Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

HSA & doktor gigi keluarkan amaran jangan guna kit pemutih gigi popular ini

Sememangnya mudah untuk mendapati produk-produk pemutih gigi buatan sendiri di pasaran online seperti Carousell, dengan para pembeli memberikan testimoni menarik bagaimana gigi yang berubah warna akibat rokok mahupun meminum teh menjadi putih semula.

Anggaran Waktu Membaca:
HSA & doktor gigi keluarkan amaran jangan guna kit pemutih gigi popular ini

Gambar kit pemutih gigi Beautiful- Cold Light Teeth Whitening. (Photo: Facebook/Beautiful- Cold Light Teeth Whitening)

Diterbitkan : 24 Oct 2017 10:55PM Dikemas Kini : 24 Oct 2017 11:40PM

SINGAPURA: Sememangnya mudah untuk mendapati produk-produk pemutih gigi buatan sendiri di pasaran online seperti Carousell, dengan para pembeli memberikan testimoni menarik bagaimana gigi yang berubah warna akibat rokok mahupun meminum teh menjadi putih semula.

Sekurang-kurangnya 100 produk yang tersenarai di Carousell merupakan produk berjenama "Beautiful".

Namun begitu, produk Beautiful - Cold Light Teeth Whitening Kit, mengandungi 4% hidrogen peroksida, jauh lebih tinggi daripada paras 0.1 peratus yang dibenarkan bagi produk-produk kosmetik yang dijual secara langsung kepada pembeli.

Produk pemutih gigi yang melebihi paras 0.1 peratus hanya boleh dibekalkan kepada doktor-doktor gigi berdaftar di bawah pemantauan mereka, menurut jurucakap Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Selain itu, jurucakap itu turut mengatakan produk-produk berkenaan seharusnya membawa label amaran seperti "bukan untuk penjualan umum. Bekalan untuk doktor gigi bertauliah sahaja."

BOLEH DIPENJARA 12 BULAN, DENDA S$20,000

Peraturan terhadap hidrogen peroksida amat ketat kerana penggunaan yang berlebihan, ejen kimia yang sering dijumpai dalam produk-produk pemutih gigi, boleh menyebabkan penghakisan, dan pemeriksaan terhadap sebab gigi bertukar warna harus dijalankan sebelum proses pemutihan boleh dilakukan.

"HSA sedia maklum bahawa produk-produk itu tersedia di beberapa platform e-dagang dan sedang bekerjasama dengan pembeli untuk menurunkan produk yang dijual," kata jurucakap tersebut.

Mediacorp bertanya kepada beberapa penjual produk tersebut dan mereka mendakwa mereka tidak tahu bahawa produk yang mengandungi paras hidrogen peroksida yang berlebihan tidak boleh dijual secara langsung.

Pencarian yang dilakukan semalam (23 Okt) menemui beberapa produk yang masih lagi dijual online.

HSA menyatakan ia akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat mahupun individu yang menjualnya secara langsung kepada orang ramai.

Jurucakap tersebut turut mengatakan bahawa "sistem pemantauan pasca-pasaran" sudahpun diterapkan bagi memantau keselamatan produk kosmetik, dan produk-produk yang didapati tidak selamat untuk digunakan akan ditarik balik dari pasaran.

Penjual produk-produk tersebut boleh didenda sehingga S$20,000 ataupun dipenjara tempoh maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali, kerana menjual produk-produk kosmetik yang tidak diberitahu HSA. Para pembekal yang tidak mematuhi peraturan label juga boleh didenda sehingga S$50,000, tempoh penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

BOLEH HAKIS, BURUKKAN LAGI MASALAH GIGI, GUSI

Beautiful – Cold Light Teeth Whitening Kit, yang dipromosikan oleh ikon-ikon berpengaruh di Singapura, adalah sebab kekeliruan beberapa netizen baru-baru ini, dengan persoalan dari segi isu undang-undang dan keselamatan terbongkar. Beberapa orang mendakwa mereka sudahpun bertanya kepada HSA sebelum memutuskan untuk menjualnya, seorang daripada pengguna melaporkan mengalami migrain selepas menggunakan produk tersebut.

(Kit pemutih gigi. Gambar: Carousell)

Meskipun HSA belum lagi menerima sebarang aduan terhadap kesan buruk mengenai gel pemutih gigi itu hingga kini, pihak berkuasa itu menyatakan produk-produk yang mengandungi kandungan hidrogen peroksida yang tinggi boleh menyebabkan penghakisan dan memburukkan lagi masalah gigi dan gusi sedia ada.

Dr Huang Shiming dari TP Dental Surgeons mengatakan amat penting untuk mengenal pasti masalah sebelum memulakan prosedur pemutih gigi.

Dr Bruce Lee, dari T32 Dental Centre, mengatakan hidrogen peroksida adalah ejen pengoksidaan dan boleh menjadi bahan penghakis jika digunakan dengan jumlah yang banyak. Ia boleh meyebabkan "kebakaran kimia" pada kulit, dalam hal pemutih gigi, pada gusi.

"Inilah sebabnya kandungan yang lebih tinggi harus dipantau oleh pakar gigi untuk penggunaan yang betul, tempoh pendedahan dan kesesuaian bagi kes pemutih gigi," kata beliau.

Bagi cahaya "sejuk" pula, di mana para pengeluar mendakwa dapat mempercepatkan proses pemutihan, kajian menunjukkan proses pemutihan adalah dari gel pemutih.

Sama ada terdapat cahaya ataupun tidak, ia tidak menjejaskan proses tersebut, jelas Dr Lee.

TIADA MAKLUM BALAS NEGATIF DARI PENGGUNA

Salah seorang penjual, yang hanya ingin dikenali sebagai Margaret, memberitahu Mediacorp bahawa beliau tidak sadar akan kesan buruk mahupun dari segi undang-undang terhadap produk tersebut.

Dalam masa enam bulan sahaja, beliau sudahpun menjual sebanyak lebih daripada 300 produk Beautiful dan tidak menerima sebarang maklum balas negatif.

Beliau juga menggunakan produk tersebut setiap hari, dan tidak mengalami sebarang tindak balas negatif.

Klinik-klinik gigi mengenakan bayaran sekitar S$1,000 bagi khidmat memutihkan gigi dan S$700 bagi kit memutihkan gigi di rumah, menurut tinjauan Mediacorp. Kit pemutih gigi Beautiful pula, dijual pada harga hanya S$70.

HSA menasihati secara amnya, orang ramai harus berwaspada apabila membeli produk-produk kosmetik secara online dari sumber yang tidak dikenal, "meskipun jika ia dirujuk oleh rakan atau keluarga yang berniat baik."

"Anda tidak boleh pastikan kandungan produk ini dan di mana ia diperbuat. Ia boleh mengandungi bahan-bahan yang berbahaya, atau barangan ciplak yang tidak menepati piawai," kata jurucakap tersebut.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan