Images
  • aqmal
    Penggiat seni Aqmal N menjadi mangsa angin ahmar pada usia muda iaitu 29 tahun. (Gambar: Taman Warisan Melayu)

Awas, golongan muda semakin ramai diserang angin ahmar

BERITAMediacorp: Tanggapan bahawa serangan angin ahmar hanya berlaku kepada orang yang lebih berusia dan tidak perlu dibimbangi golongan muda adalah salah sama sekali.

Menurut Institut Neurosains Nasional (NNI), hampir 400 daripada 100,000 pesakit yang dicatatkan pada 2015 berusia di bawah 45 tahun, berbanding 365 pada 2010.

Masyarakat Melayu paling berisiko menghidap penyakit itu.

Apakah tabiat dan amalan gaya hidup masyarakat Melayu yang menyebabkan mereka mendapat strok pada usia muda?

GAYA HIDUP TIDAK SIHAT PUNCA UTAMA STROK

Namanya tidak asing lagi dalam dunia muzik tempatan.

Sejak menjuarai rancangan realiti Anugerah 2004, Noorhaqmal Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Aqmal N giat aktif dalam industri seni.

Namun siapa sangka pada lewat 2013, Aqmal diserang penyakit angin ahmar.

Ketika itu beliau berusia 29 tahun.

"Kesihatan saya tidak terjaga, tidur lambat, tidak minum air, tidak bersenam. Jadi gaya hidup itu tidak baguslah. Sebelum saya menghidap penyakit ini, saya sudah pun tahu bahawa saya mempunyai tekanan darah tinggi sewaktu saya menjalani perkhidmatan negara. Cuma saya tidak lanjutkan siasatan tentang tekanan darah tinggi ini. Jadi saya seperti 'buat bodoh'," kongsi Aqmal.

PEMULIHAN DAN SOKONGAN

Kajian mendapati 80 peratus pesakit angin ahmar dapat dirawat dengan mengubah gaya hidup kepada amalan yang lebih sihat dan mendapatkan rawatan susulan.

Proses pemulihan yang dilalui Aqmal tidak mudah dan dipenuhi dengan pelbagai cabaran dari sudut fizikal dan mental.

Mujur dengan rawatan yang pantas, sokongan padu keluarga dan rakan serta usianya yang muda, Aqmal pulih sepenuhnya seperti sedia kala.

Aqmal menambah: "Ikhtiar seseorang itu penting. Pada saya, seseorang itu perlu ada mempunyai iman, kepercayaan dan ikhtiar yang kuat untuk membaikpulihkan diri sendiri kerana ini badan kita dan jikalau fikiran kita terganggu dalam apa segi bentuk pun, kita tidak akan dapat memperbaikkan keadaan diri."

Kisah Aqmal membuktikan tanggapan serangan strok hanya berlaku kepada orang yang lebih berusia dan tidak perlu dibimbangi golongan muda salah sama sekali.

"Punca-punca angin ahmar bagi golongan usia muda masih faktor seperti biasa yang terjumpa di semua golongan umur iaitu penyakit darah tinggi, penyakit kencing manis dan kolesterol tinggi. Di samping itu, gaya hidup yang kurang sihat seperti makan yang terlampau, berat badan yang meningkat dan merokok," jelas Penolong Konsultan Jabatan Neurologi NNI Dr Pang Yee Hau.

Tambah beliau, kes pesakit muda yang semakin meningkat agak membimbangkan. Namun, dengan mendapatkan rawatan yang cepat dan mengikuti proses pemulihan pesakit boleh menjalani kehidupan normal.

"Seseorang seharusnya mendapatkan nasihat daripada doktor. Rawatan dengan ubat harus dimulakan awal untuk mengurangkan kebarangkalian mendapat angin ahmar seterusnya. Peluang untuk penyakit berulangan adalah lebih tinggi setelah penyakit angin ahmar," tambah Dr Pang.

Dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran orang ramai tentang penyakit angin ahmar, sebuah portal online 'StrokeHub', disediakan mulai Disember ini. 

- BERITAMediacorp/ru

Komen Anda?

Top