Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini 7 tabiat orang berjaya setiap pagi; sukar diamalkan tapi boleh ubah hidup anda

Untuk memastikan hari anda sempurna ia perlu dimulakan dengan tabiat dan amalan-amalan yang betul.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini 7 tabiat orang berjaya setiap pagi; sukar diamalkan tapi boleh ubah hidup anda

Gambar hiasan. (Gambar: TOBIAS SCHWARZ / AFP)

Diterbitkan : 30 Jun 2017 11:21PM Dikemas Kini : 30 Jun 2017 11:28PM

BERITAMediacorp: Untuk memastikan hari anda sempurna ia perlu dimulakan dengan tabiat dan amalan-amalan yang betul.

Berikut ini tujuh perkara yang boleh diamalkan setiap pagi. Ia bukan mudah untuk diamalkan dengan konsisten, tetapi jika dapat dilakukan ia dapat mengubah hidup anda.

BANGUN AWAL PAGI

Bagi yang sudah biasa tidur sehingga ke tengah hari, perkara ini akan menjadi cabaran paling hebat. Namun, apa salahnya mencuba!

Dalam satu tinjauan yang dijalankan ke atas 20 eksekutif, oleh Laura Vandekam, seorang pakar pengurusan masa yang juga penulis "What the Most Successful People Do Before Breakfast" (Apa yang diamalkan oleh kebanyakan orang berjaya sebelum sarapan pagi), 90 peratus daripada mereka berkata mereka bangun sebelum pukul 6.00 pagi pada hari-hari biasa.

CEO PepsiCo Indra Nooyi, misalnya, bangun pada pukul 4.00 pagi dan sudah berada di pejabat tepat pukul 7.00 pagi.

CEO Disney Bob Iger pula bangun pada pukul 4.30 pagi untuk membaca, manakala CEO Twitter Jack Dorsey bangun pada pukul 5.30 pagi untuk berlari-lari anak.

Ini mungkin 'perit' untuk dilakukan tetapi jika anda membiasakan diri untuk tidur awal, ia akan memudahkan usaha untuk bangun awal, lapor laman Independent.

MULAKAN HARI DENGAN SENAMAN

Waktu pagi adalah masa yang paling sesuai untuk bersenam.

Cuba anda fikirkan: Jika sesetengah orang di dunia, yang mempunyai jadual begitu sibuk, boleh meluangkan sedikit masa untuk bersenam, tentu anda juga boleh.

Misalnya, Cik Vandekam menyatakan CEO Xerox Ursula Burns mengaturkan sesi bersenam dengan jurulatih peribadi beliau pada pukul 6.00 pagi sebanyak dua kali seminggu.

Mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama juga memulakan hari beliau dengan senaman kardio sementara CEO Twitter Jock Dorsey melakukan senaman selama tujuh minit dan diulang sebanyak tiga kali setiap sesi, lapor Business Insider.

"Mereka adalah antara individu paling sibuk di dunia," kata Cik Vandekam. "Jika mereka meluangkan masa untuk bersenam, ia pasti penting."

SARAPAN PAGI

Pastikan sarapan pagi anda mengandungi protein.

Menurut majalah Entrepreneur, lebih baik memulakan hari anda dengan sajian telur daripada makanan yang mengandungi kadar kabohidrat yang tinggi.

Mungkin disebabkan sibuk, sukar untuk memasak sarapan pagi. Namun telur akan memberi anda tenaga dan membantu mengawal selera makan.

TANGANI PROJEK YANG PENTING TERLEBIH DAHULU

Keadaan sunyi pada waktu pagi boleh menjadi tempoh paling sesuai untuk menumpukan perhatian kepada projek-projek penting, tanpa diganggu.

Jika kerja-kerja penting dilakukan pada sebelah pagi tumpuan anda dapat diberikan 100 peratus sebelum diganggu orang lain seperti anak, majikan dan pekerja.

Cik Vanderkam memberi contoh seorang ahli strategi yang perlu menghadiri begitu banyak mesyuarat sepanjang hari sehingga beliau berasa sukar untuk menyelesaikan sebarang tugasan.

Namun setelah beliau mula melakukan tugasan penting pada awal pagi, beliau berjaya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja yang perlu dilakukan, lapor laman Indpendent.

LUANGKAN MASA DENGAN PASANGAN

Lazimnya anda akan berasa letih setelah penat bekerja dan pulang ke rumah pada sebelah malam.

Oleh itu ramai orang yang berjaya meluangkan masa bersama pasangan mereka pada sebelah pagi.

Misalnya, eksekutif syarikat BlackRock dan isteri beliau menaiki kereta api untuk ke Bandar New York setiap pagi. Mereka mengambil peluang sepanjang perjalanan itu untuk berbual-bual dan berbincang tentang kehidupan, kewangan dan merancang kegiatan hujung minggu.

NIKMATI KEADAAN SUNYI, TENANG

Kehidupan yang sibuk dengan hiruk-pikuk bandar boleh membuatkan kita berasa 'bagai nak gila'. Oleh itu suasana yang tenang dan sunyi amat membantu.

Cuba ambil beberapa minit setiap pagi untuk bertafakur, beribadah, merenung masa depan atau memikirkan tentang perkara-perkara yang boleh disyukuri.

Perbuatan ini boleh membantu anda berfikiran lebih positif sepanjang hari.

TETAP DENGAN RANCANGAN YANG DIBUAT SEMALAM

Tidak kira bagaimana anda memilih untuk memulakan pagi anda, anda perlu merancangnya sebelum anda tidur dan kemudian tetap dengan rancangan dan jadual yang ditetapkan, lapor Independent.

Biasanya, jika perkara-perkara yang mahu dilakukan sudah ditetapkan lebih awal, hari anda akan berjalan lebih lancar.

Pastikan anda sudah sediakan segala keperluan untuk bersarapan pagi esoknya. Tulis jadual anda dan apa yang ingin dikecapi pada keesokan harinya.

Semua perkara yang disenaraikan di atas ini memang mudah, tetapi sebaik pulang ke rumah selepas seharian penat bekerja, lazimnya kita akan 'terlupa' untuk mengamalkannya.

Apa kata, cabar diri anda untuk mencubanya! 

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan