Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hotel eksotik, penginapan jauh dari bandar kian mendapat perhatian rakyat tempatan

Secara purata, penginapan di Kranji Farm Resort, Hotel Pegasus dan Hotel Clover meningkat sehingga 30 peratus semasa musim cuti sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hotel eksotik dan tempat penginapan yang jauh daripada hingar-bingar bandar kini semakin mendapat perhatian.

Malah, destinasi-destinasi seperti ini juga semakin popular di kalangan keluarga Melayu semasa musim cuti sekolah.

Dengan lokasinya yang unik, ia juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk belajar tentang sejarah dan warisan kawasan di sekelilingnya.

KENALI KEHIDUPAN KAMPUNG

Kranji Farm Resort dengan sebanyak 35 villa ini sudah beroperasi selama sembilan tahun.

Dengan persekitarannya yang santai, para pengunjung akan dapat menikmati suasana kampung dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan menarik.

Salah seorang kakitangan Kranji Farm Resort, Encik Jagdip Singh berkata:
"Kanak-kanak sekarang tidak mengetahui tentang kehidupan di kampung. Sebagai contoh, buah kedondong ini, mereka tidak tahu mengenainya. Apabila mereka datang ke sini, kami boleh menunjukkan mereka apa itu buah kedondong".

"Ramai keluarga Melayu datang ke sini. Boleh berbasikal. Ada tempat memancing udang. Selepas mereka menangkap udang, mereka boleh memasaknya, ada juga lawatan berpandu di ladang kami."

Bagi memudahkan pergerakan pengunjung, Kranji Express turut menyediakan khidmat bas dari Stesen MRT Kranji untuk ke kebun-kebun lain yang terletak berdekatan.

HOTEL PEGASUS - HOTEL PENUH SEJARAH

Bangunan Hotel Pegasus yang dibina pada tahun 1937. (Gambar: BERITAMediacorp)

Dibina pada 1937, bangunan yang menjadi Hotel Pegasus ini pernah digunakan sebagai tempat penginapan para jurulatih kuda.

Dan tidak ramai yang tahu bahawa muka bangunan Hotel Pegasus tidak boleh diubah dan mesti dikekalkan sepenuhnya atas arahan Penguasa Pembangunan Semula Bandar Singapura (URA).

Bagi pelanggan seperti Encik Zulkifli Amin, keluarganya berpeluang mempelajari tentang warisan dan sejarah hotel zaman penjajahan British ini.

"Kami suka menginap di sini kerana suasananya macam ala-ala kampung, tenang, dan juga hotel ini berada di luar kawasan bandar," kata beliau.

Penyelaras Acara Hotel Pegasus Ashraf Rahim memberitahu BERITAMediacorp: "Baru-baru ini, kebanyakan keluarga Melayu datang ke sini. Oleh kerana itu, kita ada makanan Halal untuk keluarga yang datang ke sini. Selain dari itu, kita pun ada ruang barbeku untuk keluarga memasak masakan mereka sendiri."

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

HOTEL BERDEKATAN DENGAN KEGIATAN BUDAYA, GERAI HALAL

Hotel Clover yang terletak di kawasan Arab Street. (Gambar: Google Maps)

Tidak seperti Kranji Farm Resort dan Hotel Pegasus yang jauh dari kesibukan bandar, Hotel Clover berdekatan Masjid Sultan, juga tidak kurang hebatnya.

Di tengah-tengah kawasan Kampung Glam yang kaya dengan sejarah pedagang Arab, hotel ini juga dikelilingi dengan tempat-tempat makan seperti Hjh Maimunah dan Restoran Islamic.

Penolong Pengurus Meja Penyambut Tetamu Hotel Clover, Encik Rizad Jamil mengongsi keistimewaan hotelnya: "Oleh kerana kita dekat dengan Sultan Gate, jadi senang untuk mereka jalan dalam 2-3 minit. Sultan Gate juga ada banyak acara, lagipun sekarang cuti sekolah, seperti tarian Melayu, kraf tangan dan juga membuat wau dan gasing."

"Hotel Clover, kita berdekatan dengan Haji Lane, Arab Street, dan Pahang Street. Kita juga dekat dengan cafes dan restoran, makan-makanan Halal."

Secara purata, penginapan di Kranji Farm Resort, Hotel Pegasus dan Hotel Clover meningkat sehingga 30 peratus semasa musim cuti sekolah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ZZ/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan