Images
  • despacito
    Penyanyi lagu hit Despacito Luis Fonsi (kiri)  dan Daddy Yankee (kanan). (Gambar: AP)

Dianggap lucah, lagu Despacito dihentikan di semua siaran RTM

PUTRAJAYA: Siapa yang belum pernah dengar lagi lagu Despacito? Dengan rentaknya yang rancak, ia membuatkan orang ramai tertarik dan tertagih dengannya.

Lagu popular bahasa Sepanyol itu memegang rekod sebagai lagu yang paling banyak dimain di dunia. Hanya sehari sahaja, ia mencecah 5.4 juta pendengar dan video muziknya pula mencecah 200 juta penonton selang 22 hari, menjadikannya lagu Sepanyol paling popular.

Walaupun demikian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil langkah memberhentikan serta-merta siaran lagu hit antarabangsa itu, di semua stesen radio dan saluran televisyen miliknya. Ini ekoran aduan bahawa lagu tersebut mempunyai lirik lucah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata lagu itu dinilai semula oleh panel penilai RTM susulan aduan awam dan mengambil keputusan untuk menarik balik kelulusan.

"Sehubungan dengan itu, RTM memberhentikan siaran lagu tersebut di semua stesen radio dan TV RTM berkuat kuasa serta-merta " katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut laman The Star pula, Pengerusi Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Atriza Umar Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) mengatakan anak-anak muda menyanyi lagu tersebut yang mempunyai unsur-unsur seksual tanpa memahaminya.

Lirik tersebut antara lain berbunyi:

“Let me breathe your neck slowly, Let me undress you with kisses slowly...” (Biarkan aku hembuskan nafasku di lehermu perlahan-lahan, biarkan aku tanggalkan pakaianmu dengan ciuman perlahan-lahan)

Sebelum ini terdapat pihak yang sudahpun meminta agar penyiaran lagu itu dihentikan kerana liriknya yang berunsur lucah. 

- Agesni Berita/fa

Komen Anda?

Top