Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bukan saja handal dalam bola sepak, Shahril Ishak adakan pertunjukan fesyen sulung

Siapa sangka, pemain bola sepak negara Shahril Ishak rupa-rupanya mempunyai bakat terpendam - dalam reka cipta fesyen!

Anggaran Waktu Membaca:
Bukan saja handal dalam bola sepak, Shahril Ishak adakan pertunjukan fesyen sulung

Shahril Ishak di pertunjukan fesyennya. (Gambar: Airisu (airisu.co))

Diterbitkan : 03 Apr 2017 01:33AM Dikemas Kini : 03 Apr 2017 01:50AM

SINGAPURA: Kehandalannya di padang bola sudahpun terbukti.

Namun siapa sangka, pemain bola sepak negara Shahril Ishak rupa-rupanya mempunyai bakat terpendam - dalam reka cipta fesyen!

Tiga minggu lalu, Shahril, 33 tahun, mengadakan pertunjukan fesyen untuk mempamerkan koleksi baru Hari Raya 'inloveXtns' (inlove by TNS), jenama pakaian yang diuruskannya secara bersama dengan isterinya, Nur Hidayah.

Ia berlangsung di bilik pameran mereka di Primz Bizhub di Woodlands, dan dihadiri sekitar 90 tetamu, terdiri daripada keluarga, rakan-rakan serta para penulis blog fesyen.

Lima pemain Singa Muda Garena menjadi model di pertunjukan fesyen itu. (Gambar: Airisu (airisu.co))

Lima pemain Singa Muda Garena menjadi model di pertunjukan fesyen itu. (Gambar: Airisu (airisu.co))

Meskipun ia merupakan kali pertama pasangan itu mengadakan pertunjukan fesyen, acara tersebut berjalan lancar dan disokong 26 penaja.

"Kebanyakan mereka yang hadir terkejut kami dapat menjayakannya," kata Shahril kepada Mediacorp.

“RESPONS LUAR BIASA” BAGI KOLEKSI RAYA

Hidayah, 29 tahun, berkata mereka meneroka idea itu setelah terkejut dengan "respons luar biasa" bagi koleksi Raya tahun lalu, apabila pakaian lelaki disertakan buat pertama kali sejak inloveXtns dilancarkan pada akhir 2014.

Sambil menambah bahawa pertunjukan itu mengambil masa enam bulan untuk dirancang, Hidayah tersenyum dan berkata: "Ia detik membanggakan bagi kami."

Lebih membanggakan lagi, kedua-dua mereka tidak mempunyai pengalaman dalam fesyen mahupun mempunyai perniagaan fesyen sebelum menubuhkan jenama pakaian tersebut.

Para peragawati di bilik pameran inloveXtns. (Gambar: Airisu (airisu.co))

Para peragawati di bilik pameran inloveXtns. (Gambar: Airisu (airisu.co))

DAPAT INSPIRASI DI INDONESIA

Perniagaan itu bermula pada 2013 sebagai label pakaian jalanan dipanggil The Number Seventeen - merujuk kepada nombor jersi Shahril dan singkatannya adalah TNS. Beliau mendapat ilham setelah melihat pakaian seperti itu di Indonesia, di mana beliau bermain bola sepak dari 2010 hingga 2011.

"Ada kedai-kedai seperti itu di banyak daerah, jadi saya bergaul dan berkenalan dengan para pemilik mereka," kata pemain midfield itu, yang bermain untuk kelab-kelab Indonesia Persib Bandung dan Medan Chiefs.

Hidayah menambah: "Mereka membuat pencetakannya sendiri, jadi kami berpeluang melihat bagaimana ia dilakukan dan dari situ, Shahril mula minat mereka pakaian dan mendapatkan bantuan dari mereka untuk mencetaknya."

REKAAN SHAHRIL SENDIRI

Semua pakaian TNS direka oleh Shahril sendiri, yang bereksperimen dengan pelbagai sofwe dalam iPadnya dan menonton video-video YouTube.

Apabila ditanya sama ada fesyen adalah bakat terpendam Shahril, Hidayah tertawa dan berkata: "Saya rasa ya lah, ada bakat terpendam!"

Rakan skuad negara, Baihakki Khaizan, yang hadir di pertunjukan fesyen itu, berkata Shahril selalu 'bermain' iPad ketika mereka tinggal sebilik semasa bermain untuk pasukan negara. "Jadi sekarang baru saya tahu apa tujuan app-app melukis dan rekaan itu," tulisnya di Instagram.

"Patutlah kamu selalu berdiam dan fokus pada iPad itu!"

RANCANG LUASKAN PERNIAGAAN

TNS sebelum ini merupakan perniagaan dari rumah yang mengambil tempahan online, dan juga mengendalikan gerai di pasar lambak serta di luar stadium-stadium bola sepak semasa perlawanan-perlawanan Liga S.

Idea menyertakan pakaian wanita dalam jenama itu disarankan oleh Hidayah hingga inloveXtns ditubuhkan, yang menjual skirt-skirt manik yang direkanya.

Skirt-skirt manik di bilik pameran inloveXtns. (Gambar: Teo Teng Kiat)

Skirt-skirt manik di bilik pameran inloveXtns. (Gambar: Teo Teng Kiat)

"Saya kata jika kami mahu adakan kedai, mungkin kami harus adakan koleksi wanita juga, jadi di situlah ideanya bermula pada 2014," kata Hidayah, yang sebelum itu merupakan seorang suri rumah.

Apabila perniagaan mereka ditubuhkan, mereka menggunakan rumah mereka sebagai bilik pameran sementara. Namun pasangan itu memutuskan untuk mendapatkan bilik pameran tetap untuk koleksi-koleksi mereka.

Woodlands dipilih kerana lokasi itu lebih mudah bagi Shahril, yang ketika itu bermain bagi Johor Darul Ta'zim II, agar dapat berulang-alik dari Koswe.

Sekitar S$100,000 dilaburkan untuk menubuhkan bilik pameran itu, yang dibuka pada awal 2016. Ia kini mempunyai tiga kakitangan - dua sepenuh masa, seorang pekerja sambilan - untuk membantu pasangan itu, yang masih mereka setiap pakaian yang dijual.

Reka bentuk yang baru dihasilkan sekitar setiap tiga bulan dan ia mengambil hampir lima bulan untuk sesuatu pakaian dihasilkan.

Shahril juga mencipta koleksi baru kurta untuk koleksi Raya, sementara skirt manik ciptaan Hidayah kini disediakan dalam 34 warna daripada dua warna sebelum ini.

RANCANG BUKA CAWANGAN KEDUA

Dengan pusing ganti "lima angka", perniagaan itu mencatat prestasi yang cukup baik hingga pasangan itu menimbangkan untuk membuka cawangan kedua tahun depan di bahagian tengah Singapura. Rancangan lain termasuk menubuhkan laman yang menawarkan pengiriman antarabangsa, kerana mereka sudah menerima pertanyaan dari sejauh Australia.

Shahril Ishak, isterinya Hidayah dan anak perempuan mereka Mysha Aludra . (Gambar: Airisu)

Shahril Ishak, isterinya Hidayah dan anak perempuan mereka Mysha Aludra . (Gambar: Airisu)

Mereka juga sedang menimbangkan untuk mengikuti kursus-kursus berkaitan perniagaan dan fesyen untuk mempertingkatkan pengetahuan dan mengendalikan jenama mereka dengan lebih baik.

"Kami masih perlu pelajari banyak perkara jika kami mahu terus menebarkan sayap," kata Shahril.

Sumber : Today/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan