Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Botak tidak kenal jantina, usia; apa punca rambut gugur? Ini jawapannya...

Secara purata, seseorang mempunyai sekitar 100,000 folikel rambut bagi memastikan mahkota mereka lebat.

Anggaran Waktu Membaca:
Botak tidak kenal jantina, usia; apa punca rambut gugur? Ini jawapannya...

Botak tak kenal jantina, usia. (Gambar: Marco D'Emilia/Unsplash)

Diterbitkan : 16 Oct 2017 11:05PM Dikemas Kini : 16 Oct 2017 11:12PM

SINGAPURA: Secara purata, seseorang mempunyai sekitar 100,000 folikel rambut bagi memastikan mahkota mereka lebat.

Seperti sel-sel lain dalam tubuh, folikel-folikel tersebut juga mempunyai kitaran. Semasa folikel dalam kitaran kerja, rambut tumbuh selama sekitar dua hingga enam tahun; tetapi apabila ia dalam kitaran rehat anda boleh gugur sebanyak 50 hingga 100 helai rambut sehari!

Sekalipun begitu, ini tidak menjadi masalah kerana bukan semua folikel mengikut kitaran yang sama.

Namun, ia boleh menjadi masalah jika kitaran tersebut terganggu. Folikel yang lemah menyukarkan rambut baru untuk tumbuh atau, yang paling menakutkan, kepala menjadi botak.

Berikut beberapa fakta tentang masalah keguguran rambut atau botak:

BILA SUDAH BOTAK, BOLEHKAH RAMBUT TUMBUH SEMULA?

Ini bergantung kepada akar folikel. Jika akarnya sudah mati, maka ia lebih sukar. Oleh itu, lebih baik mencegah daripada kelam-kabut mencari penawarnya apabila rambut mula gugur sehingga kepala menjadi botak.

PEREMPUAN PUN BOLEH BOTAK

Ternyata masalah botak ini tidak mengenal jantina - ia menjejas sekitar 35 juta lelaki dan 21 juta wanita di seluruh dunia.

Dalangnya? Salahkan hormon anda.

Baik lelaki mahupun wanita, kedua-duanya menghasilkan hormon testosteron. Hormon itu tidak memusnahkan folikel sebaliknya ia menghasilkan satu lagi hormon, iaitu Dihidrotestosteron (DHT) yang mengganggu kitaran folikel.

Masalah botak lebih ketara pada kaum lelaki disebabkan prosesnya. Bagi lelaki, ia bermula dari bahagian atas dahi, dengan semakin lama rambut semakin menipis sehingga ia membentuk seperti huruf M dan kemudian menjejas rambut pada bahagian atas kepala - ini sebabnya anda boleh gugur sehingga 50 peratus rambut. Setelah itu kepala akan kelihatan separuh botak atau botak licin.

Bagi kaum wanita, anda boleh berterima kasih kepada hormon estrogen. Menurut seorang pakar rambut di Svenson Hair Singapore, Kim Fong, hormon estrogen yang dihasilkan oleh kaum wanita membantu mencegah 'botak licin'. Maka, mahkota wanita lazimnya setakat kelihatan semakin tipis secara keseluruhan.

BOTAK TAK KENAL USIA

Masalah keguguran rambut juga tidak mengenal usia. Muda atau tua, kedua-duanya boleh mengalaminya. Pusat Belgravia, salah satu klinik utama di Britain yang merawat pesakit yang mengalami masalah keguguran rambut semuda usia 16 tahun, berkongsi bahawa 40 peratus lelaki mengalami masalah botak yang ketara menjelang usia 35 tahun, 65 peratus menjelang usia 60 tahun dan 80 peratus pula pada usia 80 tahun.

Cik Fong juga menekankan bahawa perubahan hormon setelah putus haid boleh menyebabkan kaum wanita mengalami masalah rambut yang menipis. Hormon wanita yang berkurangan sementara hormon androgen (iaitu hormon lelaki) pula bertambah boleh menyebabkan beberapa peratus folikel rambut menjadi lemah sehingga ia musnah dan gagal membuat rambut tumbuh lagi.
DUA JENIS BOTAK

Seorang dalam setiap 100 orang mengalami masalah alopecia areata yang disebabkan oleh penyakit autoimun. Ia disebabkan oleh reaksi sistem kekebalan (sistem imun) tubuh pada kulit. Ini boleh dipulihkan sebaik sahaja punca sebenarnya dikenal pasti dan rawatan yang sesuai diberikan, kata Cik Fong.

Satu lagi jenis adalah mereka yang mengalami masalah androgenetik alopecia. "Ini adalah masalah genetik di mana hormon DHT menjejas akar rambut, menyebabkan folikel mengecil sehingga ia menjadi lemah dan seterusnya botak dan tidak dapat pulih seperti sediakala," tambah beliau.

BOTAK ADALAH PENYAKIT ALAF 21

Anda boleh menuding jari, menyalahkan baka apabila berdepan dengan masalah rambut yang semakin menipis, namun punca utamanya adalah tekanan.

Ini amat membimbangkan kerana ia menjejas semua orang - muda, tua, lelaki dan wanita. Tidur lewat malam, diet yang tidak teratur dan tekanan boleh menjejas keseimbangan hormon serta perjalanan darah yang kurang baik pada kulit kepala. Semua ini boleh menyebabkan masalah keguguran rambut, kata Cik Fong.

Tekanan antara punca rambut gugur. (Gambar: Imani Clovis/Unsplash)

Tekanan antara punca rambut gugur. (Gambar: Imani Clovis/Unsplash)

JARANG CUCI RAMBUT ATAU TERLALU KERAP BASUH

Jika rambut terlalu kerap dicuci ia menghapuskan lapisan minyak semula jadi bagi kulit kepala yang sihat. Jika terlalu jarang dicuci pula ia mungkin menyebabkan minyak bertompok pada bahagian folikel sehingga menghalang rambut daripada tumbuh, kata Cik Fong.

Pengarah urusan Glamour Salon System, Leo Leong, bersetuju. Menurut beliau, anda perlu membasuh rambut mengikut keperluan diri sendiri. Misalnya, mereka yang aktif bersenam perlu membasuh rambut mereka setiap hari, manakala yang mempunyai kulit kepala yang kering hanya perlu membasuh selang sehari.

Cik Fong dan Encik Leong kedua-duanya berkata, menggunakan syampu yang betul juga penting. Syampu mestilah yang membersihkan kulit kepala dan bukan setakat rambut.

Encik Leong berkata: "Elakkan daripada terlalu kerap menggunakan syampu yang kuat kerana ia boleh menghilangkan kelembapan bukan setakat pada rambut tetapi juga kulit kepala. Hanya kulit kepala yang seimbang dan sihat boleh menghasilkan rambut yang sihat dan kuat."

WAX, GEL, PENYEMBUR RAMBUT BOLEH SEBABKAN RAMBUT GUGUR?

Tidak. Produk-produk seperti wax, gel dan penyembur rambut akan hanya menjadi masalah jika anda tidak mencuci rambut dengan betul setelah menggunakannya. Ini kerana, menurut Encik Leong, "bahan plastik dan wax akan melekit pada kulit kepala dan menyebabkan pembukaan folikel tersumbat dan menjadi keras, sekaligus sukar untuk membersihkannya".

"Dapatkan rawatan kulit kepala sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membersihkan bahan-bahan yang tersumbat," tambah beliau.

Jika rambut tidak dicuci dengan betul, ia folikel tersumbat. (Gambar: Angeline Neo)

Jika rambut tidak dicuci dengan betul, ia folikel tersumbat. (Gambar: Angeline Neo)

PEWARNA, KERINTINGKAN RAMBUT PUNCA RAMBUT GUGUR

Pewarna rambut dan rawatan mengerintingkan rambut bagaimanapun boleh menjadi punca rambut gugur sekiranya bahan kimia yang digunakan kerap terkena pada kulit kepala, menyebabkan folikel dan kulit kepala gatal.

Encik Leong menambah, rawatan detoks kulit kepala bagus jika dilakukan selepas setiap rawatan kimia untuk menghapuskan baki kimia daripada kepala dan mengembalikan kelembapan yang hilang.

KERAP BERUS RAMBUT, KULIT KEPALA BOLEH HENTI BOTAK

Memberus rambut tidak akan menghentikannya daripada menjadi botak namun rangsangan pada kulit kepala boleh meningkatkan pengaliran darah kepada folikel supaya rambut tumbuh lebih baik, kata Pendidik Kanan di Kerastase Paris, Kate Lim.

Ia juga membantu meratakan minyak semula jadi kulit kepala kepada hujung rambut, sekaligus membuatkannya kelihatan lebih lebat dan sihat.

Encik Leong menambah perbuatan memberus rambut dan kepala sebelum membasuhnya membantu memudahkan kotoran dicuci.

Gunakan berus yang bulunya semula jadi dan jangan melebih-lebih apabila memberus. Menurut Cik Lim "berus dengan lembut dua kali sehari" sudah mencukupi. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan