Images
  • fb
    REUTERS/Regis Duvignau/Files

Bosan dengan catatan FB rakan anda yang berlarutan? Tekan saja butang 'Snooze'

BERITAMediacorp: Bosan dengan gambar-gambar percutian rakan anda yang sekejap-sekejap muncul di ruang Facebook anda? Atau anda tidak mahu mengetahui tentang kegiatan kumpulan-kumpulan lain di Facebook anda?

Tidak lama lagi, anda mungkin akan dapat menekan butang 'snooze' dan semuanya akan 'hilang' dari pandangan mata anda buat sementara waktu.

Facebook sedang menguji butang 'snooze' yang membolehkan warga siber berhenti mengikuti perkembangan atau kegiatan rakan-rakan, Page atau Kumpulan selama 24 jam, seminggu atau sebulan.

Butang 'snooze' itu akan mencegah pengguna daripada berhenti mengikuti perkembangan atau kegiatan orang lain selama-lamanya, dengan memberikan mereka kebebasan memilih apa yang mahu atau tidak mahu dilihat.

Ini bermakna, sekiranya anda berasa bingit dengan seseorang atau sesuatu, anda boleh menyelesaikannya tanpa memutuskan tali silaturrahim yang sudah terjalin.

Laman TechCrunch melaporkan, ia ternampak butang 'snooze' itu pada Khamis lalu (14 Sep) di laman Facebook Amerika Syarikat dan mendapatkan pengesahan daripada syarikat itu sendiri.

Seorang jurucakap Facebook kemudian mengesahkan pihaknya sedang menguji butang 'snooze' dan memberitahu TechCruch: "Kami sedang menguji cara-cara baru untuk memberikan pengguna ruang untuk menguruskan laman Facebook mereka supaya mereka boleh terus menerima maklumat yang dirasakan relevan."

Untuk menggunakan butang 'snooze', anda hanya perlu menekan butang 'tiga titik' pada sebelah kanan catatan yang anda lihat di laman Facebook.

Jika sebelum ini hanya terdapat butang 'unfollow', anda kini boleh melihat butang 'unfollow atau snooze'. Anda boleh memilih sama ada untuk tidak mengikuti perkembangan seseorang selama sehari, seminggu, sebulan atau selama-lamanya, lapor laman TechCrunch. 

- Agensi berita/NK/

Komen Anda?

Top