Images
  • bob2
    Chef Bob berjaya menurunkan berat badannya dengan sebanyak 90 kilogram. (Gambar: Shahrizal Salleh/ Instagram)

Chef Bob berjaya hilangkan 90kg berat badannya, berazam turunkan lagi 15kg demi anak

BERITAMediacorp: Anda yang sudah lama tidak melihat Chef Bob, mungkin terpaksa menggosok mata berulang kali untuk memastikan apakah itu Bob yang sama.

Manakan tidak, personaliti tempatan itu yang dahulunya dianggap 'montel' kini jelas kelihatan lebih kurus, sihat dan juga mungkin lebih kacak! Perubahan fizikal Chef Bob memang amat ketara - selepas beliau berjaya menurunkan berat badannya dengan sebanyak 90 kilogram!

Gambar di atas dan di bawah ini menjadi buktinya.


Ketika dihubungi BERITAMediacorp, Chef Bob atau nama sebenarnya Shahrizal Salleh, pada awalnya mengaku berasa agak malu untuk berkongsi perjalanannya.

Chef Bob membuka cerita: "Sebenarnya ini adalah putaran keempat bagi saya untuk berusaha menurunkan berat badan. Yang pertama, adalah semasa saya menjalani Perkhidmatan Negara, di mana saya hilang lebih 56 kilogram dalam masa dua tahun.

"Yang kedua, apabila saya tertekan untuk nampak langsing di hadapan TV bagi siri Cef Skuter. Dan yang ketiga pula, sejurus sebelum saya naik pelamin. Maklumlah nak ada 'badan pelamin'."

Chef Bob menambah, badannya bagaimanapun kembali "naik lemak" setelah beliau berkahwin.

"Terus naik badan sehingga mencecah 188kg. Bagi putaran kali keempat ini pula, ia bermula dua tahun lalu. Dan saya memberitahu diri bahawa, sudahlah. 'Enough is enough' (Sudah cukup)," kongsi beliau dengan terus terang kepada BERITAMediacorp.

APA DIA PENDORONG UTAMA BOB KURUSKAN BADAN?

Ditanya kenapa beliau bersungguh-sungguh bertekad 'membakar habis-habisan' lemak ditubuhnya? Jawapan Bob boleh dirumuskan dalam satu perkataan - Umar. Semua ini demi anaknya yang tersayang yang bakal menginjak usia 3 tahun, Umar.


"Umar menjadi pendorong utama saya untuk terus bertekad dan berusaha. Saya mahu dia membesar dengan seorang ayah. Memang benar, hidup mati itu di tangan Allah. Tetapi apabila anda gemuk, pelbagai komplikasi kesihatan yang akan timbul.

"Malah, sepotong ayat Quran turut menyatakan bahawa 'kaum lelaki adalah pelindung dan penjaga isteri-isteri dan anak-anak mereka'. Bagaimana dapat saya melindungi keluarga saya sedangkan saya tidak dapat melindungi diri saya sendiri? Bagaimana dapat saya jaga keluarga saya apabila saya sendiri tidak boleh berjalan dengan betul untuk melakukan tugas saya?" luah Chef Bob tanpa berselindung.

Bagaimanapun, usahanya untuk menurunkan berat badan tentunya bukan mudah. Malah, Chef Bob memberitahu BERITAMediacorp, beliau berulang kali berasa hampir berputus asa.

Menurunkan berat badan mudah katanya. Tetapi untuk mengekalkannya adalah amat sukar. Kini, setelah hilang hampir 100 kilogram dan tubuhnya menjadi lebih cergas, Chef Bob nampaknya ditiup semangat baru.

"Saya memang sudah bertekad dan tidak mahu berat badan yang turun naik lagi. Penatlah," katanya, yang kini berjaya mengurangkan berat badannya kepada 99 kilogram.


TUBUHKAN KELAB KECERGASAN 'FAT BOYS FITNESS CLUB'

Yang jelas, beliau menerima dorongan dari pelbagai pihak, termasuk pelatih kecergasannya, Sazali. Sazali, yang juga suami kepada seorang sepupunya, melatihnya selama lebih tiga tahun mengikut jadualnya yang fleksibel.

Bahkan, kedua-dua Chef Bob dan Sazali kini sama-sama menubuhkan sebuah kelab kecergasan khas yang diberi nama 'Fat Boys Fitness Club' (FBFC).

"Saya menyarankan idea untuk mengadakan latihan 'bootcamp' khusus buat lelaki bersaiz besar seperti saya sendiri. Saya tahu bagaimana perasaannya untuk menjadi gemuk dan mahu hilangkan berat badan. Dan setiap kali saya ke gim, orang akan mula menilai saya.

"Sebenarnya, itu bukan suatu masalah bagi saya sebab saya tidak peduli tentang pendapat orang lain. Keyakinan diri saya tinggi, tetapi kebanyakan orang-orang gemuk pula mempunyai keyakinan diri yang rendah dan agak sensitif apabila dinilai berdasarkan berat badan mereka," terang tukang masak itu, yang kini menjadi turut menjadi konsultan dan duta jenama bagi restoran Central Thai.

Oleh itu, FBFC menjadi ruang bagi lelaki bersaiz besar untuk membuang rasa janggal selain dapat sama-sama memberi motivasi kepada satu sama lain, katanya.

Chef Bob memberitahu BERITAMediacorp pusingan pertama FBFC yang dihadkan kepada 20 peserta mendapat sambutan sangat memberangsangkan sehingga mereka terpaksa membuka ruang bagi pusingan yang kedua.

Bahkan, 20 tempat bagi pusingan kedua itu dipenuhi hanya selang beberapa jam sahaja, sehingga mereka bertindak untuk mengadakan tempat bagi 20 peserta lagi bagi bootcamp yang berlangsung selama 10 minggu itu.

"Kaum wanita bersaiz besar pernah menyarankan agar saya membuka 'Fat Girls Fitness Club' tetapi saya tak nak," jelasnya.


(Gambar-gambar: Shahrizal Salleh/ Instagram)

INGIN TURUN LAGI 15KG

Pada hari-hari biasa, Chef Bob akan ke gim sekurang-kurangnya dua kali seminggu, melakukan latihan angkat berat, senaman kardio selain bermain futsal dari 11.00 malam hingga 1.00 pagi pada setiap Jumaat.

Bagaimana pula dengan rutin senaman Chef Bob semasa Ramadan?

"Bagi bulan Ramadan pula, saya tidak melakukan sebarang latihan sebelum berbuka puasa. Saya hanya melakukannya sesudah solat Isyak atau terawih, tetapi saya masih tetap bermain futsal.

"Walau bagaimanapun, saya masih perlu menurunkan lagi 15 kilogram untuk mencapai berat badan dan BMI yang ideal," kongsinya.

Yang jelas, tekad Chef Bob untuk benar-benar langsing, kekal sihat dan aktif wajar dijadikan contoh dan dorongan bagi mereka yang mengalami masalah serupa.

Pastinya, tiada yang mustahil. Jika Chef Bob mampu hilang lebih 90 kilogram - ibarat tubuhnya 'dipotong dua' dan dibuang separuh - mereka yang bersaiz seperti Chef Bob 'yang dulu' juga boleh mencapai matlamat serupa. Selagi ada niat, tekad dan usaha. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top