Images
  • chef wan1
    (Gambar: Chef Wan)

Chef Wan buka restoran baru di Esplanade S’pura selepas Hari Raya!

BERITAMediacorp: Cef selebriti dari Malaysia, Chef Wan, akan membuka sebuah restoran baru di Singapura – lebih tepat lagi di Esplanade! BERITAMediacorp diberitahu oleh cef terkenal itu, restoran tersebut akan diberi nama ‘Chef Wan’s Kitchen’.

Bila restoran tersebut akan dibuka? Selepas Hari Raya Puasa nanti, dedah Chef Wan.

Sebilangan orang mungkin akan terkejut dengan berita ini, kerana cef terkenal yang sebelum ini dikaitkan dengan restoran 1 Market by Chef Wan, baru ditutup pada Jun tahun lalu (2016). 1 Market pernah beroperasi di Plaza Singapura dan tutup kedai setelah tiga tahun setengah beroperasi.

Namun demikian, beberapa minggu lepas, cef popular itu sempat memuatkan posting di Instagram rasmi beliau bahawa beliau sudahpun bersedia untuk kembali ke Singapura. Iaitu dengan satu usahasama yang baru bersama pelabur serta rakan kongsi perniagaan yang baru - dengan membuka sebuah restoran baru.

Lokasi baru kali ini bertempat di Esplanade yang turut menempatkan beberapa restoran lain.

CHEF WAN: ESPLANADE “LOKASINYA BAGUS”

Baru-baru ini BERITAMediacorp menghubungi cef terkenal itu menerusi panggilan jarak jauh ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan kepastian serta perincian dari beliau yang masih lagi sibuk menjalani sebuah rakaman program televisyen terkini beliau, berjudul Selera Rasa Seksa.

"Saya memang inginkan mempunyai restoran di kawasan utama macam Esplanade. Lokasinya bagus. Saya tengok di situ ada pelancong asing tapi dari segi makanan halal, kurang. Lebih-lebih lagi makanan Melayu kita. Jadi saya terfikir mengapa tidak I buat restoran di situ,” cerita selebriti kelahiran Singapura itu yang nama sebenarnya ialah Redzuawan Ismail.


Secara kebetulan, pelabur dan rakan kongsi baru beliau memaklumkan kepadanya tentang restoran mereka yang "tidak menjadi" dan terpaksa ditutup.

Mereka jugalah yang menyarankan kepada Chef Wan untuk sama-sama membuka restoran yang diberi nama Chef Wan's Kitchen, di Esplanade.

Cuma buat masa sekarang ini, beliau belum bersedia untuk berkongsi identiti pelabur serta rakan kongsi terbarunya untuk restoran di Esplanade.

"Saya tak gemar menyebut mereka itu orang Cina atau Melayu ke. Mereka lebih senang untuk tidak dikenali. Mereka banyak pengalaman sebab memiliki banyak restoran di Singapura. I tengok dari pengalaman mereka dan I cakap oklah kita cuba sama-sama," jelas Chef Wan, yang bakal berusia 60 tahun pada tahun depan.

CHEF WAN’S KITCHEN, RESTORAN “LEBIH KECIK”

Bezanya kali ini, Chef Wan menjadi rakan kongsi untuk restoran yang dijangkakan beroperasi selepas Syawal. Selain itu, terdapat juga ura-ura untuk perniagaan mereka dikembangkan lagi.

Mengapa pula Chef Wan memilih untuk menjadi rakan kongsi kali ini dengan pembukaan Chef Wan's Kitchen nanti? Sedangkan, bagi restoran 1 Market beliau setakat ‘meminjamkan’ nama sahaja.

"I rasa restoran lebih kecik senanglah nak uruskan. Tak macam dulu restoran itu besar. Mengapa tidakkan?" terangnya ringkas.

Restoran yang boleh menampung seramai 100-120 pelanggan itu bakal menyajikan pelbagai menu ala carte, tidak seperti sajian buffet di restoran lama itu.

Menjadi rakan kongsi kali ini padanya memudahkan beliau untuk "mempunyai suara" dan membenarkan beliau membuat keputusan juga dalam pengurusan restoran tersebut nanti.


MENU MAKANAN BAGAIMANA DI RESTORAN BARU NANTI?

Menu yang bakal disajikan akan turut merangkumi masakan-masakan yang beliau tampilkan untuk buku-buku masak beliau. Antaranya, ‘400 Resipi Terbaik Chef Wan’, ‘The Best of Chef Wan: A Taste of Malaysia’.

Beliau sempat berseloroh: "Ada dari buku masak kita, apa yang you tengok kat tv, kita masak macam tu, kalau sedap, sedaplah."

Chef Wan tidak menafikan setiap perniagaan pasti ada risikonya. Kekadang, menu yang disajikan tidak sesuai. Makanya beliau mengambil pendekatan ‘trial and error’ untuk Chef Wan's Kitchen di Singapura nanti.

Beliau sendiri yang akan turun padang untuk melatih kesemua cef yang akan menjadi tenaga kerja restoran tersebut. Seperti sebelum ini juga, Chef Wan menambah beliau akan turut berada di restoran tersebut untuk menemui peminat-peminatnya yang bertandang ke restoran untuk menjamu selera.

Yang penting, perniagaan di lokasi yang baru itu dijangkakan lebih mencabar disebabkan restoran itu bukan sahaja harus bersaing dengan restoran-restoran hebat lain yang sedia ada di Esplanade. Chef Wan juga menaruh harapan, restoran barunya itu akan dapat menarik perhatian pengunjung-pengunjung asing yang ke Esplanade, selain daripada para pelanggan Melayu.


(Gambar-gambar: Chef Wan)

TIDAK SERIK LAGI TERBABIT DENGAN RESTORAN?

Beliau sebelum ini marah dengan apa yang berlaku dengan pihak pengurusan restoran 1 Market. Jadi, tidakkah Chef Wan berasa serik untuk membuka lagi restoran di Singapura?

"Eh takdelah, merepek saja. Meniaga tak boleh serik. Kalau serik, kita tak meniaga,” kata beliau kepada BERITAMediacorp.

“Dalam dunia perniagaan, sentiasa ada jatuh bangun kan? Kekadang dari kesilapan yang lalu tu buat kita lebih prihatin dan boleh hasilkan keputusan lebih baik lagi InsyaAllah," tambahnya lagi penuh yakin.

Yang pasti, para penggemar makanan di Singapura ini tidak sabar menantikan kemunculan Chef Wan’s Kitchen untuk ‘berasap’. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top