Images
  • kompilasi telefon bijak
    Ini lima antara telefon bijak bagi 2017 (Gambar: Agensi berita)

Ini dia 5 telefon bijak terbaru bagi tahun 2017

BERITAMediacorp: Anda merancang untuk membeli telefon bijak yang baru? Anda mungkin mahu menundakan hasrat anda buat sementara waktu. Ini kerana banyak telefon bijak terbaru diumumkan sepanjang Mobile World Congress (MWC) 2017, yang baru berakhir (27 Feb – 2 Mar).

MWC merupakan perhimpunan sedunia terbesar mengenai teknologi mudah alih, di mana kebanyakan syarikat teknologi mengumumkan alat-alat bimbit terbaru mereka setiap tahun.

Dalam laporan ini, BERITAMediacorp membawa sekilas laporan tentang lima telefon bijak menarik yang didedahkan dan akan dilancarkan tahun ini (mengikut urutan abjad jenama):

1. BlackBerry KEYOne: UNTUK PEMINAT PAPAN KEKUNCI

Rindu bunyi ketikan papan kekunci fizikal? Telefon keluaran BlackBerry ini mungkin pengubat rindu anda itu.Telefon BlackBerry KEYone yang dilengkapi papan kekunci (Gambar: AndroidAuthority)

KEYOne boleh dikatakan satu-satunya telefon bijak baru yang masih dilengkapkan papan kekunci fizikal - suatu ciri 'signature' jenama asal Kanada ini.

Lebih daripada sekadar gimik, papan kekunci KEYOne dilengkapi ciri canggih: termasuk pengesan cap jari dan kebolehan mengesan isyarat 'swipe', untuk menaip dengan lebih pantas.

Papan kekunci KEYone boleh mengesan isyarat sentuhan 'swipe' (Gambar: BlackBerry)

KEYOne juga dipacu sofwe terbaru Android Nougat 7.1, dan bateri dengan kapasiti tinggi yang boleh dicas dengan pantas (Fast Charging).

Menurut CNBC, BlackBerry KEYONE dijangka berada di pasaran April ini pada harga US$549 (S$770).

2. Huawei P10: LENSA KAMERA LEICA

Pengeluar lensa dan kamera ternama sejak sebelum Perang Dunia Pertama, Leica, pasti tidak asing bagi penggiat seni fotografi.

Huawei sekali lagi mensenyawakan lensa lagenda ini dengan teknologi telefon bjiaknya, dalam menghasilkan telefon P10.


Huawei P10 yang dilengkapi lensa berjenama Leica (Gambar: TechnoBuffalo)

Selain kamera utama yang berlensa kembar berukuran 12 dan 20 megapiksel, kamera hadapan P10 pula berlensa 8 megapiksel.

Ketiga-tiga lensa Leica ini pastinya menghasilkan gambar pemandangan dan 'selfie' yang kedua-duanya sama cantik.

Bagi yang lebih mementingkan kecantikan telefon itu lebih daripada kecantikan fotonya, telefon P10 (dan versi lebih besar, P10+) terdapat dalam lapan warna menarik.


Pilihan warna-warni Huawei P10 pasti membuat anda rambang mata (Gambar: Gizmodo)

Lelaman Mirror melaporkan P10 yang berharga €649 (S$970) dan P10+ yang berharga €699(S$1,050), akan mula dijual di pasaran Asia bermula April.

3. LG G6: SKRIN PANJANG PERMUDAH 'MULTI TASKING'

Anda yang inginkan ruang skrin lebih besar tetapi tidak inginkan saiz telefon gergasi, mungkin boleh mencuba telefon G6 oleh LG.


LG G6 dengan skrin besar pada 'badan' telefon sederhana (Gambar: AndroidAuthority)

LG G6 menempatkan skrin panjang berukuran 5.7 inci pada telefon berukuran 5.86 inci. Sebagai bandingan, iPhone 7+ yang 'berbadan' lebih besar berukuran 6.2 inci, mempunyai skrin lebih kecil berukuran 5.5 inci.

Antara manfaat skrin lebih panjang ini adalah, anda boleh menggunakan dua aplikasi serentak secara lebih efektif.

Ruang skrin tambahan membolehkan anda 'multitask' dengan lebih baik (Gambar: CNET)

Selain skrin lebih panjang, LG G6 juga dilengkapi kamera utama dan kamera 'selfie' berlensa sudut luas (wide angle) - tentunya berguna ketika memetik gambar keluarga besar di Hari Raya, misalnya.

Telefon ini akan dilancarkan di Korea dahulu pada 9 March, dan di pasaran lain sekitar awal April, pada lingkungan harga £699 (S$1,200), menurut lelaman PC Advisor.

4. Nokia 3, 5 & 6: HIDUPKAN KEMBALI NOSTALGIA

Selain model 3310 yang menjadi percakapan ramai, jenama mapan Nokia turut mengumumkan tiga telefon baru di MWC, iaitu Nokia 3, 5 dan 6.


Dari kiri: Nokia 3, 5 dan 6 (Gambar: Nokia)

Walaupun dipasarkan pada lingkungan harga yang murah, €129- 229 (S$190 - $340), ketiga-tiga telefon dipacu sofwe Android Nougat 7.1 yang terbaru.

Nokia 6, model termahal dalam siri ini, juga dilengkapkan dengan hadwe yang setanding dengan telefon lebih mahal - kamera 16 megapiksel, skrin HD-Penuh berukuran 5.5 inci dan dua pembesar suara Dolby Atmos®.


Wajah-wajah Nokia 6 oleh jenama mapan dari Finland ini (Gambar: REUTERS)

Lelaman Nokia tidak menyenaraikan tarikh pemasaran, tetapi gajet-gajet yang mungkin 'berbaloi' harganya ini pastinya menarik sebilangan orang ramai.

5. Sony Xperia XZ Premium: PEMENANG 'TELEFON BIJAK TERBAIK' 2017

Andainya spesifikasi tercanggih menjadi kegilaan anda, maka anda hanya perlu memandang kepada Sony Xperia XZ Premium, telefon bijak yang menjadi pemenang anugerah Telefon Baru Terbaik MWC 2017.


'Raja' telefon bimbit baru di MWC 2017 - Sony Xperia XZ Premium (Gambar: CNET)

Apakan tidak, ia satu-satunya telefon di MWC yang dilengkapi cip CPU terbaru dan tercanggih Qualcomm Snapdragon 835.

Dilengkapi RAM 4GB dan sofwe terbaru Android Nougat 7.1, Sony menjanjikan prestasi telefon yang pantas dan mantap.

Selain kepantasan, XZ Premium ini menawarkan skrin yang tidak mampu ditandingi telefon-telefon lain. Ia menggunakan skrin 4K HDR (High-Dynamic Range), yakni teknologi serupa yang digunakan televisyen Sony BRAVIA.


Masa seolah-olah terhenti dengan kamera super 'slow-mo' Sony Xperia XZ Premium (Gambar: CNET)

Ciri menarik lain telefon ini termasuklah ciri kalis air dan kamera boleh merakam video gerak amat perlahan (super slow-mo) iaitu 960 'frame' sesaat. Kelajuan muat turunnya juga luar biasa, iaitu dengan kepantasan maksimum 1GB/saat.

Sony belum mengumumkan tarikh dan harga pelancaran telefon ini. Namun beberapa media industri teknologi menjangkakan harga yang agak mahal.
 

- Agensi berita/tq

Komen Anda?

Top
>