Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Hampir 90% berpendapat perkahwinan Melayu banyak dicemari unsur luar

Nampaknya begitu ramai anggota masyarakat Melayu berpandangan bahawa ya, ia sudah begitu banyak dicemari unsur luar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejauh manakah majlis-majlis perkahwinan orang Melayu sekarang sudah banyak dipengaruhi unsur-unsur luar? Apa kata anda?

Nampaknya begitu ramai anggota masyarakat Melayu berpandangan bahawa ya, ia sudah begitu banyak dicemari unsur luar.

Buktinya, hasil tinjauan rambang portal BERITAMediacorp menunjukkan hampir 90 peratus daripada 8,800 undian berpendapat begitu. Hanya 7 peratus sahaja responden yang percaya bahawa majlis perkahwinan Melayu tidak dicemari unsur luar.

Sudah tak nampak lah keistimewaan Melayu - Arif Bin Saharuddin

Jadi, perlukah masyarakat Melayu bimbang tentang penghakisan budaya?

MASYARAKAT MELAYU MASIH LIHAT UNSUR UNIK SEBAGAI PENGHAKISAN BUDAYA

Majlis perkahwinan Melayu lazimnya lengkap dengan paluan kompang, pasangan raja sehari yang manis duduk di pelamin dan kaya dengan kesantunan.

Akibat daripada angin perubahan moden hari ini, budaya asal orang Melayu semakin berbeza terutama dari aspek pakaian.

Banyak perkara yang ada kaitan dengan nilai Melayu tak disampaikan kepada masyarakat Melayu - Dr Abbas Shariff

Meskipun unik, sebahagian besar masyarakat Melayu masih melihatnya sebagai penghakisan tradisi dan budaya. Ini termasuk beberapa orang awam yang ditemui BERITAMediacorp.

(Gambar: Huzaini Huz Studios)

(Gambar: Huzaini Huz Studios)

"Ikut cara adat Melayu ini semua tak ada. Jadi, macam rosakkan budaya kita," kata Encik Indra Sani, 27 tahun.

"Lebih baik kita ikutlah tradisi kita," Cik Zainab Abdul Rahim memberitahu BERITAMediacorp.

"Kalau tak menyusahkan sesiapa terserahlah. Sebab majlis mereka juga," menurut Cik Dini Marina Suhaimi.

"Sudah tak nampak lah keistimewaan Melayu," luah Encik Arif Bin Saharuddin, 24 tahun.

PENTING WARISKAN TRADISI KEPADA GENERASI AKAN DATANG

Maka tidak hairanlah, tinjauan portal BERITAMediacorp yang masih berlangsung sekarang ini (3 Dis) mendapati, hampir 90 peratus atau hampir 7,900 undi daripada lebih 8,800 undi, menyatakan 'Setuju' bahawa "Majlis perkahwinan Melayu kini sudah banyak dicemari dengan unsur-unsur luar".

Hanya tujuh peratus, atau hampir 600 undi, yang 'Tidak setuju' dengan pandangan tersebut. Empat peratus atau sekitar 400 undi melahirkan rasa 'Kurang pasti' tentang persoalan tersebut.

Lebih baik kita ikutlah tradisi kita - Zainab Abdul Rahim

Ia mengesahkan lagi dapatan Tinjauan Identiti Kaum bahawa kaum Melayu paling menjunjung jati diri.

Sebanyak 85.5 peratus orang Melayu yang ditinjau oleh CNA-IPS menyatakan penting tradisi perkahwinan diwariskan kepada generasi akan datang.

Perkahwinan Muslim mencatat peningkatan.

Namun, hakikatnya, tidak semua perkahwinan masyarakat Melayu hari ini benar-benar mengamalkan adat dan budaya perkahwinan lama

MESTI SEMAI NILAI TRADISI KE DALAM DIRI ANAK-ANAK

Sungguhpun demikian, nilai-nilai tradisi majlis perkahwinan perlu terus disampaikan kepada generasi baru Melayu, menurut seorang pengamat budaya yang juga pensyarah di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Abbas Mohd Shariff.

"Banyak perkara yang ada kaitan dengan nilai Melayu tak disampaikan kepada masyarakat Melayu dan ini kerana ada masalah-masalah yang berkaitan dengan penyemaian nilai. Ini mesti ada perubahan dalam proses itu," beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Tambahan lagi, menurut pemerhatian Dr Abbas, generasi muda sudah banyak terdedah dengan pengaruh-pengaruh luar sejak kecil.

Lantaran itu tanpa proses penyemaian nilai yang betul ke dalam diri anak-anak, dikhuatiri tradisi perkahwinan Melayu mungkin hilang ditelan zaman.

"SUPAYA ANAK MUDA TIDAK KELIRU" - SOM SAID

Pandangan serupa turut disuarakan budayawan seni veeran Singapura, Cik Som Said.

Peradaban majlis perkahwinan, kata beliau, wajar dipelihara dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

"Dalam majlis persandingan itu sendiri biarlah dia mengikut peradaban, teratur supaya anak-anak kita yang keliling kita mereka pun tidak begitu terdedah dengan budaya-budaya Melayu kita.

"Mereka hanya dapat melihat majlis persandingan saja, supaya mereka itu istilahnya tak kelirulah," jelas Cik Som.

Maka itu, beliau percaya perlu ada usaha yang berterusan untuk menyedarkan kembali masyarakat Melayu mengenai pentingnya adat istiadat Melayu agar ia dapat dibanggakan oleh generasi muda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan