Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Isteri sedang menyusu badan. Takkan suami tengok sahaja? Ini yang boleh anda buat...

Sokongan para suami tentu sekali penting dan ia dapat mendorong isteri memberi susu badan dalam tempoh yang lebih panjang meskipun mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri sedang menyusu badan. Takkan suami tengok sahaja? Ini yang boleh anda buat...

Encik Shahbudin bersama anak bongsunya. (Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Menyusukan bayi. Kedengarannya mudah sahaja perkara tersebut. Naluri ibu. Tugas ibu. Namun...

Wahai kaum lelaki, tahukah anda bahawa proses memberikan susu badan kepada bayi, sebenarnya agak mencabar? Misalnya soal susu tidak cukup, keletihan, sakit…banyak lagi.

Disebabkan adanya kesedaran tentang itu dan rasa prihatin terhadap kesihatan isteri, sebahagian lelaki memutuskan untuk menjadi lebih ringan tulang di rumah.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Shahbudin Othman, 39 tahun. Bagi beliau, setiap suami harus memastikan isteri mereka dibantu kerana hakikatnya, “proses menyusu badan bukannya mudah”.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

“Ada suatu ketika dulu isteri saya mengalami payudara bengkak dan saya sebagai suami pun khuatir melihat keadaan anak yang menangis dan  isteri yang sedang kesakitan. Kalau sakit dia demam dan menggigil,” bapa empat orang anak itu memberitahu BERITAMediacorp. Anak-anak Encik Shah berada dalam lingkungan usia tiga bulan hingga sembilan tahun. Kesemua anak beliau diberi susu badan sepenuhnya.

Beliau berkata khususnya pada bulan yang pertama, bayi akan selalu bangun setiap dua jam dan isteri beliau sering keletihan. Oleh itu, sokongan dan bantuan yang diberikan bertujuan memastikan isteri dan bayi berada dalam keadaan terbaik supaya perkara-perkara lain juga akan terurus.

“Sebagai suami peranan saya untuk membantu kerja-kerja sampingan. Kalau dia sibuk menyusukan bayi pekerjaan lain terbantut. Jadi saya sebagai suami bantu apa yang boleh,” kata Encik Shah.

Antara perkara-perkara yang dilakukan bagi membantu isteri beliau termasuk memandikan bayi, menyalin lampin, melayan lagi anak-anak yang lain sementara bayi disusukan, bangun pada sebelah malam dan memberi susu yang sudah dipam terlebih dahulu kepada bayi jika isteri keletihan.

Encik Shahbudin bersama anak bongsunya. (Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

FAKTOR PENTING PERKASA IBU MENYUSU BADAN

Naib Presiden bagi Kumpulan Sokongan Ibu Singapura Yang Menyusu Badan (BMSG), Cik Khatim Hamidon, memberitahu BERITAMediacorp bahawa sokongan para suami tentu sekali penting dan ia dapat mendorong isteri memberi susu badan dalam tempoh yang lebih panjang meskipun mencabar.

“Sudah banyak laporan yang menekankan jika adanya sokongan suami, isteri akan menyusu lebih lama berbanding suami yang tidak kisah sama ada isteri memilih memberikan susu tepung atau susu badan kepada bayi,” kata Cik Khatim, 32 tahun.

Cik Khatim (bertudung jingga) bersama para ibu lain. (Gambar: Khatim Hamidun)

Cik Khatim (bertudung jingga) bersama para ibu lain. (Gambar: Khatim Hamidon)

Satu tinjauan yang diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa Pediatrik Universiti Sains Perubatan Masshad mengkaji faktor-faktor yang dapat mendorong dan memperkasa wanita yang memilih untuk memberi susu badan.

Dapatan tinjauan itu menunjukkan “keputusan ibu untuk memberi susu badan” dan “sikap positif dan pelibatan suami serta keluarga” adalah antara faktor penting yang memudahkan proses memberi susu badan dan memperkasa para ibu.

“KALAU TAK TERTEKAN SUSU BOLEH LEBIH BANYAK”

Khusus buat para suami yang bakal bergelar bapa buat pertama kali, Encik Shah berkongsi tiga tips yang boleh mereka manfaatkan demi isteri dan anak masing-masing.

“Yang pertama, kita harus bersabar. Banyak sabar kerana tanpa kesabaran semuanya tak akan berjalan lancar. Yang kedua memastikan kesihatan diri sendiri. Yang ketiga, pastikan di rumah ada stok-stok makanan. Terutama sekali makanan yang sihat untuk isteri,” Encik Shah berkongsi pengetahuannya menerusi BERITAMediacorp.

(Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

Ternyata sokongan Encik Shah menguatkan tekad isteri beliau, Cik Siti Khairiyah Mohamad Jamil, 34 tahun, untuk terus memberi susu badan kepada anak-anak mereka.

“Kalau ada suami yang sangat hadir dan membantu membuat tugasan–tugasan lain ia sangat-sangat penting untuk kesihatan fizikal dan mental si ibu yang nak menyusukan bayi. Kalau dia tak tertekan mungkin susu dia boleh lebih banyak.

“Dalam keadaan yang rehat dan tenang proses penyusuan itu lebih senang dan emosi ibu terjagalah,” Cik Siti Khairiyah memberitahu BERITAMediacorp.

BAGAIMANA SUAMI BOLEH BANTU?

Selain itu, Cik Khatim berkongsi lagi tiga perkara yang boleh dilakukan oleh para suami apabila isteri memberi susu badan kepada bayi.

1) Jadilah penyokong nombor satu isteri mahu memberi susu badan.

“Memilih untuk memberi susu badan kepada bayi adalah keputusan keluarga. Saya menggalak para suami supaya mengikuti bengkel-bengkel bersama isteri agar mereka lebih sedar dan ada ilmu tentang proses menyusu badan dan dapat memberikan bantuan yang berguna,” menurut Cik Khatim.

(Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

Beliau menambah, meskipun seseorang ibu boleh menyusu bayinya sendiri, sokongan suami boleh memudahkan pengalaman tersebut, lebih-lebih lagi pada peringkat awal di mana ibu perlu mempelajari banyak perkara baru dalam masa yang singkat.

“Jika isteri berdepan kesukaran memberikan susu badan, dengarkan luahannya, beri galakan dan bantuan jika perlu,” tambah Cik Khatim.

2) Jadilah ‘bouncer’ atau pengawal apabila berdepan keadaan atau saranan yang tidak membantu.

Kadang-kala terdapat saranan-saranan atau komen-komen daripada orang lain seperti “susu awak tidak cukup” atau “bayi awak mengalami sakit kuning, jangan diberi susu badan”, maka suami boleh bersuara bagi melenyapkan kata-kata seumpama itu sekaligus melegakan perasaan isteri yang terjejas.

Encik Shahbudin bersama keluarga. (Gambar-gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

3) Bantu dengan cara-cara lain.

“Apabila isteri menyusu, suami boleh mewujudkan suasana yang selesa. Misalnya meletakkan bantal di sekelilingnya atau membawa makanan dan minuman atau memadai sekadar menemaninya,” Cik Khatim berkongsi petua dengan BERITAMediacorp.

Beliau menambah, suami juga boleh menjaga isteri dengan membuat kerja-kerja rumah, seperti mengemas dan memasak sendiri atau mendapatkan bantuan untuk melakukannya. Jika suami berada di tempat kerja, mereka boleh menghubungi isteri untuk bertanya khabar.

Yang pasti, suami yang membantu dan menyokong isteri yang memberi susu badan kepada anak mereka akan memudahkan perubahan besar dalam hidup mereka setelah menimang cahaya mata serta mewujudkan suasana saling membantu dan menyayangi.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan