Images
  • fragment room1
    ‘The Fragment Room’ memberi orang ramai ruang untuk memecahkan, menghempas serta meremukkan pelbagai barang. (Gambar: The Fragment Room/ Facebook)

Benarkah pecahkan barang dapat bantu atasi tekanan? Ini pula pendapat pakar

BERITAMediacorp: Persekitaran kerja di Singapura ternyata suatu yang sukar dan mencabar. Malah, tidak kurang daripada rakyat tempatan yang menjadikan kerjaya sebagai keutamaan dalam hidup mereka. Sering kali, mereka juga terpaksa mengorbankan masa dan tenaga demi kemajuan dalam kerjaya masing-masing.

Menurut tinjauan portal kerja online utama Singapura, JobsCentral, 66 peratus daripada tenaga kerja Singapura malah menyifatkan beban kerja mereka kian bertambah berbanding enam bulan lalu. Bahkan, daripada perangkaan tersebut, 83.3 peratus turut berkata bahawa tekanan kerja juga semakin meningkat dalam tempoh yang sama.

Tinjauan tersebut melibatkan seramai 2,281 responden, yang merupakan individu dari pelbagai peringkat pekerjaan dan kelompok pendapatan.

Melihat pada tahap tekanan yang kian meningkat, kini sebuah cawangan turut dibuka baru-baru ini bagi memberi orang ramai peluang untuk 'melepaskan' tekanan mahupun kemarahan mereka.

RUANG UNTUK PECAH BARANG-BARANG

‘The Fragment Room’ memberi orang ramai ruang untuk memecahkan, menghempas serta meremukkan pelbagai barang termasuk komputer lama, botol dan set televisyen – namun, dengan bayaran yang dikenakan.


Turut digelar sebagai 'Bilik Kemarahan yang pertama di Asia Tenggara', The Fragment Room juga melengkapkan para pelanggan dengan seragam khas bagi melindungi diri mereka daripada serpihan sewaktu memecahkan dan menghempaskan barang-barang.

Yang menariknya, para pelanggan bagi cawangan di 3 Balestier Road itu juga boleh memilih pakej mana yang lebih sesuai bagi 'melepaskan' tekanan mereka.

Ini termasuk pakej $38 bagi seorang 'pemain' selama 30 minit, bersama satu kotak kayu dengan barangan yang boleh dipecahkan dan kayu besbol.

Malah, pakej-pakej lain ditetapkan pada harga $75 bagi dua pemain selama 30 minit dan $220 bagi seorang pemain selama 60 minit. Berbaloi?

Ini yang kian menjadi tanda tanya di kalangan masyarakat muda masa kini. Sejauh manakah keberkesanan menghempas dan memecahkan barangan dapat melepaskan tekanan dan kemarahan?

Go crazy. Let loose. Break free. Break some printers. - #thefragmentroom

Posted by The Fragment Room on Tuesday, 9 May 2017

BERITAMediacorp mendapatkan pandangan dua orang ahli psikologi tentang kegiatan mengurangkan tekanan dengan cara seumpama ini.

Dr Noradlin Yusof, seorang ahli psikologi pendidikan dan klinikal dari Impetuz Psychological Service memberikan pendapat: "Bagi seseorang untuk mengalami tekanan dan kemarahan adalah sesuatu yang normal. Malah ia juga adalah sebahagian daripada pengalaman manusia dalam kehidupan seharian.

“Meskipun stres boleh difahamkan sebagai perasaan tertekan di mana seseorang itu mengalami beban yang harus dipikul, kemarahan pula dimanifestasikan dari pelbagai emosi yang mendorong perasaan tersebut. Bagaimanapun, persoalannya adalah sama ada kemarahan itu akan bertukar menjadi suatu sifat yang agresif.”

DR NORADLIN: BERTINDAK SECARA AGRESIF BAK MENYIMBAH MINYAK KE API

Menurut Dr Noradlin, walaupun pendapat bahawa "melepaskan segala perasaan" melalui cara fizikal seperti memecahkan barangan diterima oleh sesetengah pihak, masih belum terdapat cukup bukti saintifik yang menyatakan ia adalah pendekatan atau rawatan yang efektif bagi kemarahan mahupun sifat agresif.

“Malah, menurut satu kajian oleh Olatunji dan rakan-rakan kerjanya, melibatkan diri dalam kelakuan maladaptif atau agresif boleh membawa kepada sifat yang lebih negatif, bak 'menyimbah minyak ke api'. Bertindak secara agresif malah boleh membentuk suatu proses 'negative reinforcement' yang menyebabkan lebih kemarahan dan penentangan, yang boleh menjejas cara seseorang itu menguruskan kemarahan buat jangka panjang,” katanya kepada BERITAMediacorp.


(Gambar-gambar: The Fragment Room/ Facebook)

Seorang lagi ahli psikologi, Encik Haikal Jamil dari ImPossible Psychological Services bagaimanapun memberikan beberapa saranan bagi mengurangkan rasa tertekan yang dapat membawa manfaat kepada seseorang itu.

"Salah satu contoh yang baik adalah dengan bersenam. Ia bukan sahaja mengurangkan emosi negatif, malah ia turut menggalakkan kesihatan fizikal seseorang. Dan, ia juga adalah lebih baik bagi seseorang itu untuk melibatkan diri dalam teknik yang lebih mudah dan efektif bagi menguruskan emosi, seperti menarik nafas panjang atau mendengar muzik, yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya.

DAPATKAN BANTUAN PAKAR, KOMUNIKASI DENGAN BERKESAN

Menurut Encik Haikal, sifat marah itu juga adalah suatu respons emosi yang lumrah dan sihat. Bagaimanapun, cara kita memberi respons kepada kemarahan itu yang sebenarnya boleh menjadikannya suatu masalah, katanya.

"Kira sehingga sepuluh dan tarik nafas panjang apabila anda berasa marah. Apabila anda sudah reda, luahkan rasa tidak puas hati itu dengan cara yang tenang atau kenal pasti beberapa huraian bagi masalah itu. Bagaimanapun, sekiranya anda benar-benar berasa tertekan atau mudah berasa marah, pertimbangkan untuk dapatkan bantuan pakar.


(Gambar: STR / AFP)

“Mendapatkan bantuan bukanlah satu kelemahan. Malah, kaunselor ataupun ahli psikologi anda dapat bekerjasama dengan anda bagi mengenal pasti sebab di sebalik tekanan atau kemarahan itu, dan melengkapi anda dengan kemahiran untuk menguruskan respons tersebut dengan lebih efektif," kata Encik Haikal.

Dr Noradlin turut menambah bahawa menyuarakan pendapat dengan berkesan dan berkomunikasi dengan hormat, tanpa meningkatkan ketegangan suasana dan melukakan orang lain, adalah kemahiran yang penting.

"Pendekatan adaptif yang lebih pro-sosial, seperti meluangkan masa untuk diri sendiri, memberi ruang kepada seseorang itu untuk menguruskan kemarahan dengan lebih positif dan secara semula jadi, dan sering kali lebih disokong. Ia juga menggalakkan lebih banyak peluang bagi menghuraikan masalah dan mencermin diri sendiri apabila kemarahan itu sudah reda."

Encik Haikal turut merumuskan bahawa secara keseluruhannya, beliau tidak akan menyarankan pendekatan memecahkan barang untuk mengatasi tekanan dan kemarahan.

“Memecahkan barang-barang tidak akan menyelesaikan punca masalah dan tidak praktikal dalam dunia sebenar. Tentunya, ada lebih banyak pendekatan yang berkesan dan bermanfaat bagi mengatasi emosi negatif. Dan, anda sebenarnya juga menanggung risiko mencederakan diri sendiri atau orang-orang yang tersayang jika anda terus melibatkan diri dalam respons agresif bagi mengatasi stres dan kemarahan," katanya kepada BERITAMediacorp. 

- BERITAMediacorp/im

Komen Anda?

Top