Images
  • kiss kids generic
    Gambar hiasan. (Gambar: Pixabay/Ben Kerckx)

Hati-hati cium kanak-kanak di telinga; gegendang boleh pecah!

SINGAPURA: Kanak-kanak memang comel dan boleh membuatkan sesiapa sahaja berasa ‘geram’ serta mahu kerap mencium dan meromos wajah tembam mereka.

Tapi tahukah anda jika tidak berhati-hati, ia boleh membawa mudarat kepada kanak-kanak, khususnya jika kita mencium telinga mereka dengan terlalu kuat.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Dr Doron Sagiv, ciuman yang kuat pada telinga mungkin boleh menyebabkan gegendang telinga pecah. Dr Sagiv mengetuai kajian yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Sheba di Universiti Tel Aviv Israel.

Menerusi kajian yang dijalankan, 56 peratus daripada 80 pesakit yang dianalisis mengalami trauma yang dipanggil ‘blunt trauma’. Seramai 20 peratus daripada mereka adalah kanak-kanak yang gegendang telinganya koyak. Kajian itu diterbitkan pada 28 Oktober dalam Jurnal Perubatan Kecemasan.

‘Blunt trauma’ juga boleh berlaku apabila tekanan terlalu kuat diletakkan pada telinga, kata Dr Erich Voigt seorang pakar ENT Langone Health di Universiti New York. Beliau bagaimanapun tidak terlibat dalam kajian tersebut.

Apabila ini berlaku, udara atau air ditekan ke dalam ruang yang sempit di dalam telinga. Ini menyebabkan tekanan yang kuat pada salah satu gegendang telinga dan mengosongkan ruang pada satu lagi gegendang, kata Dr Voigt. Untuk mengimbangi tekanan, gegendang telinga ‘meletup’ dan koyak.

Tekanan yang terlampau kuat boleh berlaku apabila telinga seseorang dipukul, terhentak pada beg udara di dalam kereta atau disebabkan ombak laut, tambah Dr Voigt.

JANGAN BERSIHKAN TELINGA GUNA PUTIK KAPAS, BAHAYA!

Menurut dapatan kajian itu lagi, putik kapas menyumbang kepada 40 peratus punca kecederaan pada gegendang telinga, kata Dr Sagiv. Lima peratus daripada kes tersebut memerlukan pembedahan untuk memulihkan telinga.

“Saya berharap kajian kami akan menggalak lebih ramai doktor agar memberitahu kepada para pesakit mereka supaya jangan menggunakan putik kapas untuk membersihkan telinga,” kata beliau.

Apabila gegendang telinga pecah, ia akan menyebabkan rasa sakit, kehilangan pendengaran dan risiko lebih tinggi terkena jangkitan memandangkan kuman boleh menyusup masuk jauh ke dalam telinga, menurut Perpustakaan Perubatan Kebangsaan (NLM).

Daripada 20 kanak-kanak yang cedera menurut kajian itu, para pengkaji melaporkan bahawa semuanya dapat sembuh dengan sendiri. Bagaimanapun, empat daripada 40 orang dewasa yang mengalami kecederaan perlu menjalani pembedahan.

Dr Voigt berkata kajian itu tidak termasuk kes-kes gegendang koyak disebabkan perubahan tekanan udara semasa menaiki pesawat.

Kata beliau, para pengkaji mungkin mengecualikannya kerana memberi tumpuan kepada trauma fizikal dan bukan kecederaan yang disebabkan perubahan tekanan barometrik. 

- CNA/NK/nk

Komen Anda?

Top