Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Berapa kerap perlu bersihkan alat yang digunakan setiap hari? Ini jawapannya

Menjaga kebersihan peralatan yang digunakan setiap hari adalah antara langkah awal menjaga kesihatan diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Berapa kerap perlu bersihkan alat yang digunakan setiap hari? Ini jawapannya

Gambar hiasan. (Gambar: Merdeka.com/Shutterstock/Anna Omelchenko)

Diterbitkan : 27 Apr 2017 10:43PM Dikemas Kini : 27 Apr 2017 10:48PM

BERITAMediacorp: Menjaga kebersihan peralatan yang digunakan setiap hari adalah antara langkah awal menjaga kesihatan diri.

Menurut rencana yang dipetik dari laman dailyrecord.co.uk, ahli kesihatan menyarankan supaya peralatan yang digunakan setiap hari dicuci atau dibersihkan.

“Tanpa anda sedari, peti sejuk adalah tempat bakteria membiak menerusi sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan mentah yang disimpan di dalamnya. Peti sejuk sebaiknya dibersihkan antara tempoh tiga dengan enam bulan dan proses pembersihan termasuk membuang makanan yang sudah sampai tarikh luput serta membersihkan bahagian luar peti sejuk,” menurut laporan laman dailyrecord.co.uk.

Jika anda tidak pasti berapa kerap peralatan-peralatan tersebut perlu dibersihkan, berikut ini adalah tips untuk anda:

TANDAS

Tandas adalah salah satu tempat yang mempunyai banyak kuman dan bakteria kerana ia menampung kotoran manusia setiap hari.
Ini bermakna, tandas mesti dibersihkan secara menyeluruh sekurang-kurangnya seminggu sekali, dengan menggunakan cecair pembunuh kuman.

CADAR KATIL

Cadar perlu dicuci setiap satu atau dua minggu sekali kerana sel-sel mati atau kotoran lain boleh melekat padanya setiap kali anda baring atau tidur.

Jika anda tidak membersihkannya secara rutin, sel kulit mati ini mungkin akan menarik tungau atau kutu.

Selain itu, anda juga perlu membersihkan tilam daripada bakteria, kuman dan kutu yang lazimnya tersembunyi pada bahagian dalamnya.

TELEFON BIMBIT

Jangan disangka telefon bimbit anda bersih.
Menurut penelitian laporan dailyrecord.co.uk. ternyata telefon bimbit mengandungi 10 kali lebih banyak bakteria berbanding mangkuk tandas!

Oleh itu, anda perlu membersihkannya dengan betul setiap hari menggunakan pengelap anti-bakteria.

SPAN PENCUCI PINGGAN MANGKUK

Span yang biasanya digunakan untuk membersihkan pinggan mangkuk mengandungi satu hingga 10 juta bakteria.

Cara membersihkannya adalah dengan merendamkannya dalam air bersuhu 60 darjah selsius setiap seminggu sekali atau lebih baik lagi, gantikan saja dengan span yang baru.

BERUS GIGI

Tahukah anda, terdapat lebih 10 juta bakteria yang terkandung pada berus gigi?

Oleh yang demikian, sebaiknya anda menggantikannya setiap tiga bulan sekali dan membersihkannya dengan betul setiap kali selepas menggunakannya.

ALAT SOLEK

Kaum wanita memang tidak lepas dari alat solek. Oleh kerana ia digunakan setiap hari, ia perlu dibersihkan selepas digunakan. Terutama sekali jika anda memiliki kulit yang berjerawat dan sensitif.

Selain itu, alat solek yang sudah luput tarikhnya mestilah dibuang.

Bedak asas atau ‘foundation’, boleh bertahan selama enam hingga 12 bulan. Selepas itu, ia mesti dibuang kerana bakteria boleh membiak dengan mudah di dalamnya.

Gincu pula mesti dibuang jika sudah mencecah dua tahun. Selain itu, lapisan atas gincu yang digunakan perlu rajin dibersihkan untuk menghilangkan bakteria.

Jika maskara anda sudah digunakan selama tiga bulan, ia perlu dibuang untuk mencegah bakteria yang dapat menyebabkan jangkitan pada mata.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan