Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Gadis pokok' henti rawatan, bapa takut keadaannya akan memburuk

Seorang kanak-kanak perempuan warga Bangladesh yang menderita penyakit pelik dikenali sebagai "sindrom manusia pokok" sudah meninggalkan hospital di mana beliau dirawat selama ini.

Anggaran Waktu Membaca:
'Gadis pokok' henti rawatan, bapa takut keadaannya akan memburuk

Sahana Khatun, kanak-kanak Bangladesh yang menderita "sindrom manusia pokok" pada 30 Jan 2017. (Gambar: STR / AFP)

Diterbitkan : 27 Mar 2017 11:17PM Dikemas Kini : 27 Mar 2017 11:24PM

DHAKA: Seorang kanak-kanak perempuan warga Bangladesh yang menderita penyakit pelik dikenali sebagai "sindrom manusia pokok" sudah meninggalkan hospital di mana beliau dirawat selama ini.

Ini dimaklumkan bapa kanak-kanak itu kepada AFP hari ini (27 Mac). Beliau berkata beliau takut anaknya itu tidak akan dapat pulih buat selama-lamanya.

Para pakar bedah menjalankan pembedahan terhadap Sahana Khatun bulan lalu, dan mengeluarkan sesetengah ketumbuhan pada kulitnya yang kelihatan seperti kulit kayu.

'Kulit kayu' tumbuh pada seluruh tubuh kanak-kanak itu akibat penyakit yang amat jarang dihidapi, dipanggil epidermodysplasia verruciformisa.

Kanak-kanak berusia 10 tahun itu dipercayai pesakit perempuan yang pertama di dunia yang menghidapi penyakit tersebut, yang sedang dirawat secara percuma oleh Hospital Kolej Perubatan Dhaka.

Para doktor berkata pembedahan tersebut berjaya membuahkan hasil. Namun bapa Sahana, Mohammad Shahjahan berkata ia sebenarnya hanya memburukkan lagi keadaan anaknya itu dan beliau tidak mahu anaknya menjalani mana-mana lagi prosedur.

Sahana Khatun selepas menjalani pembedahan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka pada 7 Feb 2017. (Gambar: STR / AFP)

Sahana Khatun selepas menjalani pembedahan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka pada 7 Feb 2017. (Gambar: STR / AFP)

"TUMBUH LEBIH TEBAL, KUKUH"

"Mereka mengeluarkan pertumbuhan seperti kulit kayu itu, dan ia tumbuh lagi dengan lebih tebal dan kukuh," katanya kepada AFP.

"Saya takut. Mereka kata anak perempuan saya perlukan lagi 8-10 pembedahan. Tapi apa jaminannya yang dia akan pulih selepas itu."

Samanta Lal Sen, ketua unit kelecuran dan pembedahan plastik di hospital itu, berkata beliau mahu kanak-kanak itu terus berada di hospital untuk menjalani pembedahan lanjut, namun bapanya, seorang pekerja buruh yang miskin, enggan berbuat demikian.

"Beliau tinggalkan hospital bersama anak perempuannya, dan mengadu tidak melihat sebarang kemajuan pada keadaan anaknya. Kami meminta mereka supaya berada di hospital lagi beberapa minggu untuk rawatan," kata Encik Sen kepada AFP.

Kurang 12 orang di seluruh dunia diketahui mengalami sindrom tersebut, termasuk penarik beca Bangladesh, Abul Bajandar, 27 tahun.

Beliau sudah menjalani sekurang-kurangnya 21 prosedur pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan-ketumbuhan besar yang setiap satu seberat 5 kilogram, dan para doktor percaya beliau mungkin pesakit pertama untuk pulih.

ALAMI KESEMPITAN KEWANGAN

Bapa Sahana, seorang duda, berkata beliau juga menghadapi kesempitan kewangan semasa anaknya dirawat.

"Saya harus terus berada di sisinya tanpa bekerja. Saya tidak ada wang untuk memberikannya makan dengan betul," katanya.

"Dialah satu-satunya anggota keluarga saya yang masih hidup, dan saya tidak mahu melihat dia duduk di katil hospital dengan keadaan menyedihkan."

Sumber : AFP/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan