Images
  • elderly people
    Gambar fail seorang warga senja di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek) 

Berapa lama manusia boleh hidup? 115 tahun bagi wanita, 114 tahun bagi lelaki

THE HAGUE: Para pengkaji Belanda mendakwa bahawa mereka menemui had umur maksimum bagi manusia, meskipun jangka hayat semakin meningkat disebabkan pemakanan, keadaan hidup dan jagaan perubatan yang lebih baik.

Data dikumpulkan daripada sekitar 75,000 warga Belanda yang usia mereka direkodkan ketika waktu kematian.

Pakar statistik di universiti Tilburg dan Erasmus di Rotterdam menetapkan usia maksimum bagi jangka hayat wanita ialah 115.7 tahun.

Jangka hayat untuk lelaki pula 114.1 tahun berdasarkan sampel daripada data yang dikumpulkan selama 30 tahun kebelakangan ini, kata Profesor John Einmahl, salah seorang daripada tiga saintis yang menjalankan kajian berkenaan.

"Secara purata, manusia hidup lebih lama tetapi usia orang paling tua di kalangan kita tidak berubah sepanjang 30 tahun lalu," kata Profesor Einmahl kepada AFP.

"Terdapat seakan satu had meskipun sememangnya secara purata jangka hayat semakin meningkat," katanya sambil merujuk kepada jumlah orang yang mencecah usia 95 tahun di Belanda naik hampir tiga kali ganda.

"Bagaimanapun, paras maksimum itu tidak berubah," jelasnya.

"Tempoh hidup" digunakan bagi menggambarkan berapa lama seseorang itu hidup sementara jangka hayat adalah tempoh kehidupan secara purata bagi para individu golongan usia tertentu - satu kayu ukur kesejahteraan masyarakat.

Dapatan kajian Belanda tersebut menyusuli dapatan para pengkaji yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang pada tahun lalu mendakwa usia maksimum yang sama tetapi menambah individu yang hidup jauh lebih lama tidak setua sebelum ini. 

- AFP/RU/ru

Komen Anda?

Top