Images
  • Gelandangan
    Gambar hiasan gelandangan. (Gambar: BAY ISMOYO / AFP)

Gelandangan 'cabut' tak bayar bil S$700 selepas makan di hotel mewah

AMERIKA SYARIKAT: Seorang gelandangan di Amerika Syarikat ditahan dan dibicarakan di mahkamah selepas didakwa tidak membayar harga makanan yang dimakan di sebuah hotel di bandar mewah New Jersey.

Michael Andrew Phillips, 52 tahun, memesan makanan yang berharga £400 (S$720) selepas diberitahu tidak dibenarkan duduk di dalam kafe hotel jika tidak memesan makanan.

Makanan yang dipesan Phillips adalah koktel udang, stik dan beberapa jenis minuman termasuk champagne, lapor Daily Mail.

Tidak cukup dengan itu, Phillips juga menempah sebuah bilik berharga £150 (S$270) dengan menyerahkan lesen memandunya sebagai bukti identiti.

Selesai menjamu selera, dia dilihat membawa dua botol wain menuju ke biliknya, menurut laporan Metro UK.

Namun kelibat Phillips tidak lagi dilihat selepas itu dan pemeriksaan di biliknya pula mendapati tiada bukti dia tidur di situ.

Dia berjaya ditahan beberapa hari kemudian dan mengaku salah ketika dibicarakan di mahkamah.

Namun dia disahkan mengalami masalah psikologi akibat tidak mendapat bekalan ubat yang sepatutnya.

"Dia mengalami masalah psikologi dan perlu mengambil ubat yang betul pada masanya. Namun dia tidak mendapat bekalan ubat itu, yang menyebabkan dia bertindak sedemikian," kata peguam bela, John McCormick.

Phillips diarahkan membayar semula jumlah bil berkenaan, selain perlu berkelakuan baik selama 12 bulan, lapor Daily Mail.

- Agensi berita/NK/aq

Komen Anda?

Top