Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

App ini bolehkan anda ‘berbual’, 'berselfie' dengan orang yang sudah meninggal dunia

Bayangkan scenario ini. Ibu atau bapa anda sudah meninggal dunia selama beberapa tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
App ini bolehkan anda ‘berbual’, 'berselfie' dengan orang yang sudah meninggal dunia

App 'With Me'. (Gambar: ELROIS)

Diterbitkan : 10 Mar 2017 12:34AM Dikemas Kini : 10 Mar 2017 12:50AM

SEOUL: Bayangkan scenario ini. Ibu atau bapa anda sudah meninggal dunia selama beberapa tahun. Anda rindu sekali dengan mereka. Bagi melepaskan rindu tersebut, anda dapat berbual dengan mereka. Dapat melihat riak wajah mereka serta mendengar suara mereka yang membalas percakapan anda.

Khayalan semata-mata? Anda mungkin silap dan perlu teruskan membaca artikel ini.

Ini kerana sebuah syarikat Korea Selatan berjaya mencipta sebuah aplikasi yang membolehkan orang ramai ‘berbual-bual’ dengan orang-orang tersayang mereka yang sudah meninggal dunia.

Malah, aplikasi digelar ‘With Me’ itu turut membolehkan para pengguna ‘berselfie’ bersama anggota keluarga atau rakan-rakan mereka yang sudah pergi.

App tersebut dicipta oleh syarikat ELROIS dan menggunakan imbasan 3D dan kecerdasan buatan untuk membolehkan para pengguna berinteraksi dan melepaskan rindu terhadap orang-orang tersayang mereka itu, yang seolah-olah ‘dihidupkan semula’ dalam bentuk avatar, menurut New York Post.

App creates selfies with dead relatives

This app lets you interact with avatars of dead loved ones.

Posted by BBC News on Wednesday, 1 March 2017

Bagaimanapun, seseorang yang mahu ‘berkomunikasi’ dengan anggota keluarga dan rakan-rakan mereka setelah meninggal dunia, harus ke tempat khas bagi menjalani imbasan 3D semasa mereka masih hidup, agar avatar mereka dapat dihasilkan.

Malah menurut Daily Mail, app itu menggunakan kecerdasan buatan yang membantu avatar berkenaan kenal dengan wajah dan suara si pengguna, bahkan ia turut mengingati maklumat peribadi mereka.

Eun Jin Lim dari Elrois memberitahu BBC bahawa app ‘With Me’ direka untuk mereka yang kematian anggota keluarga mereka.

“Ini berdasarkan pengalaman peribadi saya. Nenek saya meninggal dunia beberapa tahun lalu dan saya amat, amat menyesal kami tidak bergambar bersama. Saya tidak lagi boleh bergambar dengan beliau, dan dalam kes seperti ini, bagus sekali untuk menggunakan avatar-avatar kami,” katanya.

Cik Eun juga menolak tanggapan bahawa app tersebut hanya mencipta memori-memori palsu.

“Saya rasa ia bukan memori palsu kerana ia 3D, avatar yang realistik,” ujarnya kepada BBC.

Sebuah video demonstrasi bagi penggunaan app tersebut oleh BBC menunjukkan seorang pengguna berkata “saya cintakan kamu” kepada avatar di sebuah skrin.

Avatar itu lalu mengangguk dan menjawab “saya cintakan kamu juga.”

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan