Images
  • dewi biawak
    Dewi dengan biawak peliharaannya, Kenit. (Gambar: Dewi Zulaikha / Facebook)

Gadis cantik dukung biawak hidup bernama Kenit, dikritik kerana "tunjuk berani"

PETALING JAYA: Anda sudah lihat gambar viral seorang gadis mendukung seekor biawak di media sosial?

Gadis dari Kuala Kangsar, Perak yang hanya ingin dikenali sebagai Dewi itu mendapat pelbagai respons menyusuli gambar-gambarnya bersama biawak peliharaannya yang bernama Kenit.

Malangnya, kebanyakan daripada respons yang diajukan kepada gadis yang berusia 21 tahun itu bercorak negatif.

Selain melihat tindakannya itu sebagai sesuatu yang "geli" kerana biawak dianggap sebagai haiwan kotor, beliau juga dituduh sengaja mahu popular dan "tunjuk berani" sehingga sanggup bertindak begitu.


Lebih teruk lagi ada yang mengaitkan tindakannya itu dengan "dunia akhir zaman" dan meramalkan tidak mustahil beliau akan ditimpa malang atau terkena badi.

Ketika dihubungi mStar Online, Dewi berkata bahawa beliau sedar dirinya dikritik, disindir dan dijadikan bahan lawak ekoran gambar yang dimuat naik itu, tetapi tidak mahu mempedulikannya kerana ada sebab beliau memelihara biawak berkenaan.

"Saya jumpa Kenit dekat sungai dalam keadaan luka dan tak bermaya Julai lalu. Sebab kasihan, saya terus bawa 'dia' balik ke rumah untuk dirawat.

"Saya peliharanya lebih kurang tiga bulan dan lepas sembuh saya lepaskan 'dia' walaupun rasa berat hati," katanya yang mengambil keputusan membebaskan semula Kenit pada Oktober lalu.

Menurut Dewi, sebagai seorang pencinta haiwan, istilah 'takut' tidak timbul terutama jika melihat mana-mana haiwan cedera atau memerlukan bantuan.

Apatah lagi dengan koleksi pelbagai spesis ular termasuk ular tedung selar berukuran lebih empat meter yang menjadi haiwan peliharaannya, 'berurusan' dengan biawak bukanlah satu masalah besar untuk dirinya.

Dewi turut berkongsi bahawa beliau amat beruntung kerana tugasnya sebagai seorang jururawat dapat membantunya dari segi langkah penjagaan kebersihan dan pencegahan jangkitan kuman setiap kali beliau menyentuh haiwan.

"Saya pakai sarung tangan, buat 'hand washing' setiap kali main atau bawa Kenit jalan-jalan, saya juga mandikannya dengan air bersih.

"Biarlah apa orang nak cakap yang penting biawak pun makhluk Allah, tak haram disentuh dan saya tak seksa Kenit," katanya yang memberi Kenit makan isi ayam ketika berada bawah jagaannya.

Menurut laporan mStar Online, beliau tidak pernah menyesal memelihara Kenit dan memuat naik gambar bersamanya di Facebook walaupun dirinya dikecam.

"Kenapa nak cakap 'dia' kotor, mulut orang yang cakap itu bersih ke? Lainlah viral saya dukung suami orang, yang itu nak kecam, kecamlah," katanya kepada mStar Online.

Mengulas mengenai koleksi haiwan peliharaannya, Dewi berkata bahawa beliau mempunyai 26 jenis ular dan beberapa haiwan lain yang dibeli dan ditangkap sendiri.


Selain digunakan untuk pertunjukan, beliau juga menimbangkan untuk menjual haiwan-haiwan ini jika ada yang berminat.

Dewi berkata setiap haiwan yang dipelihara mempunyai risiko apabila dipelihara dan beliau juga tidak terlepas daripada dipatuk ular. 

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top