Images
  • chicken rice pow sing
    Gambar fail hidangan nasi ayam. (Gambar: Pow Sing Delivery / Facebook)

Boleh makan nasi putih dan dalam masa yang sama turunkan indeks glisemik. Ini caranya...

SINGAPURA: Makan nasi putih dengan protein, sayur-sayuran dan semangkuk sup boleh menurunkan indeks glisemik beras putih sebanyak 50%.

Demikian menurut kajian yang sedang dilakukan Pusat Penyelidikan Pemakanan Klinikal.

Beras merupakan makanan utama kebanyakan orang. Namun ia juga mempunyai kadar indeks glisemik yang tinggi atau keupayaan untuk meningkatkan tahap gula dalam darah seseorang.

Ini boleh menimbulkan masalah kesihatan seperti kencing manis atau penyakit jantung koronari.

Walau bagaimanapun, mungkin ada cara untuk menurunkannya.

Dalam satu kajian melibatkan lebih 500 orang di negara ini, para penyelidik mendapati apabila beras putih dimakan begitu sahaja ia mempunyai indeks glisemik sebanyak 96.

Apabila ia dicampur dengan protein, sayur-sayuran dan semangkuk sup pula indeks glisemik turun kepada separuh.

"Sup mengandungi apa yang dipanggil asid amino dan asid ini merangsang pengeluaran insulin yang merupakan hormon yang menyerap glukosa dalam badan. Begitu juga apabila anda makan protein, ia menghasilkan asid amino," kata Pengarah Pusat Penyelidikan Pemakanan Klinikal Profesor Jeyakumar Henry.

Kajian itu juga mendapati apabila kacang soya tanpa gula dimakan dengan beras putih, ia boleh mengurangkan indeks glisemik sehingga 30%.

Dalam wawancara eksklusif Mediacorp, Menteri Negara Kanan Kesihatan, Chee Hong Tat berkata maklumat itu boleh dikongsi dengan industri terbabit supaya pilihan makanan sihat dapat dihasilkan.

Walaupun ia akhirnya memberi manfaat kepada pengguna, Encik Chee menambah ia juga boleh membantu syarikat-syarikat dalam sektor swasta. 

- BERITAMediacorp/NU/ru

Komen Anda?

Top