Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Baru saja dibeli, iPhone X kini dijual semula pada harga hampir S$3,000!

iPhone X - iaitu iPhone tercanggih pernah dikeluarkan syarikat Apple, mula dijual di lebih 50 negara termasuk di Singapura hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Baru saja dibeli, iPhone X kini dijual semula pada harga hampir S$3,000!

(Gambar: Petikan skrin dari laman Carousell)

SINGAPURA: iPhone X - iaitu iPhone tercanggih pernah dikeluarkan syarikat Apple, mula dijual di lebih 50 negara termasuk di Singapura hari ini.

Di Apple Store@Orchard - yang merupakan satu-satunya gedung rasmi Apple di Asia Tenggara - hampir 1,000 orang sanggup beratur untuk menjadi kumpulan pertama menggenggam telefon bijak itu.

Ramai yang sanggup beratur panjang sehingga berjam-jam lamanya, malah bukan berjam-jam sahaja, tetapi ada beratur selama dua hari sehingga bermalam di hadapan kedai.

Cik Salina Raduan, 24 tahun, warga Malaysia yang datang ke Singapura khusus untuk membeli telefon tersebut, sudah mula beratur sejak jam 5.00 petang semalam (2 Nov).

Encik Rahmat Ramadan, 33 tahun, dari Bandung, Indonesia pula sudah mula beratur sejak jam 4.00 petang kelmarin (1 Nov).

Beliau berada di Singapura hingga Ahad ini bersama keluarganya untuk bercuti, sambil membeli telefon iPhone X.

Kesabaran, atau mungkin boleh disifatkan juga sebagai 'kegilaan' para pelanggan dan penggemar Apple ini, jelas ditonjolkan oleh hampir 1,000 orang yang beraturdi Orchard Road.

iPhone X yang menjadi pujaan, akhirnya mula bertukar tangan bermula tepat jam 8.00 pagi tadi.

Orang pertama yang menjadi pemilik iPhone X di gedung rasmi Apple di Orchard Road ini ialah Kittiwat Wang dan Supakorn Rieksiri - kedua-duanya dari Thailand.

Memandangkan ini juga merupakan satu-satunya gedung rasmi Apple di Asia Tenggara, ia seolah-olah menjadi besi sembrani yang turut menarik ramai peminat Apple dari negara-negara serantau.

Encik Rahmat memberitahu BERITAMediacorp: "Memang dari dulu saya sangat gemar dengan iPhone. Pada ulangtahun iPhone ini mereka lancarkan edisi istimewa, iPhone X, jadi saya amat berminat, bersemangat dan saya berfikir, saya harus ke Singapura."

Namun, tidak semua pembeli awal ini merupakan peminat sebenar jenama tersebut.

Ini antara sebab musababnya.

"Sebenarnya, saya beratur ini untuk seseorang yang ingin membeli iPhone ini," kata Muhammad Syahir Mohamad Tahir, 17 tahun.

Syahir merupakan antara beberapa orang yang dibayar upah untuk beratur bagi pihak orang lain, untuk membeli iPhone X.

Malah, sebilangan iPhone X sudah mula dilelong atau dijual secara online hanya beberapa jam setelah ia mula dijual secara rasmi.

Ada yang dijual semula pada harga sehingga $1,000 lebih tinggi daripada harga asal - jelas menandakan adanya pihak-pihak yang ingin meraut untung besar daripada populariti telefon canggih ini.

Tinjauan BERITAMediacorp ke atas laman e-niaga tempatan iaitu Carousell menunjukkan, ada iPhone X yang mahu dijual semula pada harga S$2,988.

Sebelum penjualan iPhone X hari ini, Apple dilaporkan menghadapi masalah kelewatan dalam pembekalan dan pengeluaran telefon tersebut.

Kini Apple menyatakan bahawa pihaknya "sangat gembira" dengan kemajuan pengeluaran telefon ikonik itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan