Images
  • Petit PLi
    (Gambar-gambar: Ryan Mario Yasin/Facebook)

Baju bayi unik yang ‘ikut membesar’ dan boleh dipakai selama 30 bulan

BRITAIN: Para ibu bapa pasti tahu dan faham betapa bayi yang berusia antara enam dengan 36 bulan cepat membesar dan saiz pakaian mereka berubah-ubah. Maka, terpaksalah ibu bapa kerap membeli pakaian baru untuk bayi mereka.

Namun, para ibu bapa mungkin dapat menjimatkan kos dan alam sekitar dengan pakaian khas bagi bayi dalam lingkungan usia tersebut, yang direka oleh Ryan Mario Yasin dari Kolej Seni Royal.

Yasin, mencipta sebuah sistem lipatan unik yang membolehkan pakaian ‘ikut membesar’ bersama bayi, lapor laman Dezeen.


Yasin, memulakan perniagaan Petit Pli setelah membelikan pakaian buat anak saudara beliau, namun tidak muat dipakai apabila dihadiahkan kepadanya.

Yasin memanfaatkan latar belakang beliau sebagai seorang jurutera aeronautic untuk menghasilkan lipatan-lipatan pada pakaian, supaya apabila kainnya ditarik, saiznya menjadi lebih besar. Ini memastikan pakaian itu terus muat dipakai meskipun bayi semakin membesar.

Pakaian-pakaian unik itu juga termasuk yang kalis air dan angin dan boleh dipakai oleh bayi berusia antara enam dengan 36 bulan. Menurut laporan laman Dezeen, saiz pakaian bagi bayi dalam lingkungan usia tersebut kadang-kala berubah sebanyak enam kali!

Yasin berharap, dengan adanya pakaian kanak-kanak yang dapat bertahan lama, ia dapat membantu mengurangkan jumlah pembaziran yang dijana oleh industri pakaian.

“Kanak-kanak membesar dan pakaian mereka tidak muat dipakai hanya dalam masa beberapa bulan, namun kita tetap memakaikan pakaian orang dewasa versi kecil berbanding menghasilkan (pakaian) khas untuk mereka,” Yasin memberitahu Dezeen.

“Dengan seramai 11 juta kanak-kanak di Britain, saya berasa sudah tiba masanya kita reka semula pakaian kanak-kanak,” tambah beliau.


Yasin bereksperimen dengan pelbagai jenis fabrik di rumah beliau sendiri termasuk menambah ‘pleat’ atau lipatan dan memasak fabrik-fabrik itu di dalam ketuhar.
Buat masa ini, Yasin sedang mengumpulkan dana untuk Petit Pli dan merancang untuk mengeluarkan kumpulan pertama pakaian khas itu di Britain.


- Agensi berita/nk

Komen Anda?

Top