Images
  • nyamuk aedes lagi
    Nyamuk Aedes. (Gambar fail: AFP/Luis Robayo)

Ini 7 sebab kenapa anda digigit nyamuk...

BERITAMediacorp: Gatalnya tidak terkira bila digigit nyamuk. Lebih geram lagi apabila kita saja yang tergaru-garu, tapi orang sebelah langsung 'tidak dicium' nyamuk.

Nyamuk, walaupun kecil, gigitannya bukan setakat membuat mangsa berasa gatal seharian malah ia juga boleh membawa penyakit berbahaya seperti malaria, Zika dan demam kuning.

Selain menyembur racun serangga and menyapu ubat pembunuh nyamuk, apa lagi yang boleh dilakukan?

Satu kajian baru mendedahkan bahawa nyamuk menggigit mangsa disebabkan beberapa faktor dan ia mungkin berubah bergantung kepada spesis nyamuk yang ada di kawasan di mana anda sendiri berada, lapor laman Independent.

Namun, punca mengapa nyamuk menyedut darah tidak diketahui sepenuhnya dan dapatan kajian itu hanyalah teori, yang boleh dijadikan panduan untuk mengelakkan diri dari digigit.

Laman Business Insider menerbitkan dapatan kajian tersebut, yang menyenaraikan sebab-sebab darah anda 'manis' bagi nyamuk dan cara-cara mengurangkan daya tarikan anda.

1. KARBON DIOKSIDA

Ini mungkin sukar dielak memandangkan tubuh kita secara semulajadi mengeluarkan sekitar 2.3 paun (1 kilogram) karbon dioksida sehari, menerusi pernafasan.

Kita perlu bernafas, jadi jangan ditahan nafas anda seharian hanya kerana mahu mengelak dari digigit nyamuk.

Sungguhpun begitu, nyamuk-nyamuk cenderung memilih orang yang menghembuskan lebih daripada paras karbon dioksida yang standard, lapor laman Business Insider.

Ini bermakna yang mudah terkena gigitan adalah wanita-wanita hamil dan juga mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan.

2. ASID LAKTIK

Ini mungkin berita buruk buat mereka yang aktif dan gemar berolahraga. Nyamuk sukakan asid laktik yang dihasilkan tubuh anda ketika bersenam.

Asid tersebut dihasilkan menerusi peluh dan ini menjadikan anda sasaran utama, lebih-lebih lagi jika anda sedang kepanasan dan letih.

Senaman memang penting namun mungkin kegiatan berlari-lari anak berdekatan sebuah tasik atau kawasan tanah lembap bukan pilihan terbaik.

3. DARAH JENIS 'O'

Kalau sudah namanya darah yang mengalir dalam tubuh, bagaimana hendak ditukar ganti? Jadi, jika darah yang mengalir dalam tubuh anda adalah jenis O, berjaga-jaga sajalah.

Kajian oleh Jurnal Entomologi Perubatan mendapati nyamuk 83.3 peratus lebih berkemungkinan menyedut darah jenis O berbanding jenis A, lapor Business Insider.

4. BAKA

Terdapat juga kepercayaan bahawa nyamuk mungkin tertarik kepada seseorang disebabkan baka mereka.

Yang menariknya, anda boleh mengetahui baka adalah puncanya, jika kesan gigitan nyamuk itu meninggalkan bengkak yang besar atau ia terlampau gatal.

5. BAKTERIA

Ini pula berita baik. Jika banyak bakteria menempel pada kulit anda, nyamuk mungkin 'hilang selera'.

Meskipun tidak bersih, bahan-bahan kimia yang melekat pada bau semulajadi tubuh anda mampu bertindak sebagai pencegah gigitan nyamuk.

Satu kajian yang dimuat naik di laman Plos menunjukkan sekumpulan orang yang kulitnya melekat dengan pelbagai jenis bakteria kurang berkemungkinan digigit nyamuk berbanding mereka yang lebih menjaga kebersihan.

Mungkin anda tidak akan berbau wangi tetapi sekurang-kurangnya anda tidak akan digigit nyamuk.

6. HAMIL

Pada tahun 2003, satu eksperiman dijalankan di bahagian timur Sudan untuk melihat sama ada nyamuk lebih tertarik kepada wanita hamil berbanding wanita yang tidak hamil.

Dapatannya, yang diterbitkan di laman NCBI mendapati, daripada 18 wanita yang terlibat dalam kajian tersebut, 9 waniat hamil menarik lebih banyak nyamuk kepada diri mereka, lebih-lebih lagi nyamuk yang membawa jangkitan malaria.

Ini mungkin disebabkan suhu badan yang meningkat dan bau badan wanita yang berubah ketika hamil.

7. JANTINA

Yang ini menarik! Tahukah anda hanya nyamuk betina yang menggigit kerana nilai khasiat dalam darah yang disedut membantu perkembangan telurnya?

Walaupun nyamuk betina lebih memilih untuk menggigit kaum lelaki, namun kesan gigitan nyamuk lebih menjejas kaum wanita.

Kaum wanita dilaporkan mengalami bengkak dan gatal-gatal yang lebih teruk. Kaum lelaki pula dikatakan lebih mudah terkena serangan nyamuk.

Menurut laporan New York Times, oleh kerana kaum lelaki kebanyakannya berbadan besar, nyamuk lebih mudah tertarik kepada mereka. 

- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top