Images
  • swimming pool
    (Gambar hiasan: RALF HIRSCHBERGER / DPA / AFP)

Berapa banyak air kencing terkandung dalam kolam renang? Anda pasti terkejut. Ini jawapannya…

CALGARY, Alberta: Kes ‘terlepas’ buang air kecil dalam kolam renang memang biasa berlaku.

Tetapi, pernahkah anda tertanya-tanya, secara purata, berapa banyakkah air kencing yang terkandung dalam kolam renang itu ketika anda sedang asyik berendam atau berenang di dalamnya?

Para penyelidik Kanada mendapati bahawa kolam-kolam renang sebenarnya mengandungi tahap air kencing yang agak tinggi, menurut sebuah artikel yang dikeluarkan pada 2 Mac.

Para penyelidik di Universiti Alberta menjalankan satu ujian untuk mengukur jumlah air kencing yang terkandung dalam kolam renang, dan mengambil lebih 250 sampel daripada 31 kolam renang dan tab air hangat di dua bandar Kanada.

Keputusan ujian itu menunjukkan, sebuah kolam renang bersaiz 830,000 liter, iaitu sekitar satu pertiga saiz kolam renang Olimpik, mengandungi 75 liter air kencing sementara sebuah lagi kolam renang lebih kecil mempunyai 30 liter air kencing.

Menerusi cecair-cecair tubuh manusia, “pelbagai kimia” menyerap masuk ke dalam air di kolam-kolam rekreasi, menurut kajian itu yang diterbitkan di jurnal Environmental Science and Technology Letters.

Malah menurut kajian itu lagi, berita tentang kolam-kolam renang Olimpik Rio 2016 bertukar warna semalaman, menggariskan perlunya untuk memantau mutu air.

BOLEH BERCAMPUR ADUK DENGAN KIMIA, MUDARATKAN KESIHATAN

Meskipun air kencing bersih daripada kuman, kewujudannya dalam kolam-kolam renang merupakan satu keprihatinan terhadap kesihatan awam, kerana air kencing boleh bercampur aduk dengan kimia-kimia dalam kolam renang dan memudaratkan kesihatan para perenang, menurut kajian tersebut.

Para penyelidik menjalankan ujian tersebut dengan mengesan bahan acesulfame-K (ACE), bahan pemanis tiruan yang keluar dari tubuh secara keseluruhannya dan merupakan bahan yang sesuai sekali untuk mengesan air kencing.

Ia mendapati bahawa tahap konsentrasi ACE dalam kolam-kolam renang dan tab air hangat itu, yang tidak dinamakan dalam kajian itu, adalah sehingga 570 kali ganda lebih tinggi berbanding air paip biasa.

Para pengkaji kemudian menggunakan tahap konsentrasi ACE sepanjang tiga minggu dalam dua kolam renang tersebut untuk menganggarkan tahap air kencing di dalam kolam-kolam itu, menurut kajian tersebut.

Jadi, bayangkan, seperti yang disebut di atas, ada kalanya perenang bergelumang antara 30 liter dengan 75 liter air kencing dalam sesebuah kolam renang.

Mungkin dengan pendedahan ini, ada sebilangan pengguna yang akan mengelakkan daripada membasahi dan menghirup air kolam renang.

- Reuters/nd

Komen Anda?

Top