Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bercuti ke M'sia? Sila cuba nasi lemak telur bungkus di Kajang

Warga Malaysia serius apabila memperkatakan tentang nasi lemak.

Anggaran Waktu Membaca:
Bercuti ke M'sia? Sila cuba nasi lemak telur bungkus di Kajang

Gambar: Facebook

Diterbitkan : 03 Nov 2017 10:01PM Dikemas Kini : 04 Nov 2017 12:12AM

SELANGOR: Warga Malaysia serius apabila memperkatakan tentang nasi lemak.

Baru-baru ini, ratu cantiknya, Samantha Katie James mengumumkan akan memperagakan gaun 'nasi lemak' dalam pertandingan Miss Universe 2017 hujung bulan ini. September lalu pula, sebuah syarikat tempatan negara itu memperkenalkan kondom perisa nasi lemak.

Malah, anda pasti masih ingat heboh Ogos lalu apabila myBurgerLab, cawangan makanan Malaysia memperkenalkan burger Nasi Lemak Ayam Rendang untuk menandingi Burger Nasi Lemak Mcdonald's di Singapura.

Maka itu, apabila saiz telur dalam hidangan nasi lemak menjadi semakin kecil, ramai warga Malaysia yang meluahkan kehampaan mereka di media sosial, menurut laporan World of Buzz.

Misalnya Aliff Channel di Facebook dan Teh Tarik menyifatkan hidangan demikian sebagai 'nasi lemak telur SIM card', sekaligus menarik perhatian bahawa saiz telur yang diberikan tidak memuaskan.

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, seorang pengguna Facebook bernama Azri baru-baru ini memperkenalkan 'nasi lemak telur bungkus' yang dapat menangkis tanggapan bahawa saiz telur nasi lemak di Malaysia kian mengecewakan. Sebaliknya, dalam video yang dimuat naik Azri, telur yang dihidang sangat lumayan hingga dapat membalut nasi lemaknya sekali.

Dalam video yang kian viral itu, telur disapukan atas dulang besar seperti dalam persiapan burger Ramly. Namun, bukan patti daging burger yang dibalut tetapi lapan senduk nasi yang dibungkus seperti nasi pattaya. Memang tidak dapat dinafikan, nasi lemak telur bungkus itu tampak sungguh menyelerakan.

World of Buzz turut melaporkan bahawa nasi lemak Warung Bunian itu boleh didapati di Jalan Jamaludin yang terletak di Kajang, Selangor. Iaitu hanya sekitar empat jam dari Singapura dengan menaiki kereta. Mungkin, anda sekeluarga boleh singgah ke sana sambil bercuti di Malaysia?

Kedai tersebut dibuka dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja dari Isnin hingga Sabtu, dan dibuka selama tiga jam setengah sahaja pada hari Ahad. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan