Images
  • coffee
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Benarkah minum kopi menyebabkan tulang rapuh?

AMERIKA SYARIKAT: Pernahkah anda terfikir jika meminum kopi menjejas penyerapan kalsium dalam tubuh anda dan boleh menyebabkan penyakit osteoporosis atau tulang rapuh?

"Saya tidak berasa risau tentang hal itu," kata Dr Robert R Recker, pengarah Pusat Kajian Osteoporosis Universiti Creighton di Omaha, Nebraska.

Kebanyakan kajian nasional di pelbagai negara mendapati "tiada bukti peningkatan risiko keretakan tulang disebabkan kopi", kata Dr Recker, seorang pakar endokrinologi atau kajian perubatan berkaitan sistem yang mengawal hormon.

Sebagai contoh, satu kajian berdasarkan penduduk di Sweden, mendapati pada 2013 bahawa minum kopi berlebihan (empat cawan atau lebih sehari) boleh menjejas kepadatan tulang.

Bagaimanapun kajian yang melibatkan pemantauan terhadap 61,000 wanita selama sekitar 20 tahun itu tidak menunjukkan kaitan minum kopi dengan risiko keretakan yang meningkat.

Satu ulasan sistematik yang diterbitkan tahun ini di jurnal mengenai pengesanan racun dalam makanan dan kimia menghuraikan bahawa walaupun sehingga lapan cawan kopi sehari, "tidak ada kaitan dengan keprihatinan besar terhadap risiko keretakan dan jatuh" terutama sekali di kalangan dewasa yang sihat dan mengambil kadar kalsium yang cukup.

Institut Kesihatan Nasional mencadangkan wanita berusia 51 hingga 70 tahun mendapat 1,200mg kalsium setiap hari dan lelaki pada usia yang sama mendapat 1,000mg.

Namun bolehkah meminum kopi membawa kepada kehilangan kalsium?

Benar, mereka yang minum kopi dengan banyak, bertambah juga kalsium dalam air kencing mereka, kata Profesor Pemakanan di universiti Purdue, Connie M. Weaver, penulis ulasan sistematik yang disebutkan tadi.

Bagaimanapun, kehilangan kalsium dalam air kencing dapat digantikan apabila orang ramai mendapatkan kalsium daripada makanan mereka, kata Prof Weaver. 

- TODAY/RU/ru

Komen Anda?

Top