Images
  • al meroz 1
    Al Meroz Hotel, hotel empat bintang halal sepenuhnya yang pertama di Thailand. (Gambar: Laman Al Meroz Hotel)

Hotel halal pertama Thailand dapat sambutan amat menggalakkan

BANGKOK: Perniagaan Al Meroz Hotel, hotel empat bintang halal sepenuhnya yang
pertama di Thailand, kini semakin pesat berikutan peningkatan jumlah pelancong Islam ke negara itu.

Pengarah Urusan dan Pengurus Besarnya Sanya Saengboon berkata hotel dengan 242 bilik itu yang sudah mendapat pensijilan daripada pihak berkuasa dari Timur Tengah dan Thailand, mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

"Kadar penginapan hotel kami sekarang ialah pada 94 peratus. Ia sudah terlalu tinggi dan saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan lagi (terhadap sambutan yang tidak pernah berlaku)," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bagi menampung permintaan yang amat menggalakkan itu, beliau berkata hotel itu, yang menampilkan seni bina seperti masjid lengkap dengan menara, sudah mula merancang untuk menambah 150 bilik lagi.

Rancangan pengembangan dilakukan sebulan selepas hotel itu, yang terletak di pinggir bandar Bangkok, Ramkhamhaeng, dilancarkan secara rasmi pada Februari tahun ini selepas menjalani operasi percubaan lebih setahun.


BANGUNAN TAMBAHAN AKAN DITAMBAH

Hotel berkenaan akan menambah satu lagi bangunan tambahan pada akhir tahun,
menjadikan jumlah keseluruhan bilik kepada hampir 500, setiap satu dilengkapi dengan
sejadah, Al-Quran dan arah kiblat.


Ia juga mempunyai surau, kemudahan wuduk, tiga restoran, dewan, gimnasium dan kolam renang, dengan masa yang berlainan bagi lelaki dan wanita.

Menurut Sanya, yang beragama Islam, walaupun hotel itu halal sepenuhnya, Al Meroz menerima campuran tetamu, Islam dan bukan Islam, yang menunjukkan bahawa orang bukan Islam sedia untuk menginap di hotel berstatus halal.


"Sejak dibuka, kami telah menerima banyak pelanggan dari Malaysia, Indonesia, Brunei, China, serta negara-negara di Timur Tengah, Eropah dan Amerika," katanya.

Selain itu, hotel ini juga memenuhi keperluan pelancong Islam tempatan terutamanya dari bahagian selatan negara ini dan masyarakat yang tinggal di Ramkhamhaeng, antara penempatan orang Islam terawal dan terbesar di Bangkok.


LIHAT PELUANG DALAM PELANCONGAN HALAL

Sanya berkata Lembaga Pelancongan Thailand melihat peluang dalam pasaran
pelancongan halal dan memulakan usaha bersepadu untuk menarik pelancong Islam dari seluruh dunia ke negara di Asia Tenggara itu.


(Gambar-gambar: Laman Al Meroz Hotel)

"Terdapat 1.6 bilion umat Islam di dunia dan ini merupakan satu peluang yang besar untuk negara," katanya, sambil menambah bahawa usaha untuk menarik pelancong Islam sudah memberi faedah kepada Thailand, sebuah negara dengan majoriti penduduk beragama Buddha.

Thailand sudah menyaksikan lonjakan pelancong dan pengunjung Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata inisiatif ini melangkaui peluang pelancongan memandangkan rantaian halal meliputi industri-industri lain yang Thailand boleh memanfaatkannya.

Mengimbas kembali bagaimana tercetusnya idea untuk membina hotel halal pertama Thailand itu, Sanya berkata ia adalah ilham Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rausak Mulsap, yang melihat peluang luas dalam industri halal.

Didorong oleh impian memiliki hotel halal di Thailand, Rausak memulakan pembinaan Al Meroz Hotel tiga tahun lalu dengan pelaburan sebanyak lebih satu bilion baht (S$40 juta). 

- Bernama/nd

Komen Anda?

Top
>