Images
  • travel generic
    (Gambar hiasan: JAIME REINA / AFP)

Bercuti? Ini 5 tips untuk ibu bapa yang naik pesawat bersama anak kecil

BERITAMediacorp: Bujang atau sudah berkeluarga, ramai orang kini melancong sebagai salah satu kegiatan ‘wajib’ atau kegiatan keluarga. Bagi si bujang, mereka boleh berlenggang setelah mendaftarkan bagasi.

Tetapi bagi yang melancong bersama anak-anak kecil, menaiki pesawat bersama anak kecil sudah tentu bukan sesuatu yang mudah. Pelbagai kepayahannya.

Anak-anak, lebih-lebih lagi yang aktif, mungkin berasa tidak selesa dan ‘terperangkap' dalam kapal terbang buat beberapa jam. Tentu anak-anak akan berasa rimas dan merengek.

Apabila anak kecil merengek, bukan sahaja dia mengganggu ketenteraman ibu bapa malah para pelancong dan penumpang lain turut terjejas.

Di sini kami kongsikan lima tips dan nasihat yang boleh digunakan ibu bapa semasa membawa anak mereka melancong menaiki pesawat.

1. DAFTAR MASUK AWAL

Jika anda menaiki pesawat bersama anggota keluarga anda, seharusnya anda mendaftar masuk bersama-sama seawal mungkin dan bukan berasingan.

Ini kerana peluang untuk anda semua untuk duduk bersama lebih tinggi jika anda mendaftar masuk lebih awal lagi kerana jumlah tempat duduk pasti masih banyak lagi, menurut laman Skyscanner. Lebih baik lagi jika anda mendaftar masuk sekeluarga menerusi online sebaik sahaja ia dibuka.

2. SEDIAKAN MAKANAN RINGAN

Anak kecil yang kelaparan mungkin sahaja akan bising semasa perjalanan dilakukan. Dengan itu, sediakan beberapa makanan ringan atau snek seperti biskut dan buah-buahan.

3. JANGAN TINGGALKAN TELEFON BIJAK ANDA!

Bagi memberikan tumpuan kepada anak anda, muat turun beberapa filem ataupun episod-episod kegemaran mereka supaya mereka menontonnya semasa penerbangan.

Laman Skyscanner turut menyarankan untuk menyediakan fonkepala supaya orang ramai tidak terganggu dengan bunyi filem dan rancangan kegemaran mereka.

4. SEDIAKAN BEBERAPA HELAI BAJU TAMBAHAN

Sedang anda mengemas baju untuk bersiap sedia melakukan perlancongan anda, jangan kemaskan semua baju anak anda ke dalam bagasi. 

Sediakan beberapa helai baju di dalam beg "carry on" anda supaya bagi langkah berwaspada jika anak kecil anda termuntah dan memerlukan salinan baju baru, menurut laman Skyscanner.

5. GUNAKAN MASA INI UNTUK KREATIF

Jika masa penerbangan anda agak panjang, gunakan peluang ini untuk memberikan anak anda peluang menjadi kreatif. Kekadang anak kecil akan menjadi bosan jika tidak melakukan apa-apa buat tempoh yang panjang.

Sediakan buku warna, pensel, buku nota dan pensel warna supaya mereka boleh melukis atau mewarna semasa perjalanan berlangsung. 

- Agensi Berita/FA/nk

Komen Anda?

Top