Images
  • nasi lemak lobster
    Hidangan 'Nasi Lemak Lobster' yang dijual gerai Lawa Bintang. (Gambar: Sonia Yeo)

Ini dia raja nasi lemak yang buat ramai beratur berjam-jam - 'Nasi Lemak Lobster'

SINGAPURA: Di sebuah kedai kopi di estet perindustrian Tampines, terdapat satu hidangan unik yang membuat orang ramai beratur setiap pagi.

Ada kalanya, mereka perlu beratur sehingga dua jam. Semuanya gara-gara Nasi Lemak Udang Karang.

Hidangan itu siap dengan udang karang diisi keju, berperasa herba-herba dan tidak lupa bahan-bahan nasi lemak yang lain - telur goreng, sambal kacang, ikan bilis dan sambal -harganya S$22 sepinggan!

Pemilik bersama gerai Lawa Bintang, Sarena Talib, 45 tahun, pertama kali memperkenalkan udang karang dalam hidangan tradisional itu pada bulan Mac.


Cik Sarena berkata generasi muda lebih terbuka dan menerima jamuan yang baru maka itu beliau mengambil keputusan "berani" untuk memasukkannya ke dalam hidangan nasi lemak yang beliau jual.

IBU MEMASTIKAN ANAK-ANAK TAHU MASAK

Cik Sarena mula menawarkan nasi lemak dengan sotong goreng.

Selepas mendapat sambutan baik terhadap "hidangan fusionnya", beliau menambah pula udang karang dan ketam kulit lembut dalam sajiannya.

Pada asalnya, Cik Sarena hanya merancang untuk menawarkan udang karang panggang tetapi selepas berkongsi idea dengan anak saudara lelakinya, seorang cef, "beliau cuba membuat hidangan itu lebih menarik dengan menambah keju".

Cik Sarena yang dahulunya seorang ejen hartanah menceburi dunia perniagaan makanan sekitar empat tahun lalu apabila pasaran hartanah semakin muram.

Peralihan itu, menurutnya, lebih mudah kerana keluarganya sudah menjual nasi padang di Bedok North "selama 40 tahun".

"Semasa kami muda, ibu mengajar saya bagaimana untuk memasak. Beliau memastikan semua anaknya belajar memasak," tambah Cik Sarena.

UDANG KARANG 20KG HABIS DALAM MASA 2 JAM SAJA

Cik Sarena, yang mengendalikan gerai itu bersama suaminya, menempah 20kg udang karang setiap hari tetapi menurutnya, ia kerap habis dijual dalam masa dua jam.

Para pelanggan semakin bertambah awal minggu ini selepas beberapa penulis blog makanan mengulas mengenai nasi lemak udang karang beliau. Lantas, Cik Sarena terpaksa menghadkan tempahan setiap pelanggan.

"Ada satu kali, seorang pelanggan ini membeli lima udang karang (pada satu kali masa) dan orang ramai yang beratur di belakang tidak dapat peluang membelinya. Jadi kami menetapkan satu orang hanya boleh membeli dua nasi lemak udang karang saja," jelas Cik Sarena.

Apabila Mediacorp ke gerainya pada waktu makan tengah hari Khamis lalu (10 Ogos), terdapat kira-kira 35 orang sedang beratur.

Zahira Ali seorang guru berusia 30 tahun berkata: "Saya tidak kisah membayar harga sebegitu untuk nasi lemak undag karang itu. Udang karang panggang saja sudah mahal. Ia boleh berharga dari S$50 hingga S$60."

Seorang lagi pelanggan Kenny Chee, 51 tahun, ke gerai berkenaan dengan keluarganya buat pertama kali dan harus beratur selama satu jam 40 minit.

Namun beliau tidak dapat mencuba nasi lemak udang karang tersebut dan hanya dapat membeli nasi lemak sotong goreng saja.

"Rakan kerja saya sudah mencubanya dan memuji hidangan itu jadi kami ingin mencubanya," kata Encik Chee yang juga memberitahu walaupun tidak dapat mencuba udang karang itu, ia masih berbaloi beratur begitu lama.

"Rasa (sotong goreng) ada seimbang manis dan pedas dan dagingnya juga diperap dengan baik. Mereka menggunakan beras basmati yang lembap dan sedap apabila dimakan," tambah Encik Chee.

Fathiyah Al Hilal, seorang penolong akaun 27 tahun, yang kembali ke kedai itu buat kali kedua juga terpaksa membeli nasi lemak yang lain.

"Saya pernah membeli nasi lemak sotong pada bulan Mac. Ia sangat sedap ...

"(Udang karang) habis dijual jadi saya beli yang sotong lagi. Saya tidak kisah harus beratur kerana saya tahu hidangannya sedap," kata Fathiyah. 

- TODAY/RU/ru

Komen Anda?

Top