Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kajian: Madu tualang berkesan atasi masalah tulang rapuh

Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati madu tualang berkesan membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita yang putus haid, setanding dengan ubat moden.

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian: Madu tualang berkesan atasi masalah tulang rapuh

Madu. (Gambar hiasan: SAID KHATIB / AFP)

Diterbitkan : 27 Sep 2016 12:00AM Dikemas Kini : 27 Sep 2016 12:06AM

KELANTAN: Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati madu tualang berkesan membantu masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita yang putus haid, setanding dengan ubat moden.

Timbalan Dekan (Bahagian Penyelidikan) Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Prof Dr Rosline Hassan berkata penemuan itu hasil kajian sejak 2006 melibatkan sekumpulan wanita berusia 45 tahun dan ke atas.

"Kami membuat satu perbandingan antara wanita yang diberikan madu tualang secara konsisten iaitu sebanyak 20 gram sehari selama empat bulan dengan wanita yang mengambil ubat moden.

"Kajian mendapati madu tualang mempunyai kebaikan yang sama dengan ubat moden dari segi ketumpatan tulang," katanya kepada Bernama di luar Koloquium mengenai Kajian Produk Semulajadi dalam Kesihatan, di USM Kubang Kerian hari ini (26 Sep).

"TAHAP KERACUNAN PEROKOK BERKURANGAN"

Dr Rosline berkata kajian sama turut dilakukan ke atas perokok dan didapati tahap keracunan dalam tubuh mereka berkurangan selepas mengambil madu tualang sebanyak 20 gram sehari selama tiga bulan.

"Pembuktian secara saintifik ini menunjukkan produk semula jadi mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus diterokai penyelidik negara khususnya penyelidik USM dari semasa ke semasa," katanya.

KETULENAN MADU PERLU DITEKANKAN

Bagaimanapun, katanya, ketulenan produk semula jadi terutama madu tualang perlu ditekankan untuk memastikan ubat-ubatan tradisional berkualiti serta selamat untuk digunakan.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM Prof Dinsuhaimi Sidek, yang membuka kolokium itu, berkata penggunaan ubat-ubatan tradisional adalah sebanyak 69.4 peratus di Malaysia terutamanya dalam terapi berasaskan herba untuk mengekalkan kesihatan.

Kolokium berkenaan diadakan bagi mengumpul para penyelidik untuk berkongsi maklumat terkini berkaitan penyelidikan produk semulajadi dalam bidang kesihatan.

Antara topik lain yang dibentangkan ialah penggunaan produk ikan haruan, tongkat ali dan hempedu bumi dalam menangani isu kesihatan seperti penyembuhan luka, barah dan kesihatan lelaki.  

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan