa kali sebulan sementara 7.7 peratus yang memberitahu mereka menjadi mangsa gangguan fizikal beberapa kali dalam masa setahun.

Antara mereka yang melaporkan menjadi mangsa gangguan fizikal, 42 peratus daripada mereka menambah bahawa mereka merasakan diri mereka terpencil semasa di sekolah.

PENGGUNA INTERNET YANG MELAMPAU, TEKANAN DARIPADA UJIAN

Tinjauan berkenaan juga memberi amaran mengenai penggunaan internet yang melampau. Ini kerana 25 peratus responden mengatakan mereka meluangkan enam jam sehari semasa hari biasa menggunakan internet. Manakala 16 peratus mengatakan perkara sama dilakukan semasa hujung minggu.

Tekanan yang dilalui para pelajar seperti keresahan terhadap kerja rumah juga dikesan dalam tinjauan tersebut. Ini walaupun tinjauan itu mendedahkan ia tidak berkaitan dengan berapa lama waktu sekolah atau bilangan ujian tetapi lebih kepada sokongan diberikan para guru dan pihak sekolah.

Kira-kira 55 peratus pelajar didapati berasa resah apabila mengambil ujian walaupun sudah membuat persediaan yang mencukupi.

Di semua negara, pelajar perempuan dilaporkan menghadapi tahap keresahan yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki; dan keresahan terhadap kerja sekolah, kerja rumah dan ujian dikaitkan secara negatif dengan prestasi.

Para pelajar yang merasakan diri mereka lebih kekurangan dari segi harta benda juga cenderung untuk mempunyai tahap kegembiraan yang rendah dalam hidup mereka, tambah tinjauan itu.

- TODAY/ru

Komen Anda?

Top
>