Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beli 'shawl' S$1 demi bantu pendidikan agama kanak-kanak dari keluarga memerlukan

Dengan sokongan masyarakat yang membeli ia dapat memanfaatkan para muslimah lain yang memerlukan, lebih-lebih lagi yang baru memeluk Islam atau yang baru berjinak-jinak hendak bertudung.

Anggaran Waktu Membaca:
Beli 'shawl' S$1 demi bantu pendidikan agama kanak-kanak dari keluarga memerlukan

Antara 'shawl' yang akan dijual pada harga $1. (Gambar-gambar: Masjid Al Falah)

BERITAMediacorp: Bila dibuka laci atau almari, puluhan 'shawl' atau selendang dalam pelbagai corak dan warna menanti untuk digayakan.

Ini 'masalah' yang mungkin biasa dihadapi ramai wanita, khususnya, yang bertudung. Dek kerana sudah terlalu banyak selendang, mungkin juga sebahagiannya langsung tidak dipakai lagi.

Hendak dibuang, 'sayang'. Keadaannya juga masih baik.

Mungkin itulah antara sebabnya ramai orang mendermakan 'shawl', termasuk yang berjenama seperti dUCk dan Naelofar kepada Masjid Al Falah baru-baru ini. Ini juga demi amal bagi membantu pendidikan agama kanak-kanak dari keluarga memerlukan.

APA YANG AKAN DIBUAT DENGAN 'SHAWL' YANG BANYAK ITU?

Selendang-selendang tersebut akan dijual kepada orang ramai pada harga hanya S$1 sehelai pada 31 Disember ini di masjid tersebut.

Cik Nadiah Osman, seorang Pegawai Pembelajaran Islam di Masjid Al Falah memberitahu BERITAMediacorp pihaknya mengumpulkan 'shawl' daripada orang ramai.

Dimulakan sekitar dua minggu lalu, setakat ini Masjid Al Falah sudah berjaya mengumpulkan antara 200 dengan 300 selendang.

'Shawl' yang diterima semuanya dalam keadaan yang baik.

"Kami cuma mewar-warkannya menerusi laman Instagram dan Facebook kami dan ia kemudian tersebar kepada lebih ramai orang.

Selain selendang dUCK dan Naelofar yang dijangka menjadi rebutan, "kami ada juga menerima 'shawl instant', yang separa 'instant' pun kami dapat.

"Asalkan ia dalam keadaan baik," Cik Nadiah memberitahu BERITAMediacorp.

ALTERNATIF SAMBUT TAHUN BARU

Kegiatan itu adalah sebahagian daripada sebuah acara lebih besar 'One Day One Night' sempena Tahun Baru nanti.

Selain penjualan selendang pada acara itu nanti, para pengunjung boleh menjangkakan pelbagai kegiatan menarik bermula dari pukul 12.00 tengah hari pada 31 Disember hingga tengah malam pada 1 Januari.

Ini termasuk forum-forum agama, nasyid dan qasidah, gerai-gerai makanan dan minuman dan solat larut malam atau qiamullail.

BERITAMediacorp diberitahu acara 'One Day One Night', yang dianjurkan buat kali kedua tahun ini, adalah sebagai acara alternatif, demi menggalak masyarakat Islam datang ke masjid sempena menyambut Tahun Baru.

MAHU PERTINGKAT PROGRAM FARDU AIN KANAK-KANAK

Cik Nadiah berkata tujuan mengumpulkan 'shawl' adalah untuk meraih dana bagi mempertingkat Projek NUR yang dikendalikan masjid tersebut.

Projek NUR adalah program khusus untuk kanak-kanak dari keluarga yang menerima bantuan Zakat. Program yang sudah dikendalikan sejak empat tahun lalu itu diadakan setiap hari Sabtu.

"Kanak-kanak ini datang ke Masjid Al Falah untuk belajar Fardu Ain. Kita juga memberikan mereka tuisyen dan kadangkala kami melakukan pelbagai kegiatan dan acara untuk mereka. Yang utama adalah kelas Fardu Ain supaya sekurang-kurangnya mereka tahu membaca al-Quran, walaupun sedikit," Cik Nadiah memberitahu BERITAMediacorp.

Sejauh ini seramai 36 kanak-kanak mengikuti program tersebut.

"Kami akan meluaskan lagi program itu pada tahun 2018 supaya ia lebih baik dan kami dapat menerima lebih banyak kanak-kanak (untuk mengikuti program itu)," tambah Cik Nadiah.

Selain itu Cik Nadiah berkata pihaknya juga berharap dengan sokongan masyarakat yang datang dan membeli ia dapat memanfaatkan para muslimah lain yang memerlukan, lebih-lebih lagi yang baru memeluk Islam atau yang baru berjinak-jinak hendak bertudung.

"Kami amat berharap semua orang akan datang dan menyokong inisiatif kecil kami ini. Sambil beramal, sambil dapat 'shawl' yang lawa dan masih baru," ujar Cik Nadiah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan