Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jangan terkejut masuk 5 tempat makan halal yang unik di S’pura ini

Dalam laporan ini, BERITAMediacorp membawa anda meninjau-ninjau lima tempat makan tempatan yang unik yang boleh anda cuba. 

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan terkejut masuk 5 tempat makan halal yang unik di S’pura ini

Perhiasan dan bahan-bahan yang diletakkan dalam peralatan sains di kafe The Lab. (Gambar: Facebook/The Lab SG)

BERITAMediacorp: Sempena hari minggu ini, jom, pergi makan di sebuah…makmal sains (science lab)! Jangan terkejut. Itulah antara tempat yang anda boleh menikmati hidangan dengan mereka yang tersayang di Singapura. Tidak perlu lagi untuk anda ke negara-negara jiran bagi menikmati hidangan di tempat-tempat yang unik.

Dalam laporan ini, BERITAMediacorp membawa anda meninjau-ninjau lima tempat makan tempatan yang unik yang boleh anda cuba.

Pastinya, selepas ini, soalan “Nak makan di mana?” akan mempunyai beberapa jawapan baru yang boleh anda suarakan, dan anda kurang tergaru-garu kepala untuk mencari tempat.

1. BEREKSPERIMEN DENGAN JAMUAN ANDA

Selangkah masuk ke kafe ini, anda mesti rasa seperti di dalam sebuah makmal sains. Bukan saja perhiasan tetapi hidangan anda juga dihidang di peralatan sains seperti kelalang sains dan picagari atau alat suntik! Alat-alat yang kebanyakan daripada kita, kali terakhir menggunakannya semasa zaman sekolah menengah.

Para pemilik The Lab, yang selesa dipanggil Ejan dan Luke, memberitahu BERITAMediacorp inspirasi menubuhkan kafe itu datang daripada siri televisyen Breaking Bad. Sesuai dengan tema kafe ini, The Lab juga kerap bereksperimen dengan hidangan mereka.

(Gambar dan video: Facebook/Instagram The Lab SG)

Usaha eksperimen Ejan dan Luke, yang juga merupakan pasangan suami isteri, juga tidak membuat para pelanggan ketinggalan. Ini kerana antara makanan dan minuman dijual mereka juga memberi para pelanggan peluang untuk bereksperimen seperti minuman teh ais berwap yang berjaya membuat pihak kami terkagum.

THE LAB SG
1 Jalan Pisang #01-01
Singapore
Isnin-Sabtu: 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam
Ahad: 1.00 tengah hari hingga 9.30 malam

2. MAKAN DI TENGAH-TENGAH LAUTAN

Di kota raya konkrit ini jarang sekali terdapat peluang untuk kita menikmati makanan laut di kelong! Ini yang ditawarkan restoran Smith Marine. BERITAMediacorp difahamkan ia merupakan restoran kelong halal pertama di Singapura.

Untuk membuat pengalaman anda lebih menarik lagi, anda perlu menaiki feri untuk ke sana yang akan diuruskan Smith Marine. Dan jangan juga terlepas peluang untuk menangkap sendiri makanan anda! Itulah yang disediakan kepada para pelanggan. Jadi kepada mereka yang ‘kaki pancing’, jangan sia-siakan bakat anda.

(Gambar-gambar: Facebook/ Smith Marine First Floating Restaurant in Singapore)

Yang menarik lagi, Smith Marine juga memberikan pilihan untuk anda memilih program cadangan mereka. BERITAMediacorp difahamkan jika anda memilihnya, anda secara purata meluangkan masa selama tiga jam. Pada masa itu, anda boleh ke restoran itu lebih awal, beriadah, mengambil gambar, mencuba nasib menangkap ikan di “kolam pasti dapat” mereka.

SMITH MARINE
Koordinasi GPS: 01'23'52"N - 103'57'42"E
(Terletak di antara Pulau Ubin dengan Terminal Feri Changi Point)
Setiap hari: 10.00 pagi hingga 7.00 malam
(Tutup pada selang (alternate) Isnin)
*Anda dinasihati menghubungi Smith Marine untuk menempah dan membuat urusan untuk ke sana.

3. DITEMANI DENGAN ‘HARIMAU CILIK’

Jika anda golongan yang “segan” dengan kucing, mungkin ini bukan pilihan anda. Bagaimanapun, pihak kami tidak dapat mengendahkan kafe kucing yang baru-baru ini menjadi tempat makan tujuan orang ramai.

Di The Company of Cats, kedatangan anda akan dijemput dengan sekitar 10 kucing yang pasti membuat anda tersenyum. Lebih comel lagi, kucing-kucing itu diberikan nama dan jawatan masing-masing. Daripada si Coco (Meownaging Director) kepada si Meringue (Hos-purrtality Meownager).

(Gambar-gambar: The Company of Cats/Facebook)

Yang membuat kafe ini lagi istimewa adalah kucing-kucing di kafe itu sebenarnya diselamatkan. Kucing-kucing itu merupakan haiwan terbiar atau diabaikan sebelum diselamatkan kafe itu. Daripada laman The Company of Cats juga, BERITAMediacorp mendapati tujuan kafe itu adalah untuk memberi inspirasi kepada pemahaman dan rasa kasih sayang terhadap sepsis kucing dan meningkatkan kesedaran mengenai kebajikan kucing di Singapura.

THE COMPANY OF CATS
6B Mosque Street
Singapore 059486
(Tingkat 2)
Selasa-Khamis: 10.00 pagi hingga 7.00 malam
Jumaat-Ahad: 11.00 pagi hingga 10.00 malam
Tutup pada setiap Isnin

4. “MASIHKAH KAU INGAT…”

Masihkah anda ingat kepada barang-barang seperti telefon yang memerlukan anda memusingkan nombor untuk membuat panggilan, tin teko dan pelita? Jika anda masih ingat dan terputik rasa rindu, mungkin anda boleh ke tempat makan Coba-Coba.

Coba-Coba juga menawarkan makanan tradisional seperti nasi padang, nasi ambeng dan juga pelbagai hidangan mi dan juga lontong. Satu tinjauan di akaun Facebook Coba-Coba, juga menunjukkan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong juga pernah menjamu hidangan mereka!

(Gambar-gambar: Facebook/Coba)

Dengan adanya beca di luar tempat makan ini, janganlah anda melepaskan peluang untuk bergambar sebelum atau selepas menikmati hidangan di Coba-Coba. Pasti ia boleh menjadi satu “Instgramable moment” yang tidak akan dilupakan.

COBA-COBA
Blk 156 Yishun Street 11
#01-106
Setiap hari: 7.00 pagi hingga 9.00 malam

5. MAKAN SAMBIL “MENCUCI MATA”

Sekali pandang, restoran Kaw Kaw Sg Nampak seperti tempat makan biasa saja. Namun, jika anda meneliti lebih dekat lagi, Kaw Kaw Sg sebenarnya menawarkan satu lagi perkara yang anda tidak dapat di restoran-restoran lain.

Tahukah anda kebanyakan perhiasan dan perabot yang digunakan Kaw Kaw Sg, sebenarnya dapat anda membelinya. Itulah keunikan restoran ini. Daripada perhiasan-perhiasan yang menarik hingga ke lukisan-lukisan yang digantung di restoran itu. Bukan itu saja, jika anda rasa selesa duduk di kerusi restoran itu, ia pun sebenarnya dijual kepada orang ramai!

(Gambar-gambar: Instagram/Facebook Kaw Kaw SG)

Bagi anda yang berjiwa seni, bayangkan meja makan yang berkakikan sebuah mesin pembuat ais kacang, diletakkan di rumah anda. Pasti ia menjadi hiasan tengah dan menjadi topik perbualan oleh tetamu yang datang ke rumah anda.

KAW KAW SG BY MAKAN STATE
28 Aliwal St #01-01
Pusat Seni Aliwal S199918
Ahad-Khamis: 12.00 tengah hari hingga 9.30 malam
Jumaat: 3.00 petang hingga 10.30 malam
Sabtu: 12.00 tengah hari hingga 10.30 malam 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan