Images
  • pakcik ubin3
    Encik Ahmad Kassim sudah menetap di Pulau Ubin sejak 70 tahun yang lalu. (Gambar: Ira Musfirah)

Ini mungkin ‘lelaki sejati dan lelaki Melayu terakhir Pulau Ubin’ – Kisah menarik ‘Pakcik Ubin’…

BERITAMediacorp: Kalau anda berbasikal di Pulau Ubin, besar kemungkinan anda akan berhenti seketika untuk mencari air untuk menghilangkan rasa dahaga.

Sekiranya anda tidak dapat mencari kedai, besar kemungkinan anda juga akan singgah di sebuah rumah yang turut menjual pelbagai jenis air - dari minuman botol hingga ke buah kelapa.

Yang pasti, anda tentu akan berjumpa dengan penjualnya. Itulah dia Encik Ahmad Kassim, 82 tahun, yang sudah menetap di Pulau Ubin sejak 70 tahun yang lalu. Ini sekaligus menjadikan beliau penduduk yang tertua di pulau tersebut sekarang ini.

Malah, semasa BERITAMediacorp melawat beliau di rumahnya, pelanggan pelbagai kaum juga tidak putus-putus singgah untuk berehat dan membeli air.

Bagaimanapun, di sebalik wajahnya yang tenang dengan dikelilingi suasana kediaman yang nyaman, terungkap kisah yang tetap bersemadi di mindanya hingga ke hari ini - pengorbanan, kenangan dan jerih payah kehidupannya di pulau tersebut.


BERPINDAH KE PULAU UBIN SELEPAS DISERANG JEPUN

Dibesarkan di Masai, Johor, Encik Ahmad sekeluarga tinggal di sebuah rumah bersama ibu bapa dan enam adik-beradik lain di tengah-tengah sebuah estet getah, tempat ayahnya bekerja.

Bagaimanapun, kehidupan anak bongsu itu berubah dek serangan mengejut oleh askar Jepun yang menyerbu kawasan rumah mereka sekitar tahun 1940-an.

"Satu hari itu, askar Jepun datang dalam tiga hingga empat lori. Mereka ambil saja apa yang mereka nak seperti ayam-ayam kami. Dan mereka juga mahukan jam tangan Rolex.

"Tapi kita susah, jadi macam mana nak dapat barang itu. Terus mereka ‘rodok’ bapa dengan 'bayonet'. Tapi nasib baik tidak serius dan masih boleh lari. Jadi kami balut luka itu dan kami sekeluarga terus lari sehelai sepinggang dari sana sampai ke pulau Ubin, sebab takut mereka datang lagi," cerita Encik Ahmad kepada BERITAMediacorp.


Perjalanan untuk mengharungi hutan-hutan dan menyeberang sungai menaiki sampan turut mengambil masa sekitar 12 jam, dedah beliau. Walaupun baru berusia sekitar 7 tahun ketika peristiwa itu berlaku, ingatan Encik Ahmad ternyata masih tajam dan setiap perkara diceritakan dengan penuh jelas dan terperinci.

Malah, sebelum mendirikan rumahnya yang sedia ada di Pulau Ubin, beliau sekeluarga turut dibenarkan menetap di sebuah rumah banglo di Pantai Noordin di pulau itu selama beberapa tahun.

"Bapa (saya) yang dirikan rumah ini. Dulu rumahnya tak besar sebab dulu susah. Rumah kecil saja. Sekarang saya dah ubah.

"Dulu rumah panggung, sekarang saya dah 'turunkan' rumah sejak sekitar tahun 80-an dulu," kongsinya tentang rumahnya itu, yang terletak di kawasan Kampung Melayu Pulau Ubin.


BEKERJA SEAWAL USIA 10 TAHUN DEMI MAKANAN HARIAN

Encik Ahmad memberitahu BERITAMediacorp beliau sudahpun mula bekerja di bawah jajahan Jepun seawal usia 10 tahun lagi. Pada ketika itu, beliau sekadar mencabut rumput dan menanamnya di kawasan lain seperti berhampiran landasan pesawat pejuang Jepun, yang menempatkan sekitar enam buah kapal terbang.

"Zaman kanak-kanak sewaktu jajahan Jepun itu sedihlah, sebab susah. Kami makan ubi kayu dan ikan kering saja. Apabila bekerja dengan Jepun, kami dapat sekilo beras seorang dan lima wang kertas 'pokok pisang'.

"Tapi sebab nak duit, kami jual beras dengan orang Cina untuk beli ubi kayu, walaupun orang Cina juga yang tanam ubi kayu itu," ceritanya lagi, yang dahulunya sering melihat tentera Jepun yang bersenjatakan 'bayonet' dan pedang berjalan di sekeliling pulau itu.


Ayahnya, yang berketurunan Cina, pula diambil sebagai anak angkat dan dibesarkan oleh keluarga Melayu.

Tambahnya: "Bapa bekerja dengan memotong kayu dan membakarnya untuk dijadikan kayu arang.” Wang yang diraih dari hasil jualan tersebut bagaimanapun tidak seberapa, kata Encik Ahmad.

Walaupun tidak dikasari askar Jepun sebagai seorang kanak-kanak, beliau tetap mendengar pelbagai kisah pemenggalan kepala dan anggota masyarakat Cina ditembak mati, yang sering berlaku di Pantai Changi.

Kisah Encik Ahmad semasa perang Jepun turut dipamerkan di ‘Witness to War: Remembering 1942’ di Muzium Negara Singapura dari 23 September ini hingga 25 Mac tahun depan.

ENGGAN BERGANJAK MESKI JEPUN SERAH DIRI

Walaupun tiada khabar rasmi yang disebarkan mengenai penyerahan tentera Jepun di Singapura ketika itu, Encik Ahmad masih dapat membayangkan bahawa jajahan Jepun sudahpun berakhir pada tahun 1945.

"Apabila Jepun menyerah diri, barang dan senjatanya dibuang ke laut. Tiada sebarang berita, tetapi tidak lama kemudian, kami tidak lagi melihat Jepun di kawasan kami lagi," singkapnya.


Kini Encik Ahmad masih menetap di Pulau Ubin bersama isterinya. Beliau dikurniakan tiga orang cahaya mata - dua perempuan dan seorang lelaki - yang semuanya kini tinggal di kawasan Tampines dan Punggol.

Encik Ahmad bertemu jodoh semasa berkhidmat sebagai seorang sukarelawan polis antara tahun 50-an hingga 60-an. Beliau bertemu isterinya yang ketika itu bekerja sebagai seorang pembersih di kawasan Outward Bound Singapore (OBS) di pulau itu, semasa beliau sedang mengawal pantai.

Walau demikian, Encik Ahmad berkongsi beliau tetap meluangkan masa untuk ‘keluar’ dari Pulau Ubin demi menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan. "Senang, satu bas saja dari Changi," katanya ringkas.


AHMAD KASSIM: ORANG KATA SUNYI, TAPI BAHAGIA BAGI SAYA

Dengan zaman yang kian moden, mengapa agaknya Encik Ahmad masih enggan berpindah dan tinggal di kawasan moden Singapura?

"Saya tak suka duduk rumah flat. Tak bebas, panas, terkongkong. Sana tak kena, sini tak kena. Macam mana badan saya nak sihat. Di sini, saya boleh buat kerja. Baik saya menetap di sini sehingga akhir hayat saya. Saya masih suka di sini lagi.

"Orang kata sunyi, tapi ini bahagia pada saya. Kalau di sana, baru-baru mungkin tak ada kawan, tapi lama-lama mungkin ada. Tapi tak sebahagia di sini. Selagi ada rumah, saya masih nak berada di sini, itu hajat saya," luahnya lagi kepada BERITAMediacorp.


(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

Yang pasti, selagi ada pelanggan yang masih singgah di rumahnya untuk membeli air ataupun untuk bertanya khabar, Encik Ahmad tentu tidak kesunyian. Apatah lagi, dengan pendapatan yang dapat menampung biayaan kehidupannya di Pulau Ubin.

Keselesaan dan kesenangan di tanah besar Singapura jelas tidak dapat menandingi ketenangan dan kenyamanan udara tanah kampung di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjungnya. Bagi Encik Ahmad, suasana kampung Pulau Ubin terlalu istimewa, kerana terselit sejarah penuh suka duka dan cinta bagi dirinya.

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top